NAZAK
Saat nazak mendatangi Rasulullah (s.a.w), dan Aisyah bertindak membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar kepadanya. Hal ini beliau ceritakan dengan katanya: "Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun
bersugi dengannya". Dalam satu riwayat lain bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya,pada masa itu terdapat sebuah bijana di hadapan Rasulullah berisi air di mana Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud: "Sebenar kematian ini ada sakarahnya" - al-Hadith.
Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah (s.a.w) seperti berikut :
Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada' dan salihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlah daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi.
Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. "Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali".
Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.