Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Inisiatif Perkukuh STEM Mesti Jadi Usaha Bersama - Chang
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang menyampaikan ucapan pada Majlis Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Piala Pusingan Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam hari ini.
Inisiatif memperkukuh pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mesti menjadi usaha bersama-sama, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Chang berkata bagi usaha tersebut, kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti perlu memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti, malah terus dibimbing serta diberikan ruang untuk berkembang.
Untuk itu, beliau berkata penganjuran Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri memberi penekanan kepada kepentingan membina asas sains sejak di bangku sekolah.
“Ia agar generasi muda bukan sahaja memahami ilmu, malah mampu menggunakannya untuk menilai, menyesuaikan diri dan mencari penyelesaian kepada cabaran kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendidikan sains tidak boleh terhenti pada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan semata-mata.
“Sains mesti membentuk cara kita berfikir, kritikal terhadap fakta, terbuka terhadap idea, berani mencuba dan jujur apabila sesuatu percubaan itu tidak berjaya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata minat terhadap STEM perlu dipupuk sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang mempunyai sifat ingin tahu, keberanian untuk mencuba serta keupayaan menggunakan ilmu dalam menyelesaikan masalah.
Beliau yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara berkata untuk usaha itu, NSC telah berkembang daripada sebuah kuiz sains kepada platform yang menggalakkan pelajar berfikir secara kritis termasuk menggunakan kreativiti untuk menyelesaikan cabaran.
“Inilah asas yang perlu dibina sekiranya kita mahu melahirkan masyarakat berilmu yang bersedia menghadapi perubahan dan cabaran pada masa hadapan,” katanya.