Pemandu cedera rempuh kedai kuih
KLANG – Kesilapan memasukkan gear mengundang padah buat seorang wanita apabila kereta yang dipandunya merempuh sebuah kedai kuih dalam kejadian di Leboh Bangau, Taman Berkeley di sini, semalam.
Selain pemandu kereta, kejadian pada pukul 3.30 petang itu turut mencederakan seorang pembantu kedai wanita berusia dalam lingkungan 30-an selepas dilanggar kenderaan berkenaan. Insiden itu turut tular di media sosial menerusi beberapa keping gambar.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati pemandu tersebut meletakkan kereta di hadapan premis untuk membeli barang.
“Selesai membeli barang, wanita itu masuk ke dalam kereta dan dipercayai tersilap memasukkan gear lalu menekan pedal minyak.
“Akibatnya, kereta itu meluru dan merempuh kedai kuih sebelum melanggar pembantu kedai yang berada di dalam premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pekerja kedai dan pemandu kereta menerima rawatan di hospital swasta. Pemandu kereta dijangka menjalani pembedahan berikutan terdapat sedikit kecederaan koyakan pada kepalanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291 bagi membantu siasatan.
Artikel Kosmo Online