Tiga mangsa kemalangan kendiri terselamat
SARIKEI: Dua wanita dan seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, kemalangan berlaku di KM 17, Jalan Sungai Paoh pagi tadi.
“Pihak kami (bomba) menerima panggilan kecemasan sekitar 6.56 pagi.
“Komander operasi PBK II Mijan Pamin bersama 10 anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi kemalangan, didapati sebuah kereta jenis Perodua Axia terbabas ke bahu jalan dan terlanggar tiang lampu serta pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, dua wanita cedera ringan dan seorang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan menghala ke Sarikei semasa kejadian berlaku.
“Mangsa telah berjaya keluar dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kemalangan.
“Pasukan unit EMRS bomba bersama kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membantu membuat rawatan awal ke atas mangsa yang cedera sebelum menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya.
Operasi di lokasi selesai sepenuhnya 7.35 pagi.
Oleh Earl Anek
Foto BBP Sarikei
Kredit: Utusan Sarawak