Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kredit : KESUMA
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memuji langkah proaktif Malaysia dalam melindungi kebajikan pekerja gig menerusi Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata Ketua Pengarah ILO Gilbert F. Houngbo telah menyatakan rasa kagumnya dengan usaha Malaysia memperkukuh perlindungan pekerja, khususnya melalui apa yang dianggap sebagai undang-undang komprehensif pertama di dunia yang secara langsung menangani isu pekerja gig.
“Kami telah memberi taklimat kepada Ketua Pengarah ILO (Houngbo) mengenai Rang Undang-Undang Pekerja Gig Malaysia yang diluluskan oleh Dewan Negara pada 9 Sept dan beliau amat berpuas hati melihat bagaimana pihak majikan serta kesatuan menyokong inisiatif ini,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong telah mengehoskan satu majlis makan tengah hari bersama Houngbo serta pemimpin tiga pihak Malaysia, yang terdiri daripada wakil kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja.
Akta Pekerja Gig 2025, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Ogos dan disahkan oleh Dewan Negara pada 9 Sept, akan memperluas perlindungan kebajikan kepada lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang menjana pendapatan melalui ekonomi gig.
Pada 11 Okt, Sim berkata ia kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
Syed Hussain berkata Akta Pekerja Gig yang akan dilaksanakan sebaik sahaja diwartakan, mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan layanan adil dan perlindungan kepada semua segmen tenaga kerja, termasuk mereka yang berada di luar struktur pekerjaan tradisional.
“Akta ini memastikan pekerja gig tidak lagi tersisih daripada perlindungan asas yang ditawarkan oleh undang-undang pekerja. Ia menyediakan rangka kerja bagi keselamatan sosial, gaji minimum serta pampasan bagi penyakit dan kecederaan,” katanya.
Syed Hussain berkata kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja di bawah kepimpinan Sim, telah memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar progresif sebegini.
ILO Puji Langkah Positif Malaysia Lindungi Kebajikan Pekerja Gig
RUU Pekerja Gig 2025, KESUMA, MEF, MTUC, kebajikan