combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Hukuman Penjara 10 Tahun, 11 Sebatan Terhadap Bekas Polis, Kekal - Mahkamah Rayuan
Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan 11 sebatan yang dijatuhkan ke atas seorang bekas lans koperal polis kerana memiliki 54.86 gram ganja.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Noorin Badaruddin bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, menolak rayuan Muhamad Taufiq Abdoll Hamid terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Noorin berkata tiada alasan untuk mengganggu dapatan yang dibuat oleh kedua-dua Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata dakwaan wujudnya percanggahan mengenai kredibiliti pegawai serbuan, tidak menjejaskan keterangan yang berkaitan dengan penemuan dadah atau pengetahuan perayu mengenai dadah tersebut.
Noorin berkata tiada rantaian jagaan dadah yang terputus dan pembelaan yang dikemukakan oleh perayu, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Muhamad Taufiq, 30, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen kerana memiliki dadah tersebut di Jalan Cangkul, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor pada 9.30 malam, 8 Sept 2023.
Mahkamah Sesyen pada 27 Mac 2025, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 11 sebatan ke atas lelaki itu. Mahkamah Tinggi pada 9 Dis tahun lepas, kemudiannya menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Menurut fakta kes, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis telah menjalankan intipan dan memerhatikan perayu berdiri di tepi jalan dalam keadaan yang mencurigakan. Lelaki itu dilihat memegang suatu barang di tangan kanannya, sambil memegang telefon bimbit di tangan yang sebelah lagi.
Kira-kira setengah jam kemudian, polis menyerbu kawasan tersebut dan menahan perayu. Barang itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan disahkan mengandungi ganja.