RENCANA UTAMA
Sukar hidup tanpa rokok
Ketika negara Barat mencatatkan penurunan jumlah perokok, lebih satu pertiga populasi Indonesia hari ini merokok berbanding sedekad lalu.
MEROKOK mungkin telah diharamkan di sesetengah kawasan awam di Jakarta, namun masih ramai perokok yang tidak mengendahkannya.
--------------------------------------------------------------------------------
BERHAMPIRAN sebuah tangga di sebuah kompleks pejabat di ibu negara Indonesia, para pekerja tanpa segan silu menghembuskan asap rokok mereka di hadapan sebuah papan tanda 'Dilarang Merokok'.
Merokok mungkin telah diharamkan di kawasan-kawasan awam di sesetengah kawasan Jakarta, namun masih ramai perokok yang tidak mengendahkannya.
"Sukar untuk kurang merokok terutama apabila anda hidup di Jakarta yang penuh dengan tekanan.
"Tekanan itu yang membuatkan anda mahu menyalakan sebatang rokok," kata Shas Hasibuan yang merupakan seorang perokok.
Ketika jumlah perokok di kebanyakan negara Barat telah menurun sejak beberapa tahun lalu, pakar-pakar berkata, lebih daripada satu pertiga populasi Indonesia pada hari ini merokok berbanding kira-kira lebih 25 peratus sedekad lalu.
Indonesia merupakan pasaran rokok kelima terbesar dunia. Tembakau masih lagi perniagaan yang menguntungkan sungguhpun merokok memberi kesan kesihatan dengan menyebabkan jutaan rakyatnya ke dalam kancah kemiskinan.
Kebanyakan rakyat Indonesia menghisap rokok bunga cengkih tradisional yang dicipta pada akhir abad ke-19 untuk mencegah penyakit.
Dipanggil kretek disebabkan bunyi bergemeretak yang terhasil apabila terbakar, rokok tersebut biasanya mengandungi perisa tambahan seperti coklat dan buah-buahan kering.
Ada yang rasa manis dan berempah tetapi secara keseluruhan ia jelas mempunyai ciri-ciri Indonesia.
"Kretek adalah benang yang menghubungkan rakyat Indonesia, di sebalik perbezaan sejarah, budaya, etnik dan juga fahaman agama," tulis Mark Hanusz dalam sebuah buku berkenaan kretek.
Walaupun demikian, pihak berkuasa kesihatan gusar kerana kretek - yang digunakan oleh 90 peratus perokok negara itu - mempunyai kira-kira dua kali ganda aras nikotin dan tar berbanding rokok biasa.
"Saya bertemu lebih ramai pesakit yang menghidap penyakit strok dan vaskular pada usia yang amat muda berbanding 29 tahun lalu," kata Ronaly Rasmin, jurucakap Yayasan Jantung Indonesia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kira-kira satu per empat kematian di Indonesia pada tahun 2005 dan 80 peratus kes-kes kanser paru-paru dan respiratori berpunca daripada aktiviti merokok.
"Kerajaan harus menjadikan kawalan tembakau satu keutamaan kerana bahan tersebut jelas menjejaskan kesihatan.
"Kos terselindung juga sangat tinggi, bukan sahaja dari sudut penjagaan kesihatan tetapi juga kerugian ekonomi," kata Albert Maramis, pakar tembakau WHO.
Harga rokok di Indonesia adalah antara yang termurah di dunia pada harga sekitar RM3.20 sekotak.
"Kira-kira 70 peratus perokok datang daripada bahagian-bahagian miskin Indonesia. Lelaki dalam keluarga miskin boleh menghisap sehingga dua kotak rokok sehari.
"Harga sekotak rokok sama dengan sekilogram beras," kata Tuti Indarsih Loekman, seorang penggubal undang-undang yang menyokong akta antitembakau.
Tambah beliau : "Keluarga-keluarga ini menghadapi kesukaran membeli barangan makanan harian. Saya gelar keadaan ini sebagai memiskinkan lagi mereka yang miskin.