Hukum Merokok
Salam. Dapat dari emel orang kirim. Mudah2an memberi manfaat.
SOALAN:
Apakah hukum merokok? Ramai ustaz mengatakan hukumnya adalah makruh. Betulkah pendapat ini?
AMEER
JAWAPAN:
Merokok tidak membantu seseorang mencapai kecemerlangan diri kerana ianya amat memudaratkan bagi kesihatan manusia. Berhubung dengan ini Nabi telah bersabda, "Tidak diizinkan melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan." (Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah)
Di dalam riwayat yang lain, Ummu Salamah telah berkata, "Rasulullah melarang dari mengambil setiap
bahan yang memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir)." (Ahmad dan Abu Daud)
Rokok mengandungi 4,000 bahan-bahan kimia yang toksik dan 37 daripadanya telah dikenal pasti sebagai bahan penyebab kanser, antaranya ialah, aseton (bahan untuk menanggalkan pengilat kuku), asid asetik (cuka), ammonia (bahan pencuci tandas), arsenik (racun), butana (cecair alat pemetik api), kadmium (bateri), karbon monoksida (asap dari ekzos kereta), DDT / dieldrin (alat pembunuh pepijat), etanol (arak), formaldehid (bahan pengawet katak mati), hexamine (alat pemetik api untuk majlis jamuan), hidrogen sianida (racun), naftalena (ubat gegat), nikotin (bahan pembunuh serangga), asid stearik (lilin) dan toluena (bahan pelarut di industri).
Rokok juga mengandungi sejenis dadah berbahaya. Ia bernama nikotin. BBC News bertarikh 8 Februari, 2000 melaporkan, pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physicians UK (RCP) meminta agar pengawasan dan tindakan yang lebih tegas diambil untuk mengawal ketagihan merokok. Mereka mengatakan, nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain. Apabila seseorang menghisap rokok, dadah nikotin menyerap masuk ke dalam darahnya dan mempengaruhi otak di dalam masa hanya 7 saat dan apabila amalan ini berterusan, KETAGIHAN menguasai dirinya.
Kini terdapat lebih daripada 1.2 bilion orang perokok di seluruh dunia. Separuh daripada mereka dijangka akan meninggal dunia sebelum waktu yang sepatutnya akibat menghidap pelbagai penyakit yang berpunca daripada rokok. Mengikut laporan Berita Harian Online bertarikh 3 Jun 1997, pada pertengahan abad ke-20, rokok membunuh lebih 60 juta manusia di negara maju saja. Satu kajian oleh pakar ekonomi Bank Dunia menganggarkan bahawa penggunaan tembakau menyebabkan kerugian global sebanyak AS $200 bilion (RM 500 bilion) setahun.
Sehubungan dengan ini, Surgeon General Amerika yang merupakan autoriti tertinggi berhubung dengan polisi-polisi kesihatan di Amerika, telah mengeluarkan sebuah laporan berhubung dengan bahaya merokok pada tahun 1964. Di dalamnya dimuatkan rumusan berhubung rokok dan bahayanya berdasarkan lebih kurang 7000 kajian yang telah dilakukan sebelum itu. Antara perkara yang dijelaskan ialah, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh rokok seperti sakit jantung dan barah paru-paru, telah menjadi punca 400,000 kematian di kalangan golongan dewasa di Amerika setiap tahun. Sejak laporan Surgeon General Amerika itu dikeluarkan, dianggarkan 10 juta orang telah meninggal dunia disebabkan penyakit yang berpunca dari amalan merokok. Antara penyakit itu (di samping barah paru-paru dan penyakit jantung) ialah, radang saluran pernafasan (chronic bronchitis), kanser secara umum (kanser mulut, kerongkong, esofagus dan peti suara), di samping kesan ke atas kandungan serta bayi dalam kandungan, seperti kelahiran tidak cukup bulan, risiko keguguran dan bayi mati sebelum atau selepas dilahirkan.
Pada tahun 2004 Surgeon General Amerika mengeluarkan satu lagi laporan berkaitan dengan rokok, iaitu 2004 Surgeon General's Report—The Health Consequences of Smoking. Ia menunjukkan hampir kesemua organ dalam badan manusia menerima padah kesan daripada merokok. Penyakit-penyakit yang dikenal pasti berpunca daripada tabiat merokok telah bertambah berbanding yang sebelumnya. Antara penyakit yang baru itu ialah aneurisme aorta bahagian abdomen (aneurisme ialah bengkak atau gelembung pada pembuluh darah arteri), penyakit selaput mata atau katarak, barah serviks, barah buah pinggang, barah pankreas, barah perut, radang paru-paru (pneumonia) dan radang tisu serta struktur yang mengelilingi gigi (periodontitis).