afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,229
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,229
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Hubungan Sabah, Pusat perlu jadi perkongsian, bukan pertentangan, kata bekas KM
Salleh Said Keruak turut menekankan kekuatan Malaysia juga bersandarkan Sabah dan Sarawak yang kuat sekali gus memberi manfaat dari segi kemakmuran serta kestabilan.
Dalam kenyataan Sempena Hari Malaysia disambut 16 Sept setiap tahun, Salleh berkata kedua-dua pihak perlu memahami tanggungjawab masing-masing dan bekerjasama bagi menghasilkan manfaat lebih baik untuk rakyat.
“Bukan Sabah lawan Persekutuan. Bukan Timur lawan Barat.
“Tetapi rakan yang memahami tanggungjawab masing-masing dan bersedia bekerjasama untuk mencapai hasil yang lebih baik untuk rakyat,” katanya sambil menekankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak perlembagaan dan autonomi Sabah kekal penting serta perlu terus dipertahankan.
Bagaimanapun, veteran Umno itu berkata usaha mempertahankan perkara itu tidak bermaksud Sabah mahu menjauhkan diri daripada Malaysia, sebaliknya sebahagian daripada usaha membina Persekutuan yang lebih matang, adil dan saling menghormati.
Beliau berkata hubungan Sabah dengan Persekutuan juga tidak boleh selamanya dilihat hanya melalui persoalan masa lalu, sebaliknya perlu bergerak kepada perbincangan mengenai perkara yang boleh dibina bersama.
“Kita mahu Sabah lebih maju dan berdaya saing — dengan pendidikan serta kesihatan yang lebih baik, infrastruktur serta kemudahan asas boleh diharap, ekonomi lebih kukuh dan lebih banyak peluang untuk anak-anak muda membina masa depan mereka di negeri sendiri.
“Sabah juga mempunyai banyak perkara untuk disumbangkan kepada masa depan Malaysia — sumber kita, kedudukan strategik di Borneo, kekayaan budaya dan biodiversiti, serta bakat, idea dan tenaga generasi baharu,” katanya.
Salleh turut menekankan kekuatan Malaysia juga bersandarkan Sabah dan Sarawak yang kuat sekali gus memberi manfaat dari segi kemakmuran serta kestabilan kepada semua pihak.
“Kepentingan kita tidak perlu dilihat sebagai sesuatu yang saling bercanggah,” katanya.