Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,768
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,768
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Hospital Baharu Akan Dibina Di Bandar Enstek, Nilai - Dzulkefly
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Sebuah hospital baharu akan dibina di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk daerah Seremban serta bagi menyuraikan kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembinaan hospital baharu di koridor utara Seremban itu, amat sesuai dengan pembangunan rancak di kawasan tersebut yang secara langsung telah menyebabkan peningkatan populasi penduduk yang mendadak.
Beliau berkata keputusan untuk membina hospital baharu itu dicapai, susulan semakan semula hala tuju pembinaan Hospital Tuanku Ja'afar 2 (HTJ2) di Rasah oleh Kementerian Kesihatan (KKM), serta hasil perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada 16 Jun lepas.
“Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti dua bidang tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkeluasan 50 ekar (20 hektar), di kawasan tersebut.
“Oleh itu, KKM akan mengadakan lawatan di kedua-dua tapak tersebut dalam masa terdekat, bagi mengenal pasti tapak yang paling sesuai untuk dibina hospital baharu sebelum permohonan tukar guna tanah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG),” katanya.
Dzulkefly berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah), mengenai maklumat terkini berkaitan rancangan pembinaan HTJ2 di Parlimen Rasah.
Beliau berkata sekiranya permohonan tukar guna tanah diluluskan, kerja-kerja awalan bagi projek berkenaan akan dimulakan segera, iaitu melibatkan kerja ukur tanah, kerja-kerja siasatan tanah, penyediaan reka bentuk konsep, penyediaan anggaran kos projek dan pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai (VA).
“Seterusnya, Menteri Besar juga bersetuju supaya permohonan pemberi milikan tanah Rizab Persekutuan di Lot 2406 dan Lot 1890, Bandar Seremban seluas 36.748 ekar (kira-kira 14 hektar), diteruskan bagi dimanfaatkan untuk pembangunan projek-projek fasiliti kesihatan yang bersesuaian pada masa hadapan, seperti pembinaan blok tambahan untuk HTJ sedia ada dan pembinaan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan (COE).
Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan program Returning Expert Program (REP) bagi menarik bakat dan kepakaran warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara, termasuk dalam bidang perubatan dan kesihatan.