BTC USD 84,355.8 Gold USD 4,274.18
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-31/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PENYATA JAWATANKUASA AMINUDDIN DITERBITKAN-Tarikh Peristiwa pada 31-10-1962

Pada hari ini dalam tahun 1962, “Penyata Kelemahan Pelajaran Melayu Aminuddin Baki” telah diterbitkan. Penyata ini membentangkan syor-syor untuk mengatasi masalah kelemahan pelajaran di kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan khususnya murid-murid Melayu. Perkembangan negatif ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan apabila bilangan murid-murid yang berkebolehan menyambung pengajian ke Sekolah Menengah sangat berkurangan. Berikutan itu pada 20 Febuari 1961, Menteri Pelajaran Encik Abdul Rahman bin Talib, telah membentuk sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada sembilan orang anggota dan diketuai oleh Encik Aminuddin Baki.

Tugas utama jawatankuasa tersebut ialah untuk menyiasat dan mengenalpasti sebab-sebab kekurangan bilangan tersebut dan kelemahan keputusan peperiksaan murid-murid Melayu dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran serta cara mengatasinya. Hasil daripada penyiasatan tersebut, 12 syor telah dikemukakan kepada kerajaan dan berpendapat kemunduran murid-murid Melayu adalah disebabkan sistem pelajaran yang sedang digunakan ketika itu mewarisi dasar pelajaran penjajah Inggeris. Sukatan dan pentabirannya juga tidak lagi sesuai dengan perubahan-perubahan kaedah pengajaran, pembelajaran dan kemajuan yang telah dicapai dalam dunia pendidikan selepas negara merdeka.
 
PELANCARAN TABUNG KEBAJIKAN PEWIRA KEBANGSAAN-Tarikh Peristiwa pada 31-10-1968

Jasa dan pengorbanan anggota-anggota pasukan keselamatan sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan. Sumbangan yang telah diberikan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara merupakan sesuatu yang paling berharga yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun begitu sebagai tanda penghargaan rakyat dan negara kepada mereka sebuah tabung kebajikan yang dikenal sebagai `Tabung Kebajikan Perwira Kebangsaan’ telah dilancarkan pada hari ini 31 Oktober 1968.

Pelancaran tabung ini telah dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak b. Hussein di Bilik Gerakan Negara Kuala Lumpur. Dengan ucapan pelancarannya, Tun Abdul Razak telah menyeru semua pihak untuk turut menyumbang kepada tabung ini. Beliau juga menjelaskan bahawa tujuan tabung kebajikan perwira negara ditubuhkan adalah untuk membantu keluarga dan tanggungan keluarga anggota-anggota pasukan keselamatan yang telah terkorban, cedera atau cacat anggota semasa menjalankan tugas mengawal ketenteraman dan keamanan tanah air. Tabung ini memberi bantuan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran dan dapat membantu saraan hidup anggota pasukan keselamatan yang terpaksa bersara akibat kecederaan.

Tabung ini dikelolakan oleh sebuah lembaga pentadbir yang terdiri dari 16 orang anggota dan Tun Abdul Razak sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Pengurus tabong tersebut sementara Encik Hamzah Abu Samah sebagai Timbalan Pengerusi, Encik M. Subramaniam pula sebagai setiausahanya. Sebagai permulaan kerajaan menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk tabung ini. Beberapa akhbar tempatan turut sama menjalankan kempen dan mengutip derma untuk tabong kebajikan perwira ini. Antara akhbar-akhbar yang terlibat termasuklah kumpulan Akhbar Utusan Melayu dan Tamil Nesan.

Penubuhan Tabung Kebajikan Perwira ini telah dapat meringankan beban yang ditanggung oleh anggota dan pasukan pertahanan negara selepas mereka bersara atau selepas mengalami kecederaan dan cacat anggota. Melalui tabung ini juga rakyat dan kerajaan menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap pengorbanan yang pernah ditabur oleh pasukan pertahanan negara.
 
YAYASAN PELAJARAN MARA DILANCARKAN-Tarikh Peristiwa pada 31-10-1968

Pada hari ini 31.10.1968, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Usul pembentukan yayasan ini telah diluluskan oleh Kongres Bumiputra kali yang kedua. Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan ialah untuk mengumpulkan sumber-sumber kewangan bagi membiayai anak-anak Melayu melanjutkan pelajaran mereka terutama di bidang iktisas. Pembentukan yayasan ini dibuat di bawah Akta Mara dan seterusnya sebagai sebuah Badan Berkanun yang lain dengan pengurusan tertentu. Kempen-kempen bagi memenuhi matlamat ini telah dilakukan di seluruh negeri.

Sumbangan-sumbangan diterima tidak semata-mata dari rakyat tetapi juga dari kerajaan negeri. Matlamat asal yayasan ini ialah mahu mengumpulkan sejumlah $250,000 dalam tempoh enam bulan, bagaimanapun di hari pelancarannya wang yang terkumpul telah melebihi $500,000. Manakala di dalam daftar pula tidak kurang dari $1.2 juta telah terkumpul. Masalah kelemahan pelajaran anak-anak Melayu sering diperbincangkan, salah satu sebab keadaan ini ialah kemiskinan orang-orang Melayu sendiri. Kesedaran telah timbul untuk membaiki keadaan ini dengan memberi bantuan kewangan melalui yayasan. Sesungguhnya dengan pelancaran Yayasan Pelajaran Mara pada hari ini dalam tahun 1968, telah dapat membantu meningkatkan lagi pelajaran anak-anak Melayu ke peringkat yang lebih tinggi demi kesejahteraan negara.
 
Back
Top
Log in Register