BTC USD 83,590.8 Gold USD 4,267.53
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-30/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PENDAFTARAN RASMI PARTI PERIKATAN-Tarikh Peristiwa pada 30-10-1957

Pada hari ini dalam tahun 1957, Parti Perikatan dengan rasminya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik. Parti Perikatan dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC ini telah ditubuhkan pada bulan Disember 1951. Pada peringkat permulaan penubuhannya ia merupakan gabungan dua buah parti politik yang besar iaitu UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra, dan MCA oleh Sir Tan Cheng Lock. Pada tahun 1954, Parti MIC yang dipimpin oleh Datuk Sambanthan telah menyertai Perikatan. Gabungan parti ini menggunakan lambang ‘Kapal Layar’, berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British. Perlembagaan Parti Perikatan yang telah didaftarkan ini menyatakan, keahlianya terbuka kepada sebarang parti yang bersifat kebangsaan.

Sebuah Majlis Kebangsaan telah dipertanggungjawabkan untuk mengelolakan Parti Perikatan ini. Keahlian majlis ini terdiri daripada 16 orang wakil daripada UMNO, 16 wakil daripada MCA dan 6 orang wakil daripad MIC. Sesungguhnya pendaftaran rasmi ini juga telah membolehkan parti ini diiktiraf sebagai sebuah badan yang sah dan dapat begerak sebagai sebuah parti pemerintahan sehingga membentuk satu asas yang kukuh tampuk pemerintahan negara sehingga sekarang.
 
PERASMIAN BANGUNAN IBU PEJABAT LKTP(DARA) OLEH SULTAN PAHANG DARUL MAKMUR-Tarikh Peristiwa pada 30-10-1987

Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara atau DARA diumumkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1971. Semasa pembukaan kawasan ini kerajaan berhasrat untuk menjadikan kawasan di Pahang Tenggara ini sebagai nadi bagi rancangan pembangunan tanah raksasa di Negeri Pahang. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab kepada pembangunan kawasan Tenggara Pahang, sebuah bangunan pentadbiran baru bagi DARA yang dinamakan Wisma Sultan Ahmad Shah telah dibuka dengan rasminya pada hari ini 30 Oktober 1987. Bangunan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Di upacara perasmian tersebut Baginda Sultan bertitah bahawa perasmian bangunan ini telah mencatatkan satu lagi detik sejarah dalam arus pembangunan Negeri Pahang Darul Makmur. Baginda berharap bangunan ini akan menjadi simbol kemegahan dan kemakmuran Pahang serta mengisi kehendak dan keperluan rakyat yang selama ini sangat dahagakan sosio-ekonomi bagi mempertingkatkan lagi taraf hidup mereka. Bangunan Wisma Sultan Ahmad Shah merupakan pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Wilayah Pahang Tenggara dan menjadi penggerak utama program dan aktiviti pembangunan wilayah ini.

Bangunan 4 tingkat ini didirikan di kawasan seluas 128,459 kaki persegi dan berharga kira-kira RM13 juta. Pembinaanya telah dimulakan pada 16 Oktober 1981 akan siap sepenuhnya pada 14 September 1984. Pada mulanya bangunan ini dikenali dengan nama `Wisma DARA’ sehinggalah perasmiannya disempurnakan oleh DYMM Sultan Pahang pada hari ini dan namanya juga turut dirasmikan pada hari ini kepada `Wisma Sultan Ahmad Shah’ mengambil sempena nama Baginda Sultan. Dengan terbinanya bangunan Wisma Sultan Ahmad Shah ini, pegawai dan kakitangan DARA akan dapat memberikan perkhidmatan mereka dengan lebih baik dalam tugas harian mereka juga memberikan sumbangan dan bakti kepada seluruh aspek kehidupan sosio-ekonomi-budaya demi menaikkan taraf hidup penduduk Wilayah Pahang Tenggara.
 
PERASMIAN MAKTAB PERGURUAN DI LEMBAH PANTAI KUALA LUMPUR-Tarikh Peristiwa pada 30-10-1965

Pada hari ini 30.10.1965, Menteri Pelajaran Malaysia, Encik Mohd. Khir Johari telah merasmikan pembukaan Maktab Perguruan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Maktab Perguruan ini yang mula dibuka pada tahun 1962 adalah bertujuan menggantikan Maktab Perguruan di Kirby, England yang telah ditutup. Peserta-peserta yang mengikuti kursus-kursus di Maktab ini sama ada kursus permulaan atau tambahan mestilah mengambil bahasa Inggeris atau Cina di samping mengambil salah satu mata pelajaran lain. Dalam ucapan perasmiannya, Encik Mohd. Khir menyatakan bahawa semua Maktab Perguruan di negara ini dikehendaki mengadakan pendidikan khas yang sesuai untuk sekolah menengah. Maktab ini menjalankan dua jenis kursus selama dua tahun kepada bakal-bakal guru dan kursus selama satu tahun bagi guru-guru yang terlatih.

Ia bertujuan untuk melahirkan golongan guru yang terlatih dan profesional. Encik Mohd. Khir seterusnya menyatakan bahawa Maktab Perguruan di Lembah Pantai ini bertanggungjawab mengeluarkan guru-guru yang mahir dalam bahasa Inggeris dan Cina dan mungkin juga bahasa-bahasa asing yang lain. Dengan adanya perhatian terhadap bahasa Cina dan Tamil di sekolah-sekolah dan maktab-maktab perguruan, maka ini merupakan dasar jangka panjang kerajaan dan dasar liberal; dalam masalah bahasa dan kebudayaan semua bangsa di negara ini. Upacara pembukaan secara rasmi Maktab Perguruan di Lembah Pantai pada hari ini dalam tahun 1965, sesungguhnya mempunyai makna yang besar dari titik sejarah kemajuan Dasar Pelajaran Kebangsaan di Malaysia.
 
Back
Top
Log in Register