BTC USD 60,783.6 Gold USD 4,369.75
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 26/09

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PILIHANRAYA YANG PERTAMA NEGERI SELANGOR -Tarikh Peristiwa pada 26-09-1955


Pada hari ini dalam tahun 1955, negeri Selangor telah mengadakan pilihanraya yang pertama bagi memilih Ahli-ahli Majlis Negeri. Tiga kawasan yang dipertandingkan ialah kawasan Sabak Bernam, Kawasan Kelang Utara dan Kawasan Kuala Lumpur Barat. Seramai 20 ribu orang telah keluar membuang undi bagi memilih Ahli-ahli Majlis Negeri Selangor buat pertama kalinya. Ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan telah dimenangi oleh Parti Perikatan (UMNO, MCA, MIC). Calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya ini ialah Parti Islam SeMalaya, Parti Buruh dan dua orang daripada Parti Bebas. Berikutan daripada itu Parti Perikatan telah memenangi kesemua 13 buah kerusi bagi Majlis Negeri Selangor, setelah 10 daripadanya telah dimenangi tanpa bertanding sebelum hari pencalonan. Sistem pilihanraya ini telah membolehkan buat pertama kalinya seorang Menteri Besar dilantik dari kalangan Ahli-ahli Majlis Negeri yang telah dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, dengan adanya pilihanraya negeri yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih Ahli-ahli Majlis Negeri bermulalah sistem memilih pemerintahan demokrasi di tiap-tiap negeri.
 
SEMINAR KEBUDAYAAN DAN PELANCONGAN ASEAN DI DEWAN TUN HUSSIEN ONN PWTC, K.L.-Tarikh Peristiwa pada 26-09-1988

Kebudayaan dan pelancongan adalah di antara aspek utama yang menyumbang kepada pendapatan negara. Selain dari memelihara warisan negara, kebudayaan juga berjaya menarik minat pelancong-pelancong dari luar negara untuk melawat dan melihat negara kita dengan lebih dekat lagi. Kedatangan mereka membawa rezeki kepada penduduk tempatan dan turut menyumbang kepada pendapatan negara. Pada hari ini 26 September 1988, satu seminar mengenai kebudayaan dan pelancongan ASEAN telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan dan Kesenian Malaysia Y.B. Dato’ Sabbaruddin Chik di Pusat Dagangan Dunia Putra. Seminar yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil ASEAN (Sub-Committee on Tourism). Sebanyak 6 kertas kerja dibincangkan di seminar tersebut. Seminar peringkat ASEAN ini buat pertama kalinya diadakan di sini bagi sama-sama membincangkan soal-soal kebudayaan dan pelancongan di rantau ini. Ini kerana pelancong-pelancong yang datang ke salah satu negara-negara ASEAN diharapkan akan menghabiskan masa untuk melawat kesemua negara ASEAN yang berjiran. Usaha-usaha bersama akan dapat membantu memajukan industri pelancongan di negara-negara ASEAN dan Malaysia khasnya.

Bagi negara kita, Malaysia, industri pelancongan sentiasa diberikan perhatian supaya kehadiran pelancong-pelancong di negara kita ini akan menjadi kenangan manis untuk mereka dan diharapkan mereka akan datang lagi di masa-masa hadapan. Melalui seminar ini agensi-agensi pelancongan negara akan dapat merangka dan mempelajari teknik-teknik dan kepakaran agensi-agensi pelancongan di lain-lain negara ASEAN. Melalui seminar juga mereka akan dapat bertukar fikiran dan pengalaman masing-masing dalam industri pelancongan negara-negara berjiran di rantau ASEAN.
 
UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS MASJID UBUDIAH, KUALA KANGSAR-Tarikh Peristiwa pada 26-09-1913


Perkembangan dan penyebaran Syiar Islam di negara kita sentiasa mendapat keutamaan para pemimpin negara. Masjid-masjid dibina untuk kemudahan umat Islam beribadat dan menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan. Di negeri Perak, salah sebuah masjid yang menjadi kebanggaan umat Islam telah dimulakan pembinaannya pada hari ini 26 September 1913 oleh DYMM Sultan Idris Mursidu Al-Adzam Shah. DYMM Sultan Idris Mursidu Al-Adzam Shah, Perak telah berkenan melakukan upacara perletakan batu asas Masjid Ubudiah, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Upacara ini turut dihadiri oleh Sultan Selangor, Raja Chulan, Dato' Sri Andika Raja, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Residen Perak, R.G. Watson dan lain-lain tetamu kehormat. Pembinaan Masjid Ubudiah ini mengambil masa selama 2 tahun dan menelan belanja sebanyak RM 224,000. Reka bentuk dan pelan bangunan telah disediakan oleh A.B. Hubback. Masjid ini mempunyai ciri-ciri istimewa di mana ia berbentuk octagon.

Terdapat 4 buah menara setinggi 126 kaki dan dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London. Ini menjadikan ia salah sebuah masjid yang termoden dan terindah. Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah dibina oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya.

Walaupun pembinaan masjid ini banyak mengalami kesulitan mendapatkan barang-barang binaan dari luar negeri tetapi ia akhirnya siap pada tahun 1915. Upacara perasmian pembukaannya telah dilakukan oleh Sultan Abdul Jalil. Bagi mengenang jasa Sultan Idris sebagai pengasasnya, pada hari ini dalam tahun 1913, nama baginda telah diabadikan di masjid ini. Masjid ini menjadi salah satu mercu tanda negeri Perak yang dikunjungi oleh umat Islam dari dalam dan luar negeri.
 
MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA SEMPADAN WILAYAH BARAT MALAYSIA-INDONESIA BERAKHIR-Tarikh Peristiwa pada 26-09-1972

Pada hari ini 26.9.1972, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Sempadan Wilayah Barat Malaysia-Indonesia telah berakhir dengan jayanya. Perwakilan Malaysia di Mesyuarat tersebut telah diketuai oleh Ketua Turus Laut Di Raja Malaysia, Komodor Datuk K. Thanabalasingam manakala Indonesia di ketua oleh Panglima Komando Wilayah Pertahanan Satu Sumatra, Lt. Jeneral Achmad Tahir.

Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut berkata, pengerusi-pengerusi mesyuarat telah berpuas hati dengan cara gerakan rondaan laut bersama yang akan dijalankan, dan berharap untuk mencapai kesan sepenuhnya dalam menjalankan gerakan keselamatan, terutama terhadap kegiatan subersif yang besar serta penyeludupan luar bagi menyokong gerakan-gerakan komunis yang disalurkan melalui kawasan perairan bersama di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kenyataan itu menambah bahawa jawatankuasa sempadan wilayah akan mengadakan mesyuarat tiap-tiap enam bulan sekali bergilir-gilir di antara Malaysia dan Indonesia.

Mesyuarat selama dua hari itu telah mengkaji dan meluluskan dua kertas kerja iaitu mengenai cara sidang jawatankuasa sempadan wilayah dan langkah perhubungan laut secara bersama. Komander Datuk K. Thanabalansingam dalam ucapan penutupnya berkata bahawa perbincangan-perbincangan yang diadakan meliputi pelbagai bidang dan berharap dapat memperbaiki dan mengkaji tindakan-tindakan yang akan diambil dari masa kemasa bagi menentukan keselamatan perairan diantara kedua-dua negara.
 
ebos ni serba tau la..bgus2...:)cgrock:)cgrock
 
Back
Top
Log in Register