BTC USD 84,895.2 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 24/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
MUKTAMAR ANTARABANGSA MENGENAI ISLAM ABAD KE-15 H-Tarikh Peristiwa pada 24-11-1981

Pada hari ini dalam tahun 1981, Muktamar Antarabangsa Islam Abad ke-15 Hijrah telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Muktamar tersebut bertemakan 'Rintangan Yang Dihadapi Oleh Kegiatan Dakwah Islamiah Dalam Masyarakat Islam dan Strategi Untuk Masa Depan'. Muktamar yang telah diadakan ini bertujuan untuk membincangkan masalah dakwah Islamiah dalam rantau-rantau tertentu.

Kira-kira 400 orang peserta daripada 40 buah negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam, beberapa pertubuhan dakwah di samping sembilan pertubuhan antarabangsa dan kira-kira 150 orang pakar tempatan menghadiri muktamar yang telah diadakan secara tertutup. Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya telah menekankan kepentingan seluruh umat Islam memerangi setiap unsur ajaran sesat dan kegiatan dakwah yang dihasratkan untuk kepentingan golongan perseorangan tertentu yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Muktamar juga turut hadir. Sesungguhnya Muktamar Islam Abad ke-15 hijrah ini bukan sahaja sejarah bagi umat Islam di Malaysia tetapi juga kena menjadi persediaan bagi umat Islam menghadapi berbagai rintangan.
 
PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN FAKULTI PERGIGIAN, UNIVERSITI MALAYA-Tarikh Peristiwa pada 24-11-1973

Pada hari ini dalam tahun 1973, Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn telah meletakkan batu asas Fakulti Pergigian, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Fakulti Pergigian, Universiti Malaya telah memulakan pengajiannya sejak tahun 1971, setelah diadakan perlantikan perjawatan Dekan Pentadbiran. Persiapan awal pembinaan bangunan fakulti ini telah mula dijalankan sejak awal tahun 1972. Pembinaan bangunan fakulti ini telah diselenggarakan oleh Apollo Construction Sdn. Bhd., manakala Pakatan Ghazali Loh pula telah bertindak sebagai arkitek bangunan dan Dr. H.C Huang pula dilantik sebagai Jurutera Perunding. Bangunan yang bernilai $ 5.5 juta ini telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1974 dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 19 Mei 1975.

Berikutan daripada itu bilangan penuntut pergigian yang dapat ditampung oleh fakulti telah semakin bertambah bagi memenuhi perancangan pelajaran tinggi di negara ini, bersesuaian dengan kehendak rakyat untuk melatih anak tempatan sebagai doktor-doktor gigi serta pakar dalam bidang pergigian. Sesungguhnya fakulti ini merupakan fakulti pergigian pertama yang telah diwujudkan di negara ini bagi memperkembang dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan yang bermutu dan terbaik kepada rakyat.
 
YAPIEM LANCAR `PROJEK AL-QARDHUL HASAN’ (SKIM PINJAMAN MENURUT ISLAM)-Tarikh Peristiwa pada 24-11-1989

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia telah ditubuhkan oleh Kerajaan pada 13 Oktober 1976 merupakan sebuah yayasan yang bertanggungjawab mengenai masalah sosio-ekonomi keluarga termiskin di Malaysia. Antara pendekatan yang telah dijalankan oleh YAPIEM bagi mencapai hasrat tersebut ialah program meningkatkan taraf sosio ekonomi, program mengukuhkan tradisi keilmuan, program memantap kebajikan ummah dan program membangun institusi Islam. Bagi pendekatan meningkatkan sosio-ekonomi YAPIEM pada 24 November 1989 telah melancarkan Skim Pinjaman Al-Qardhul Hassan iaitu satu skim pinjaman menurut Islam yang tidak mengenakan faedah kepada golongan miskin yang akan memulakan perniagaan. Projek printis dijalankan di Machang, Kelantan melalui pengurusan oleh Bank Islam Malaysia.

Skim pinjaman Al-Qardhul Hassan telah membuka peluang-peluang perniagaan kepada golongan miskin dengan pemberian modal awal untuk mereka menjalankan perniagaan. Dengan ini akan dapat menambahkan pendapatan golongan miskin. Di samping itu berusaha membangunkan usahawan kecil yang berdaya maju. Sehingga kini YAPIEM telah berkembang pesat, usaha-usaha membangunkan sosio ekonomi golongan miskin telah di pelbagai bukan setakat usaha-usaha di bidang ekonomi sahaja termasuk juga bidang ilmu pengetahuan.
 
PERASMIAN SEMINAR KEBUDAYAAN MENGENAI PENDIDIKAN DAN UNDANG-UNDANG PELAJARAN-Tarikh Peristiwa pada 24-11-1986

Proses merangka undang-undang dalam negara adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara. Undang-undang dan peraturan yang dirangka meliputi semua peringkat dan bidang termasuklah bidang sosial, politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya sebelum sesuatu undang-undang dirangka dan dibentangkan kepada umum, perbincangan dan pendirian perlu dibuat seluas-luasnya supaya apa yang bakal dikeluarkan kelak memenuhi matlamatnya. Pada hari ini 24 November 1986 bertempat di Hotel Federal Kuala Lumpur, Y.A.B. Encik Abd. Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri telah merasmikan satu seminar khas peringkat kebangsaan mengenai pendidikan dan undang-undang pelajaran. Seminar ini dihadiri oleh bijak pandai dari berbagai disiplin dari pusat pengajian tempatan. Beberapa bidang yang disentuh sepanjang seminar ini bukan sahaja terhad kepada undang-undang dan pendidikan tetapi juga meliputi hak dan tanggungjawab guru, penguatkuasaan etika profesion perguruan, isu-isu dasar pelajaran, cadangan memperbaiki sistem pendidikan dan sebagainya. Seminar ini penting dalam menyedarkan rakyat tentang aspek-aspek perundangan dalam bidang pendidikan. Tujuannya adalah supaya satu rangka dasar yang lengkap dapat dirumuskan bersama demi kepentingan bidang pendidikan di masa hadapan. Y.A.B. Encik Abd. Ghafar Baba menjelaskan bahawa Dasar Pelajaran Negara yang digubal semenjak Laporan Pelajaran Razak hingga ke Laporan Rahman Talib dan kajian-kajian kabinet berikutnya adalah lengkap. Ianya digubal untuk kepentingan jangka panjang bangsa dan negara.

Walaupun begitu terdapat juga rungutan dan rasa tidak puas hati terhadapnya, yang timbul semasa proses perlaksanaan dasar-dasar tersebut. Masalah seperti ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan kajian terperinci mengenainya dibuat dari semasa ke semasa. Seterusnya Timbalan Perdana Menteri juga menyentuh mengenai tugas dan tanggungjawab guru yang bukan sahaja mengajar malah mereka adalah penggerak kepada kemajuan negara. Sesungguhnya seminar mengenai undang-undang dan pendidikan ini telah dapat memberi peluang kepada para penggubal undang-undang untuk bersama-sama para pendidik dan ahli akademik mencari jalan bagi melaksanakan satu undang-undang mengenai pendidikan dengan lebih berkesan lagi di masa hadapan.
 
Back
Top
Log in Register