BTC USD 83,887.8 Gold USD 4,279.22
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-22/12

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PEMBEDAHAN PERTAMA PAKAR MATA CATAT SEJARAH DIHOSPITAL UNIVERSITI, UNIVERSITI MALAYA-Tarikh Peristiwa pada 22-12-1981

Pada hari ini dalam tahun 1981, Kemajuan dalam teknologi telah banyak membawa kemudahan kepada manusia terutama di bidang penjagaan kesihatan. Antara kejayaan yang telah dicapai oleh negara ini adalah pembedahan yang dilakukan oleh pakar mata di Hospital Universiti, Universiti Malaya. Pembedahan tersebut telah dilakukan oleh Doktor Pakar Mata Hospital Universiti iaitu Dr. K. Sukumaran. Keupayaan pakar-pakar tempatan ini dapat dilihat setelah kejayaan beliau memulihkan penglihatan seorang wanita seperti sediakala tanpa memerlukan penggunaan kacamata. Mengikut kebiasaan seorang yang mengidap penyakit selaput mata akan memakai kaca mata dan penglihatan akan menjadi 30 kali lebih besar dari penglihatan biasa. Kaedah yang dilakukan ini sangat sesuai dijalankan bagi mereka yang tidak dapat melihat akibat daripada penyakit selaput mata. Kemajuan di dalam bidang sains telah banyak membantu memulihkan kesihatan rakyat di negara ini. Sesungguhnya, kejayaan pembedahan pertama pakar mata telah mencatat sejarah dan membuktikan peranan pakar-pakar tempatan adalah setanding dengan pakar-pakar daripada negara-negara luar.
 
NAMA IBU NEGERI SABAH DITUKAR DARIPADA JESSELTON KEPADA KOTA KINABALU-Tarikh Peristiwa pada 22-12-1967

Pada hari ini dalam tahun 1967, nama ibu negeri Sabah telah ditukar daripada Jesselton kepada Kota Kinabalu. Kota Kinabalu letaknya di Pantai Singgah Mata di Teluk Sepanggar. Nama tersebut diilhamkan dari mercu tanda negeri tersebut, iaitu Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu merupakan gunung yang tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara. Sejarah awal ibu negeri Sabah pada awalnya terletak di Kudat iaitu dari tahun 1881 hingga 1883, namun pada 1884 ia telah dipindahkan ke Sandakan. Sandakan telah menjadi bandar utama sehingga tahun 1947 dan kemudiaannya barulah berpindah ke Pantai Singgah Mata. Bagaimanapun ketika itu sebuah pekan telah wujud di situ apabila Pulau Gaya dimusnahkan oleh Mat Salleh pada 1897. Seorang pegawai Inggeris bernama Charles Jessel telah memilih satu kawasan di Pantai Singgah Mata, sebagai tapak pekan baru itu pada tahun 1899. Oleh kerana di situ terdapat banyak pokok api-api lalu pekan tersebut dipanggil Api-api. Namun, beberapa tahun kemudian, Api-api ditukar kepada Jessel Town yang disebut sebagai Jesselton sahaja. Nama Jesselton akhirnya diubah kepada Kota Kinabalu pada hari ini dalam tahun 1967 dan ianya kekal menjadi ibu negeri Sabah sehingga sekarang.
 
TENTERA JEPUN MENGUASAI SELURUH KELANTAN UNTUK TERUS MARA KE SELATAN-Tarikh Peristiwa pada 22-12-1944

Peperangan dunia ke 2 di Malaya bermula dengan pendaratan Jepun di Pantai Dasal, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 8 Disember 1941. Jepun mengambil masa selama dua minggu untuk menguasai negeri Kelantan dan seterusnya mara ke selatan. Pada hari ini 22 Disember 1941, kumpulan terakhir tentera British di bawah pimpinan Lt. Kol. McKeller telah meninggalkan Kuala Krai pertahanan terakhir British di Negeri Kelantan. Mereka menuju ke Kuala Lipis untuk mengundurkan diri. Tentera kemaraan Jepun pula terus mara dan pada 20 Disember telah pun menguasai Pekan Kuala Krai. Bermula dari negeri Kelantan pada 8 Disember itu tentera British telah berusaha sedaya upaya mempertahankan Kota Bharu. Ini kerana jika sekiranya Kota Bharu tewas di pertahanan awal ini akan memudahkan tentera Jepun untuk terus mara ke seluruh Tanah Melayu. Walaupun begitu ketibaan tentera Jepun dengan persediaan dan perancangan yang rapi telah berjaya menembusi kubu pertahanan British yang begitu rapuh dan tidak disangka-sangkakan ketika itu. Menjelang 22 Disember 1941 Jepun sudahpun menguasai seluruh Kelantan. Tentera British telah bertindak memusnahkan jalan keretapi, jalan raya dan jambatan-jambatan yang ditinggalkan bagi menyekat kemaraan askar-askar jepun. Namun begitu tentera Jepun lebih bersedia dengan apa juga kemungkinan dan telah berjaya melepasi rintangan tersebut. Semua pangkalan tentera darat dan udara British di Kelantan musnah dan ditawan Jepun. Pihak Jepun telah berjaya menempatkan dirinya dikedudukan yang kukuh di bahagian utara dan berpeluang merangka strategi ke selatan dengan lebih baik lagi. Sebanyak 27 meriam, 73 pucuk mesin gan ringan dan berat, 7 pesawat terbang dan beberapa buah kenderaan termasuk keretapi, kereta dan sebagainya telah dapat ditawan oleh Jepun. Selain dari itu 2 buah kapal pengangkut Jepun juga telah musnah iaitu Awagisan Maru dan Ayatosan Maru. Tentera Jepun terus mara ke selatan dan pada 24 Disember 1941, mereka sudah mula memasuki Kuala Lumpur. Kemudian terus mara hinggalah ke Singapura. Pada 15 Februari 1942, tentera British telah menyerah kalah kepada Jepun, dan dari tarikh tersebut bermula jugalah pemerintahan Jepun di Malaya selama lebih tiga tahun.
 
PERJANJIAN ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN KERAJAAN KANADA BAGI MELATIH ANGGOTA-ANGGOTA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DI KANADA-Tarikh Peristiwa pada 22-12-1969

Pada hari ini 22.12.1969, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Kanada menandatangani perjanjian teknikal dalam bidang kerjasama ketenteraan. Melalui perjanjian ini Kerajaan Kanada akan melatih anggota-anggota tentera Malaysia di Kanada. Upacara menandatangani perjanjian ini diadakan di 'Treaty Room' di Wisma Putra. Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Malaysia Encik Abu Bakar Samad bin Mohamed Nor menandatangani perjanjian ini bagi pihak Malaysia manakala Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia Encik John Hedwin mewakili negaranya. Perjanjian ini mengandungi 21 perkara yang menggariskan berbagai perkara bagi kepentingan kedua belah pihak. Perkara utama yang dimuatkan di dalam perjanjian ini ialah Kerajaan Kanada akan melatih anggota-anggota tentera Malaysia di Kanada. Menurut perjanjian ini Kanada hendaklah mengadakan latihan di Kanada bagi pelatih-pelatih mengikut bilangan yang dipersetujui dari masa ke semasa oleh kedua-dua pihak. Mengikut perjanjian ini juga pada masa latihan di Kanada, pelatih-pelatih Malaysia tidaklah tertakluk kepada kanun tatatertib Perkhidmatan Angkatan Tentera Kanada. Walaubagaimanapun para pelatih hendaklah mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Angkatan Tentera Kanada. Kerajaan Malaysia juga bersetuju bahawa pelatih-pelatih hendaklah patuh kepada Undang-undang Sivil dan Undang-undang Jenayah Kanada dan juga kepada bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah jenayah di Kanada. Malaysia juga hendaklah mengambil langkah-langkah supaya seseorang pelatih tidak menzahirkan selepas tamat latihannya apa-apa maklumat mengenai Kanada yang dirahsiakan yang mungkin diketahui olehnya atas sifatnya sebagai seorang pelatih, kepada mana-mana Kerajaan lain atau kepada sesiapa yang tidak dibenarkan mengetahui. Akhirnya menurut perjanjian ini juga Malaysia dan Kanada boleh pada bila-bila masa meminta supaya mana-mana peruntukan perjanjian ini disemak. Sesungguhnya perjanjian bantuan teknikal dalam bidang ketenteraan yang ditandatangani oleh Malaysia dan Kanada pada hari ini dalam tahun 1969, membuka kepada ruang baru dalam hubungan dua hala kedua-dua buah negara.
 
Back
Top
Log in Register