BTC USD 84,523.1 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 22/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
RANG UNDANG-UNDANG IMIGRESEN 1952 DILULUSKAN-Tarikh Peristiwa pada 22-11-1952

Pada hari ini dalam tahun 1952, Rang Undang-undang Imigresen telah diluluskan. Rang Undang-undang tersebut dibentangkan dalam Majlis Perundangan Persekutuan berdasarkan hasil laporan sebuah Jawatankuasa Khas yang dilantik untuk mengkaji perkara-perkara berhubung dengan kawalan imigresen. Rang Undang-undang ini merangkumi beberapa bidang. Di antara bidang-bidang tersebut adalah merangkumi perjawatan yang menyatakan bahawa Pesuruhjaya Tinggi hendaklah menentukan jawatan-jawatan pegawai Imigresen dan menentukan kuasa-kuasa mereka sebagaimana yang telah ditetapkan. Berhubung dengan syarat keluar masuk pula, mereka yang ingin memasuki negeri ini mestilah memiliki permit atau pas.

Syarat tersebut dikecualikan bagi warganegara Persekutuan Tanah Melayu, warganegara British yang lahir di Tanah Melayu, warganegara British yang menetap di Tanah Melayu dan mereka yang telah memperolehi kerakyatan British secara langsung sama ada daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Gabenor Negeri-negeri Selat atau Gabenor Malayan Union. Rang Undang-undang ini turut menyebut mengenai penyingkiran keluar dilakukan terhadap mereka yang telah tamat tempoh pas atau permit lawatannya dan juga mereka yang difikirkan tidak layak untuk tinggal di Persekutuan Tanah Melayu.
 
PENUTUPAN RASMI MINGGU PERPADUAN KEBANGSAAN-Tarikh Peristiwa pada 22-11-1964

Pada hari ini dalam tahun 1964, telah berlangsung upacara penutupan rasmi Minggu Perpaduan Kebangsaan bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Istiadat penutupan rasmi ini telah disempurnakan oleh ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-marhum Syed Hassan Jamalullail. Bertitah pada upacara tersebut, baginda menyatakan rasa puas hati terhadap kejayaan yang diperolehi dalam Minggu Perpaduan yang juga telah dirasmikan oleh baginda bertempat di Stadium Merdeka pada 16 November 1964. Perayaan rapat umum Minggu Perpaduan ini telah menyaksikan lebih 40,000 orang melaungkan ikrar perpaduan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Ikrar perpaduan yang telah dilafazkan bertujuan untuk memperlihatkan kepada dunia akan perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu dan kesetiaan kepada negara untuk menghadapi sebarang ancaman serta kesediaan untuk berkorban membela ibu pertiwi. Sesungguhnya, Minggu Perpaduan Kebangsaan ini telah membuka satu lagi lembaran sejarah tanah air dan telah menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu padu serta mempunyai keazaman yang teguh dalam menangkis sebarang ancaman.
 
PENUBUHAN PERSATUAN PANDU PUTRI DI MALAYA-Tarikh Peristiwa pada 22-11-1917

Badan-badan Sukarela memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan masyarakat yang berdisiplin dan mengamalkan budaya kerja-kerja sukarela. Badan-badan ini telah lama bergiat, terutama di sekolah-sekolah, salah satu daripada badan tersebut ialah Persatuan Pandu Putri Malaysia. Persatuan Pandu Putri telah ditubuhkan pada 22 November 1917, oleh sekumpulan sukarelawan British yang diketuai oleh Cik Gertrude Ballard di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur bertujuan mendedahkan kanak-kanak kepada suatu pertubuhan sukarela. Persatuan Pandu Putri telah berkembang dengan pesat. Persatuan ini telah didaftarkan dengan rasminya di Ibu Pejabat Pandu Putri di Calcutta, India pada 22 November 1917.

Sayap persatuan ini terus berkembang dengan penubuhan Pasukan Kadet pada 1926 dan Renjer pada 1925 di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Sejak didaftarkan Persatuan Pandu Putri telah mendapat pengiktirafan Kerajaan di mana pada tahun 1928 Kerajaan telah memperuntukan RM2000.00 setahun untuk kegiatan pergerakan ini di Malaya. Persatuan Pandu Putri Malaysia telah berkembang pesat sejak negara mencapai kemerdekaan. Keahlian telah bertambah dari setahun ke setahun dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Penglibatan persatuan ini memainkan peranan penting dalam mendidik golongan remaja menjadi warganegara yang bertanggungjawab kepada bangsa dan negara.
 
PERSEKUTUAN PEKILANG-PEKILANG MALAYSIA (FMM) MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DENGAN HKCMA (PERSATUAN PEKILANG-PEKILANG HONG KONG)- Tarikh Peristiwa pada 22-11-1990

Persefahaman dalam perhubungan merupakan asas terpenting kepada peningkatan dan kejayaan sesebuah organisasi. Bagi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), untuk meluaskan lagi kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, maka pada hari ini 22.11.1990 FMM telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Pekilang-Pekilang China Hong Kong (HKCMA), bertempat di Pejabat Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Kuala Lumpur. Perjanjian persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Presiden FMM Tunku Tan Sri Mohamed Burhanuddin dan Presiden HKCMA, Encik Lawrence Chu.
Selain daripada bekerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, memorandum persefahaman tersebut bertujuan:

Untuk mengadakan pertukaran lawatan dan maklumat dengan lebih kerap mengenai para industri dan peniaga dari kedua negara.

FMM akan membantu pekilang-pekilang Hong Kong untuk mencari rakan kongsi tempatan bagi menjalankan perniagaan usahasama di Malaysia.

Hong Kong akan membantu Malaysia terutama dari segi pengesahan dalam mencapai piawaian dan kualiti barangan yang setanding dengan pasaran dunia bagi barang-barang yang dikeluarkan oleh pekilang-pekilang tempatan.

Kedua negara akan bekerjasama dalam pembangunan sumber tenaga manusia termasuk latihan tenaga mahir dan sebagainya.

Menurut Encik Lawrence Chu, Hong Kong akan memindahkan lebih banyak industrinya ke Malaysia kerana Hong Kong mengalami kekurangan tanah dan tenaga buruh. Lagi pun Malaysia sangat sesuai kerana mempunyai tanah yang luas, ekonomi yang baik dan keadaan politik yang stabil. Tambah beliau lagi, diharap FMM akan dapat membantu Industri Hong Kong mencari tapak baru bagi menjalankan industri mereka di Malaysia. Sesungguhnya dengan adanya perjanjian persefahaman tersebut diharap akan dapat memperkembangkan lagi usaha sama antara kedua-dua negara bukan saja dalam bidang ekonomi dan perdagangan tetapi juga dalam bidang pelancongan, kebudayaan dan lain-lain
 
Back
Top
Log in Register