BTC USD 63,323.9 Gold USD 4,327.97
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-19/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
COUNTESS LIMERICK SERAH TANGGUNGJAWAB PERSATUAN -Tarikh Peristiwa pada 19-10-1957

Pada hari ini dalam tahun 1957, telah berlangsung upacara penyerahan tanggungjawab Persatuan Palang Merah British kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Naib Pengerusi Persatuan Palang Merah British, Countess Limerick telah menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Tunku Abdul Rahman yang menerima tanggungjawab tersebut bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Bersempena dengan penyerahan ini juga persatuan ini telah dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Malaya. Tunku Abdul Rahman ketika menerima penyerahan tersebut telah menyatakan jaminan kerajaan untuk memberi bantuan yang diperlukan oleh pihak persatuan.

Lanjutan daripada itu juga pada tahun 1975, satu rang undang-undang berkenaan dengan penukaran nama Persatuan Palang Merah kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta simbol persatuan telah diluluskan oleh Parlimen. Sesungguhnya, dengan penyerahan yang telah belangsung di Dewan Majlis Mesyuarat Negeri Selangor ini, Persatuan Palang Merah telah dipertanggungjawabkan kepada kerajaan Persekutuan untuk meneruskan khidmat kemasyarakatannya sehingga berjaya mewujudkan perpaduan negara.
 
Last edited:
SEMINAR LATIHAN BAGI PENGURUSAN SISA PEPEJAL-Tarikh Peristiwa pada 19-10-1981

Kebersihan dan keindahan alam sekitar adalah tanggungjawab rakyat bersama. Beberapa langkah telah dijalankan oleh Kementerian berkenaan demi untuk menjamin dan mengekalkan kebersihan serta keindahan alam sekitar di antaranya ialah dengan menganjurkan seminar, bengkel, kursus dan sebagainya. Pada hari ini 19.10.1981 satu Seminar Latihan bagi Pengurusan Sisa-sia Pepejal (sampah sarap) telah diadakan bertempat di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang. Seminar itu telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr. Neo Yee Pan.

Seminar yang dianjurkan itu bertujuan antara lain:-


Untuk membekalkan ilmu pengetahuan dan amalan-amalan yang boleh dipraktikkan kepada mereka yang berkenaan dalam pengurusan sampah sarap di kawasan-kawasan penguasa tempatan.

Untuk mempelajari bagaimana menilai aspek-aspek yang lebih moden dalam kutipan dan pembuangan sampah sarap hinggalah ke aspek-aspek asas masalahnya yang memerlukan satu penyelesaian.

Dalam ucapan perasmiannya Dato’ Dr. Neo Yee Pan berkata bahawa perkhidmatan pengurusan dan pembuangan sampah sarap telah menjadi semakin rumit berikutan dengan adanya proses pembangunan bandar dan penubuhan kawasan-kawasan industri yang semakin pesat.

Sehubungan dengan itu, maka latihan bagi pegawai-pegawai penting yang terlibat dalam perkhidmatan itu di Penguasa-penguasa Tempatan, adalah menjadi satu faktor yang penting agar masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan cepat. Seminar yang diadakan pada hari ini diharap akan memberi kesedaran kepada penguasa-penguasa tempatan untuk mengadakan satu sistem pengutipan dan pembuangan sampah yang cekap dan baik, demi untuk kesejahteraan bersama, di samping mewujudkan kebersihan alam sekitar, yang dapat menjaminkan kehidupan sihat dan nyaman.
 
PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG `AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67' DI PARLIMEN-Tarikh Peristiwa pada 19-10-1989

Bahasa Melayu telah didaulatkan sebagai Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Rasmi Negara, sejak Perlembagaan Negara digubal dan negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa utama yang digunakan dalam semua bidang dan tidak terkecuali bidang perundangan. Sebagai usaha untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan digunakan sepenuhnya dalam perundangan, maka pada hari ini 19.10.1989 Rang Undang-undang bernama suatu Akta Bahasa Kebangsaan1963/67 telah dibentangkan di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Y.A.B. Encik Abdul Ghafar bin Baba.

Di antara matlamat-matlamat utama rang undang-undang tersebut dibentangkan ialah:-

untuk mewujudkan dan mencerminkan keperibadian kita tersendiri;

mendemokrasikan undang-undang dan penggunaan bahasa perundangan yang difahami oleh semua rakyat;

menjadikan rakyat, pengguna undang-undang yang memahami undang-undang;

menjadikan ilmu undang-undang sebagai ilmu yang bukan menjadi milik ekslusif - golongan yang berbahasa Inggeris dan berlagak keinggerisan;

menjadikan rakyat menggunakannya dengan lebih yakin dan berkesan;

menjadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa perundangan yang mampu menggambarkan perasaan rakyat negara ini;

menjadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa yang penggunaannya akan membawa kepada pertumbuhan sistem undang-undang yang bersifat kebangsaan dan seterusnya perkembangan ilmu undang-undang yang bersifat kebangsaan.

Dengan terpindanya Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, maka mulai 1.6.1990 berkuatkuasalah penggunaan Bahasa Malaysia di semua peringkat Mahkamah Sekular di Semenanjong Malaysia. Sesungguhnya langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk mengguatkan penggunaan Bahasa Malaysia di mahkamah adalah amat wajar. Dengan yang demikian negara ini telah bebas daripada belenggu penjajahan Barat. Di samping itu penggunaan Bahasa Malaysia di mahkamah bolehlah dianggap sebagai usaha kemuncak dalam mendaulatkan Bahasa Malaysia, memandangkan bidang perundangan dan kehakiman merupakan benteng terkuat penggunaan Bahasa Inggeris di negara ini.
 
PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN KILANG AIR BATU BESUT-Tarikh Peristiwa pada 19-10-1980

Pada hari ini 19.10.1980, Menteri Pertanian Datuk Abdul Manan Othman telah merasmikan upacara perletakan batu asas Bangunan Kilang Air Batu Besut Sdn. Bhd. di Besut, Terengganu. Pembinaan kilang air batu yang dianggarkan menelan belanja 1.2 juta ringgit ini terletak di Kampung Beris Baru, Besut akan dapat memberi faedah kepada para nelayan di daerah Besut ini. Dalam ucapan di majlis tersebut, Menteri Pertanian menyatakan bahawa kerajaan akan berusaha untuk membebaskan kaum nelayan dari bergantung kepada orang tengah dalam pemasaran hasil-hasil tangkapan ikan mereka. Ini kerana perlakuan yang tidak adil yang selalu dikenakan oleh orang tengah terhadap kaum nelayan.

Datuk Abdul Manan juga mendedahkan ada segolongan peniaga atau orang tengah yang membekalkan pelbagai kemudahan kepada nelayan-nelayan tetapi telah menindas pula kemudiannya dengan membeli hasil-hasil tangkapan ikan mereka dengan harga yang tidak berpatutan. Kaum nelayan di Besut juga menyambut baik perancangan untuk membina kilang air batu ini. Dalam majlis itu juga Datuk Abdul Manan telah menyampaikan sijil kepada 50 orang ahli yang mempunyai saham dalam kilang air batu yang akan dibina itu. Dengan terdirinya kilang air batu kelak kaum nelayan di daerah Besut akan mendapat faedah yang besar dan akan dapat meningkatkan lagi hasil tangkapan mereka dengan adanya kemudahan mengawet dan menyimpan hasil-hasil tangkapan mereka itu.
 
PENUBUHAN RASMI BANGUNAN STESEN PEMANCAR RADIO KUALA LIPIS, PAHANG-Tarikh Peristiwa pada 19-10-1977

Pada hari ini 19.10.1977, Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah merasmikan pembukaan Bangunan Stesen Pemancar Radio (RTM) di Kuala Lipis. Menteri Penerangan, Datuk Amar Haji Abdul Taib Mahmud semasa menyampaikan ucapannya di upacara perasmian tersebut menerangkan tujuan kerajaan menyediakan alat-alat penyiaran radio dan TV ke seluruh negara, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak supaya siaran-siaran radio dan TV bagi siaran di dalam dan ke luar negeri dapat disiarkan serentak ke seluruh negara. Dengan cara ini juga proses pembangunan negara yang pesat pada masa ini dapat difahami oleh rakyat dan reaksi rakyat diketahui oleh kerajaan. Ini kerana tindak balas antara rakyat dan kerajaan adalah menjadi sendi kejayaan bagi semua usaha pembangunan negara.

Menteri Penerangan juga dalam ucapannya menerangkan bahawa radio mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam membantu menjayakan rancangan-rancangan kerajaan terutamanya kepada penduduk desa dan kampung, kawasan perladangan dan kampung-kampung nelayan. Ia juga dapat melahirkan hubungan dua hala antara rakyat dan kerajaan. Sesungguhnya bangunan baru RTM yang memiliki pemancar berkuasa 20 kilowat dan merangkumi kira-kira 40 batu keliling kawasan Kuala Lipis, Raub dan Benta telah dapat membantu kerajaan dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai pembangunan negara dengan lebih cepat dan berkesan kepada rakyat di segenap pelusuk negeri.
 
Good info..rajin tul eboss cari info ni..:)cgrock:)cgrock
 
Back
Top
Log in Register