BTC USD 84,504.8 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-14/01

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
TUN ABDUL RAZAK MENINGGAL DUNIA-Tarikh Peristiwa pada 14-01-1976

Pada hari ini dalam tahun 1976, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussien telah kembali ke Rahmatullah di London pada jam 6.30 petang waktu Malaysia. Berita mengenai pemergian Allahyarham telah disampaikan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn ke seluruh negara menerusi Radio Televisyen Malaysia. Allahyarham telah pergi ke London untuk menjalani rawatan akibat penyakit ‘acute leukemia’ yang dihidapi olehnya. Jenazah Allahyarham telah diterbangkan dengan penerbangan Khas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kemudianya di bawa ke kediamaan Allahyarham di Sri Taman, Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Penglibatan Tun Abdul Razak dalam arena politik bermula sejak menuntut di London lagi, dan bergiat aktif setelah memasuki UMNO dan dilantik sebagai Ketua Pemuda. Mulai tahun 1951 hingga 1970 Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Yang di Pertua UMNO dan menganggotai jemaah kabinet sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1955. Sesungguhnya pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh masyarakat, di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan dalam pembangunan negara, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan Negara.
 
ROMBONGAN INGGERIS SAMPAI KE PULAU PANGKOR-Tarikh Peristiwa pada 14-01-1874

Pada hari ini dalam tahun 1874, Rombongan Inggeris yang mengadakan perundingan dengan Pembesar-pembesar Perak telah tiba di Pulau Pangkor dengan menaiki kapal Pluto melalui Selat Melaka. Kedatangan rombongan Inggeris ini bertujuan untuk mengadakan rundingan dengan Pembesar-pembesar Perak bagi mengatasi peperangan saudara dan kekacauan di negeri Perak. Selain daripada itu, jemputan oleh Raja Abdullah merupakan fakta kedatangan rombongan ini yang mana dalam surat tersebut beliau meminta Inggeris mengatasi masalah kekacauan di Perak dan mengiktiraf baginda sebagai Sultan. Sebelum kedatangan rombongan yang diketuai oleh Sir Andrew Clark ini terlebih dahulu menghantar wakilnya W.H. Reid menemui Raja Abdullah untuk mengadakan perbincangan awal sebelum pertemuan di Pulau Pangkor. Antara Pembesar-pembesar Perak yang hadir dalam perundingan ini ialah Raja Abdullah, Raja Idris, Orang Kaya Menteri Larut Ngah Ibrahim, Dato’ Temenggong, Dato’ Sagor dan lain-lain. Dengan kedatangan rombongan Inggeris ke Pulau Pangkor, satu perundingan telah diadakan di Pulau Pangkor yang kemudian termeterainya perjanjian di antara Raja Abdullah dan para Pembesar Perak dengan Inggeris yang kemudian dikenali dengan Perjanjian Pangkor pada 1874 yang memanfaatkan persengketaan di antara Pembesar-pembesar Melayu serta Kongsi Gelap Cina.
 
PERASMIAN PEMBUKAAN JALANRAYA KUALA LUMPUR - PORT SWETTENHAM-Tarikh Peristiwa pada 14-01-1959

Pada hari ini dalam tahun 1959, satu jalan baru telah dibuka yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Port Swettenham. Upacara perasmian jalan baru ini telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Encik Sardon b. Haji Jubir. Turut sama di majlis perasmian yang unik ialah Pengarah Kerja Raya Tuan R. E. Pitt. Upacara perasmian dijalankan dengan kedua-dua tokoh ini menaiki kereta dan bergerak laju di atas jalan baru tersebut dan terus `melanggar' peta yang dipasang merintangi jalan. Secara simboliknya jalan tersebut sudah boleh merentasi kawasan peta berkenaan. Jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Port Swettenham ini telah menghubungkan dua bandar di antaranya iaitu Petaling Jaya dan Sungai Way. Sebanyak $2 Juta telah diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya ini. Kini penduduk-penduduk di kedua-dua tempat ini boleh dihubungi dengan lebih cepat iaitu kira-kira 60 batu sejam berbanding dengan jangka masa yang lebih lama diambil sebelumnya. Kerja-kerja pembinaan jalan raya tersebut telah dimulakan pada bulan April 1956 dan pada hari ini dalam tahun 1959 ianya telah selamat dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya. Kemudahan yang disediakan ini akan membantu mempercepatkan lagi hubungan penduduk di kedua-dua tempat dan dapat meningkatkan lagi aktiviti ekonomi di Port Swettenham dan Kuala Lumpur selain dari itu bandar-bandar seperti Petaling Jaya dan Sungei Way akan dapat dibangunkan dan seterusnya kegiatan ekonomi di kawasan-kawasan ini akan terus meningkat dan berkembang maju.
 
SEKOLAH TINGGI KELANG MULA MENGADAKAN PERMAINAN SUKAN SEBAGAI KO-KURIKULUM-Tarikh Peristiwa pada 14-01-1928

Pada hari ini dalam tahun 1928, Sekolah Tinggi Kelang mula memainkan peranan dalam mengetengahkan kegiatan sukan sebagai ko-kurikulum di sekolah. Di bawah Guru Besar Encik S.C.E. Singam permainan badminton, ping pong, bolasepak, kriket telah diperkenalkan. Pada tahun 1932, Sekolah Tinggi Kelang telah memperolehi sebidang tanah untuk dijadikan padang permainan di atas kemurahan hati Residen British J.W.W. Hughes. Berikutan dengan itu dua lagi permainan iaitu bola tampar dan bola keranjang diperkenalkan. Kewujudan padang permainan ini telah memajukan lagi sukan di Sekolah Tinggi Kelang. Sebanyak 4 buah rumah sukan telah dibentuk iaitu Rumah Mallory, Rumah Rose, Rumah Sulaiman dan Rumah Watkins. Pada tahun 1934, atas daya usaha guru Besar gelanggang tenis telah diadakan. Pada tahun ini juga kejohanan olahraga tahunan sekolah mula diperkenalkan dan disertai ahli-ahli sukan seluruh negeri Selangor. Acara ini menjadi terkenal di Kelang. Dalam tahun 1946 Rumah New diperkenalkan sebagai tambahan pada 4 rumah sukan yang sedia ada dan rumah ini ditukar nama pada Rumah Thuraisingam. Dalam sejarah kesukanan Sekolah Tinggi Kelang begitu popular dengan Encik K. Laxman sebagai ahli olahraga dan Raja Shukri sebagai pemain badminton yang mana mereka adalah antara ahli sukan yang mewakili negara yang dihasilkan oleh Sekolah Tinggi Kelang. Ini semua hasil dari perancangan bidang sukan sekolah ini sejak tahun 1928 lagi.
 
Back
Top
Log in Register