BTC USD 83,836.5 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-12/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PENGUMUMAN PELANTIKAN GURU BIMBINGAN DI SEKOLAH-SEKOLAH -Tarikh Peristiwa pada 12-10-1964

Pada hari ini dalam tahun 1964, Menteri Pelajaran, Encik Abdul Rahman bin Haji Talib telah mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai rancangan Kementerian Pelajaran untuk melantik dan melatih guru-guru bimbingan di sekolah-sekolah. Berikutan pengumunan itu, satu kursus bimbingan telah dikelolakan oleh R. H. Mackenzie, seorang pakar daripada Rancangan Colombo bagi melantik pengelola dan penolong pengelola pelajaran di Malaysia Barat. Mereka kemudiannya melatih pula guru-guru besar dan guru-guru biasa selama seminggu. Sistem pelajaran komprehensif yang diperkenalkan pada tahun 1965 telah mendesak wujudnya perkhidmatan bimbingan yang lebih berkesan di sekolah-sekolah menengah.

Kementerian Pelajaran dalam surat Pekeliling Pentadbiran 1966 mengarahkan semua sekolah Rendah dan Menengah (termasuk Sabah dan Sarawak) melantik guru bimbingan atau guru kerjaya. Untuk meningkatkan lagi mutu khidmat bimbingan, kursus setahun sepenuh masa dibuka kepada guru ijazah dan bukan ijazah. Manakala kursus peringkat diploma khas untuk guru-guru ijazah sarjana telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sesungguhnya, khidmat bakti mereka amat penting dalam membantu melahirkan pelajar yang baik dan berguna.
 
PELANCARAN MINGGU KEBAJIKAN 1970-Tarikh Peristiwa pada 12-10-1970

Pada hari ini dalam tahun 1970, Menteri Kebajikan Am Malaysia, Tan Sri Fatimah Hashim telah melancarkan minggu Kebajikan 1970. Ketika menyampaikan ucapan pelancaran yang dibuat melalui Televisyen dan Radio ini beliau menyatakan antara tujuan Minggu Kebajikan ini diadakan ialah untuk memperlihatkan kegiatan-kegiatan badan-badan kebajikan sukarela yang terdapat di Malaysia. Selain itu Minggu Kebajikan ini yang dianjurkan oleh Majlis Kebajikan Masyarakat Kebangsaan Malaysia juga bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk turut sama menyumbang serta menghulur sumbangan dan derma kepada pertubuhan-pertubuhan sukarela bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dalam soal berkaitan kebajikan. Berikutan itu juga, sebuah Pameran Kebajikan Negara diadakan pada 16 hingga 18 Oktober 1970 bagi memperlihat dan memperjelaskan tentang perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Sesungguhnya, selepas kemerdekaan pertubuhan-pertubuhan sukarela turut memainkan peranan membantu kerajaan dalam perkara yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
 
UPACARA MENANDATANGANI PINDAAN UNDANG-UNDANG KERAJAAN PERLIS- Tarikh Peristiwa pada 12-10-1954

Pada hari ini 12.10.1954 satu Istiadat menandatangani perjanjian pindaan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis telah diadakan di Balai Besar Arau, Perlis. Undang-undang tubuh negeri Perlis yang dibuat pindaan ini ialah Bahagian yang pertama kepada Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis ini telah ditandatangani oleh Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullai dan diikuti oleh Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Setelah selesai perjanjian tersebut ditandatangani, doa selamat telah dibaca oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
 
PERJANJIAN PERTAHANAN LUAR DAN BANTU MEMBANTU ANTARA PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DAN UNITED KINGDOM-Tarikh Peristiwa pada 12-10-1957

Pada hari ini 12.10.1957, satu perjanjian mengenai Pertahanan Luar dan Bantu Membantu telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan British di Bilik Persidangan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Dalam perjanjian ini Persekutuan Tanah Melayu telah diwakili oleh Perdana Menteri Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra, manakala Kerajaan British pula diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Persekutuan Tanah Melayu, Encik G.W. Tory. Tujuan utama perjanjian ini ialah untuk memelihara keamanan dan mengukuhkan pertahanan negara serta merapatkan kerjasama antara kedua-dua buah kerajaan.

Perjanjian yang ditandatangani ini mengandungi 12 perkara, antara lain menyatakan:

Persetujuan Kerajaan British membantu Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam bidang pertahanan luar.

Kerajaan British akan menolong dan membantu Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam bidang perluasan ketenteraan, kemudahan latihan, bantuan pentadbiran dan kemudahan peralatan ketenteraan serta bantuan teknik.

Kerajaan British juga akan membantu Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk memperbaiki kelengkapan ketenteraan laut, darat dan udara.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju untuk membenarkan Kerajaan U. Kingdom menggunakan kemudahan pengkalan tentera di Persekutuan.

Kedua-kedua pihak juga bersetuju menggunakan kemudahan peralatan ketenteraan seperti tapak tanah, pelabuhan dan alat-alat perhubungan secara bersama untuk tujuan latihan ketenteraan.

Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantu Membantu antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada hari ini dalam tahun 1957, merupakan satu perjanjian yang amat penting bagi negara sesudah mencapai kemerdekaan. Termeterainya perjanjian ini, telah merapatkan lagi hubungan baik antara kedua-kedua buah kerajaan, juga mendatangkan faedah yang amat besar bagi keselamatan negara.
 
Back
Top
Log in Register