BTC USD 84,428.5 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 10/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
DATUK BENTARA LUAR MEMBUKA BATU PAHAT-Tarikh Peristiwa pada 10-11-1893

Pada hari ini dalam tahun 1893, Datuk Bentara Luar telah menerima perintah daripada Sultan Abu Bakar untuk membuka bandar Batu Pahat. Datuk Bentara Luar atau nama sebenarnya Muhamad Salim bin Perang merupakan salah seorang elit Johor moden. Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang lama sebagai pegawai kerajaan Johor. Beliau pernah menjadi kerani kepada Sultan Abu Bakar sebelum menjawat jawatan-jawatan yang lebih tinggi seperti Pesuruhjaya Polis dan lain-lain.

Antara projek-projek pembangunan yang telah dibuat termasuklah mendirikan rumah atap bagi bangunan pejabat-pejabat kerajaan seperti pejabat daerah, mahkamah, balai polis, penjara dan rumah sakit. Pembangunan infrastruktur seperti membina pasar, perigi umum dan menambak jalan raya telah juga dilaksanakan. Tumpuan juga diberikan kepada usaha memajukan bidang pertanian dan beliau turut memberi galakkan kepada penduduk agar menanam kelapa, kopi, sagu dan sebagainya. Beliau juga menggalakkan petani-petani membina parit bagi mengatasi masalah tanah gambut. Datuk Bentara Luar juga telah memulakan pelajaran Melayu di bandar tersebut. Sesungguhnya, beliau memainkan peranan penting dalam menjadikan Batu Pahat sebagai daerah ketiga terpenting dan terbesar di Johor.
 
PERASMIAN MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA-Tarikh Peristiwa pada 10-11-1994

Pada hari ini dalam tahun 1994, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Memorial ini merangkumi tiga bangunan penting, iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan dua buah bangunan baru di kiri dan kanan bangunan Residensi. Bangunan Residensi dikekalkan sebagaimana asal dan dijadikan pameran bahan-bahan asal rumah tersebut semasa Tunku mendiaminya sebagai Perdana Menteri. Dua bangunan yang baru dibina pula dijadikan ruang pameran, tempat simpanan bahan dan ruang kerja. Penubuhan Memorial ini adalah berdasarkan cetusan idea YTM Tunku yang menyatakan hasrat beliau agar bangunan Residensi dijadikan sebagai sebuah ‘perhiasan negara’.

Ini adalah kerana ia merupakan kediaman rasmi Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama, Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Semasa pemerintahan British sehingga Perang Dunia Kedua meletus, ia dijadikan kediaman rasmi Residen-residen British di Selangor. Bangunan asal dipindahkan oleh Residen British di Selangor, Captain W. Bloomfield pada tahun 1880 dari Kelang ke Jalan Brockman, Kuala Lumpur yang kemudiannya ditukar nama kepada Jalan Dato’ Onn oleh Tunku pada tahun 1963. Pembinaan Memorial ini adalah sebagai tanda memperingati dan mengenang jasa-jasa, sumbangan dan kepentingan kepimpinan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
 
PERASMIAN DEWAN TAN SRI ABDUL KADIR SHAMSUDDIN-Tarikh Peristiwa pada 10-11-1979

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah ditubuhkan oleh Kerajaan bertujuan untuk meningkatkan taraf dan kemampuan latihan dalam sektor awam supaya dapat mewujudkan satuPentadbiran Awam yang cekap dan lebih dinamis bagi menghadapi masa depan negara. Dalam usaha INTAN untuk mencapai matlamat tersebut, pihak pengurusan INTAN telah menyediakan Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin sebagai tempat mengadakan latihan ataupun kursus kepada kakitangan di negara ini. Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin yang tersergam indah telah dirasmikan pada hari ini 10 November 1979 oleh Y.B. Puan Sri Zainab bt Dato’ Abu Bakar.

Upacara perasmian ini juga telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Y.B. Tan Sri Abdullah b. Ayub dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Y.B. Tan Sri Hashim Aman. Penamaan Dewan ini sebagai Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin adalah untuk mengenangkan jasa Aallahyarham Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin bekas Ketua Setiausaha Negara. Dewan ini adalah salah satu projek pembangunan INTAN di bawah rancangan Malaysia Ketiga. Projek ini telah dikelolakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia dan siap dibina dengan perbelanjaan RM1.5 juta.

Dewan ini boleh menampung seramai 500 orang. Kemudahan-kemudahan lain di Dewan ini ialah ruang pejabat, bilik kuliah dan bilik perbincangan kumpulan. Kemudahan-kemudahan seperti ini harus menggalakkan lagi bukan saja kegiatan-kegiatan latihan malah aktiviti seni dan sukan di INTAN. Sempena dengan perasmian tersebut beberapa program khas telah diadakan seperti pameran mengenai kegiatan-kegiatan INTAN sejak ianya tertubuh dalam tahun 1972, persembahan seni muzik dan nyanyian-nyanyian. Sesungguhnya dengan perasmian Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, diharap INTAN akan bergerak dan berkembang maju sebagai sebuah Institusi Latihan yang boleh dibanggakan oleh generasi-generasi akan datang.
 
PENUBUHAN PERSEKUTUAN SEJAHTERA BACHOK, KELANTAN-Tarikh Peristiwa pada 10-11-1921

Kesedaran di kalangan orang-orang Melayu tentang masa depan mereka di awal abad ke 20 banyak disumbangkan melalui penubuhan persatuan dan badan-badan di seluruh Tanah Melayu. Pelbagai pandangan, maklumat-maklumat baru dan penyatuan idea lahir daripada perbincangan di kalangan ahli-ahli persatuan yang diwujudkan itu. Atas kesedaran matlamat itulah pada hari ini 10.11.1921. Persekutuan Sejahtera Bachok telah ditubuhkan. Ianya merupakan insiatif yang dijalankan oleh Penolong Ketua Jajahan Bachok iaitu Nik Muhamad Hj. Sulong.

Melalui usaha Nik Muhamad sebuah buku Undang-undang Persatuan Sejahtera Bachok juga telah disediakan. Kelab ini mempunyai organisasi yang lengkap iaitu terdiri daripada Ketua, Naib Ketua, Ketua Setiausaha, Penolong Setiausaha, penyimpan wang, pemeriksa kira-kira dan ahli Jawatankuasa. Perkembangan persatuan-persatuan yang berbentuk sosial di Kelantan, memainkan peranan penting memberi kesedaran kepada masyarakat. Di antara kelab-kelab awal yang ditubuhkan ialah Kota Bharu Kelab yang diusahakan oleh Nik Muhamad Ghazali, Timbalan Setia Kelab oleh Pegawai-pegawai Majlis Agama Islam Kelantan. Usaha memberi kesedaran di kalangan masyarakat tempatan berkembang pesat dengan adanya kelab-kelab yang ditubuhkan di kalangan masyarakat tempatan.
 
PENEMPATAN YANG PERTAMA BELIA-BELIA DI RANCANGAN TANAH NEGERI PAHANG-Tarikh Peristiwa pada 10-11-1966

Pada hari ini 10.11.1966 seramai 48 orang belia-belia memulakan penghidupan baru di Rancangan Tanah Pemuda Bukit Goh, 12 batu dari Kuantan. Mereka merupakan kumpulan pertama menyertai rancangan tanah seumpama ini, juga rancangan pertama diadakan oleh kerajaan negeri Pahang dikelolakan di bawah Pesuruhjaya Tanah dan Galian Pahang. Untuk tujuan tersebut belia-belia yang dipilih diberi sebanyak lapan ekar kebun kelapa sawit, dua ekar kebun buah-buahan untuk memperolehi pendapatan sementara dan suku ekar untuk tapak rumah. Rumah-rumah mereka berbentuk seakan-seakan Peneroka Felda, tetapi agak lebih besar dan selesa. Rumah-rumah tersebut didirikan sendiri oleh mereka secara bergotong royong dengan semua perkakas disediakan oleh Kerajaan.

Pemilihan belia-belia untuk menyertai rancangan tidak sahaja terhad kepada yang telah mempunyai keluarga tetapi ia dibuka juga kepada belia-belia yang masih bujang. Yang penting kepada Kerajaan ialah kegigihan, ketekunan dan kesabaran mereka untuk mengerjakan kebun-kebun kelapa sawit yang diperuntukan. Kejayaan-kejayaan yang dicapai melalui rancangan seumpama ini secara tidak langsung telah membuka fikiran belia-belia negara khasnya bersikap gigih dan tahan lasak untuk sama-sama memajukan diri dan pembangunan negara. Kerajaan Pahang merupakan perintis kepada rancangan ini yang sekarang terdapat hampir di seluruh negara dan diceburi oleh pemuda-pemuda tahan lasak dan harapan bangsa.
 
Back
Top
Log in Register