BTC USD 84,458.3 Gold USD 4,275.79
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-08/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERASMIAN IBU PEJABAT FELDA-Tarikh Peristiwa pada 08-10-1983


Pada hari ini dalam tahun 1983, majlis upacara perasmian bangunan ibu pejabat FELDA telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyatakan bahawa terdirinya Ibu Pejabat FELDA yang baru ini perlu dijadikan titik permulaan kepada tekad dan kegigihan yang tinggi bukan sahaja kepada anggota organisasi FELDA tetapi juga kepada para peneroka dan masyarakat desa amnya. Dalam majlis tersebut juga, Dr. Mahathir telah menyampaikan Pingat Semai Bakti kepada kakitangan FELDA dan Pingat Emas kepada Ketua-Ketua Peneroka.

FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan merupakan sebuah agensi pembangunan tanah utama di Malaysia. Ia telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956 hasil daripada syor Jawatankuasa Kerja Kerajaan. Sehingga kini, FELDA telah membuka dan membangunkan lebih kurang 480 buah kawasan baru berjumlah seluas 853,313 hektar yang dijadikan sebagai kawasan pertanian, perladangan dan penempatan. Sesungguhnya, FELDA memainkan peranan penting dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial serta membawa kepada kestabilan politik negara.
 
PELANCARAN BANDARAYA BARU PUTRAJAYA-Tarikh Peristiwa pada 08-10-1997


Pada hari ini dalam tahun 1997, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir telah melancarkan bandaraya baru Putrajaya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Putrajaya yang berkeluasan 4,581 hektar ini dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. terletak 25 kilometer ke selatan Kuala Lumpur. Pada asalnya ia merupakan sebuah ladang kelapa sawit dan getah yang dikenali sebagai Prang Besar. Pada 12 Oktober 1994, Kabinet telah memutuskan untuk menggubah nama Prang Besar kepada Putrajaya sebagai menghormati Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra. Ketika berucap pada majlis pelancaran itu juga Perdana Menteri menyatakan Putrajaya akan mencerminkan ciri-ciri dan semangat Malaysia di samping menjadi satu lagi mercu tanda yang memperlihatkan keupayaan Malaysia dalam pembangunan bandar, khususnya dalam membina bandaraya untuk kerajaan dan rakyat.

Bahagian Keselamatan Negara dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri merupakan pejabat kerajaan yang pertama memulakan operasi di Kompleks Pejabat Perdana Menteri. Sesungguhnya, hasil daripada perancangan teliti menggabungkan reka bentuk moden, tradisional dan campuran serta mengekalkan konsep kehijauan telah menjadikan Putrajaya sebuah perbandaran yang paling moden di rantau ini.
 
ASEAN MENERIMA PERTUKARAN NAMA `KUMPULAN EKONOMI ASIA TIMUR (EAEG)' KEPADA `PERUNDINGAN EKONOMI ASIA TIMUR (EAEC)'-Tarikh Peristiwa pada 08-10-1991

Pada hari ini 8.10.1991, Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEMM), telah bersetuju untuk menukar nama `Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG)' kepada `Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC)'. Persetujuan pertukaran nama tersebut dibuat bagi membetulkan kekeliruan yang berlaku iaitu dengan menggunakan perkataan `Kumpulan' telah menyebabkan pihak-pihak tertentu menganggap EAEG sebagai sebuah pertubuhan yang tetap dan sebagai sebuah blok dagangan. Dengan itu adalah mustahak bagi membetulkan kekeliruan tersebut, memandangkan EAEC adalah sebuah `Perundingan' yang longgar bagi membincangkan isu-isu bersama ekonomi Asia Timur. Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEMM) yang juga sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Sri Rafidah Aziz, berkata bahawa EAEC adalah berkepentingan untuk:-

memperjuangkan sistem perdagangan bebas dan isu-isu bersama di kalangan negara-negara anggota yang telah disarankan penubuhannya oleh Malaysia sebagai EAEG.

mengukuhkan jentera ASEAN yang sedia ada khususnya sistem rakan dialog ASEAN dalam menggalakkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara ketiga dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

mengadakan perundingan untuk membincangkan isu-isu bersama yang melibatkan ekonomi Asia Timur apabila terdapat keperluan untuk berbuat demikian pada bila-bila masa.

berusaha untuk memperluaskan lagi kerjasama antara negara-negara Asia Timur bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi serantau, dan pada masa yang sama, dapat menyumbang kepada penggalakkan sistem perdagangan terbuka dunia.

Sesungguhnya dengan pertukaran nama EAEG kepada EAEC pada hari ini diharap EAEC tidak akan menjadi satu entiti yang di institusikan dan juga sebuah blok dagangan seperti yang dibimbangkan selama ini.
 
UNIVERSITI MALAYA AKAN LAKSANAKAN SISTEM SEMESTER MULAI SESI 1986/1987-Tarikh Peristiwa pada 08-10-1985

Pada hari ini 8.10.1985, Universiti Malaya mengumumkan perlaksanaan Sistem Semester menggantikan Sistem Penggal yang telah diamalkan sejak penubuhannya lagi. Ketika mengumumkan langkah tersebut, Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Di Raja Ungku Aziz berkata keputusan itu dibuat setelah mengkaji dari semua segi kebaikan dan keburukannya. Lain-lain Institusi Pengajian Tinggi di negara ini telah pun melaksanakan sistem ini dalam sistem pengajian masing-masing. Sistem yang akan dilaksanakan mulai sesi 1986/1987 ini meliputi 28 minggu kuliah dan 18 minggu cuti. Ia terbahagi kepada 2 semester. Semester pertama mengandungi 14 minggu kuliah, 1 minggu peperiksaan, 5 minggu cuti dan 1 minggu suai kenal. Semester kedua pula meliputi 14 minggu kuliah, 4 minggu peperiksaan dan 13 minggu cuti. Dengan perlaksanaan Sistem Semester ini jumlah kuliah bertambah 3 minggu daripada 25 minggu dalam sistem penggal. Sementara cuti yang panjang di dalam semester kedua diperuntukkan untuk para tenaga akademik membuat penyelidikan dan mengambil cuti belajar serta menghadiri seminar-seminar di luar negeri.

Perlaksanaan Sistem Semester ini meliputi semua tahun pengajian. Fakulti Sejarah dan Usuluddin yang telah pun melaksanakan separuh sistem ini akan melaksanakan sepenuhnya. Lain-lain fakulti yang akan terlibat ialah Fakulti Sastera, Ekonomi, Sains, Pendidikan, Perubatan, Kejuruteraan dan Pergigian. Asasi Sains telah pun melaksanakannya, sementara Pusat Bahasa dan Pusat Komputer kurang sesuai melaksanakannya. Dengan bermulanya Sistem Semester ini, sejarah sistem penggal di Universiti Malaya berakhir dan sistem pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini dapat diselaraskan.
 
MESYUARAT KEEMPAT MENTERI-MENTERI PERHUTANAN DAN PERTANIAN NEGARA ASEAN-Tarikh Peristiwa pada 08-10-

Pada hari ini 8.10.1982, Mesyuarat Keempat Menteri-Menteri Perhutanan dan Pertanian ASEAN telah berlangsung di Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Datuk Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam persidangan ini Malaysia telah diwakili oleh Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Osman. Manakala menteri-menteri dari negara-negara ASEAN ialah Encik Chuan Lektai, Menteri Pertanian Thailand; Encik Artoro Thaun, Menteri Pertanian Filipina; Prof. Soedarsono Hadisaproetro, Menteri Pertanian Indonesia dan Encik Teh Cheng Wai, Menteri Pembangunan Negeri Singapura. Dalam ucapan perasmian, Datuk Musa Hitam menyatakan bahawa hasil-hasil penyelidikan pertanian perlu disalurkan kepada para petani dengan cara yang dapat difahami dan berfaedah.

Penggunaan teknologi pertanian amat penting untuk meningkatkan pengeluaran. Beliau menyeru negara anggota ASEAN menyatukan sumber-sumber saintifik dan kewangan bagi faedah bersama. Mesyuarat peringkat Menteri-Menteri Perhutanan dan Pertanian ini membincangkan masalah-masalah bersama dalam bidang pertanian dan perikanan ke arah menambahkan pengeluaran hasil. Kewujudan Zon Ekonomi Eksklusif dalam bidang perikanan memerlukan persefahaman negara-negara ASEAN di samping kerjasama yang lebih erat. Dengan berlangsungnya Mesyuarat Menteri-Menteri Perhutanan dan Pertanian pada hari ini dalam tahun 1982 akan meningkatkan lagi bidang kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN.
 
Back
Top
Log in Register