BTC USD 63,070.2 Gold USD 4,302.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-07/10

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PEMBUNUHAN SIR HENRY GURNEY -Tarikh Peristiwa pada 07-10-1951


Pada hari ini dalam tahun 1951, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney telah mati terbunuh dalam satu kejadian serang hendap oleh pengganas-pengganas komunis. Tragedi ini berlaku di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Beliau yang berusia 53 tahun, adalah bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Inggeris di Palestine. Kemudiannya, dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948 bagi menggantikan Sir Edward Gent. Sewaktu kejadian, beliau bersama isterinya Puan Gurney dan Setiausaha Peribadinya, D. J. Staples dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Bukit Fraser kerana urusan rasmi dan untuk berehat.

Kereta Roll Royces beliau telah dipandu oleh Konstable Mohd. Din. Ketika sedang mengambil selekoh S kira-kira 8 batu dari Bukit Fraser, tiba-tiba mereka menjadi sasaran peluru tembakan komunis. Pasukan keselamatan telah berjaya menangkap dan membunuh semua anggota dan ketua gerombolan komunis yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Gurney. Upacara pengkebumian telah dilakukan di Perkuburan Kristian Jalan Cheras pada 8 Oktober 1951 dengan penuh kehormatan. Rakyat Tanah Melayu turut memberi penghormatan terakhir atas pemergiannya
 
BANGUNAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH-Tarikh Peristiwa pada 07-10-1982

Pada hari ini dalam tahun 1982, Bangunan kerajaan Negeri Selangor yang baru telah dinamakan sebagai Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Bangunan yang terletak di Shah Alam ini menempatkan 36 buah Jabatan iaitu 12 Jabatan Kerajaan negeri dan 24 jabatan Kerajaan Persekutuan ini telah mula dibina pada tahun 1978. Pengumuman nama baru bangunan ini telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Ahmad Razali Haji Ali. Menurut beliau, pemilihan nama tersebut dibuat bersempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu serta perhatian dan inspirasi baginda terhadap pembinaan bangunan ini.

Ketika bercakap pada pengumuman tersebut juga Menteri Besar menyatakan bahawa antara lain pembinaan bangunan ini juga bertujuan untuk menggantikan bangunan Sultan Abdul Samad yang dahulunya pernah menjadi bangunan Sekretariat bagi negeri Selangor. Bangunan setinggi 27 tingkat ini telah menelan kos perbelanjaan sebanyak RM 106.63 juta turut menempatkan Dewan Undangan Negeri Selangor. Sesungguhnya, dengan pembinaan dan penguatkuasaan nama Bangunan Kerajaan Selangor ini, telah membuka laluan untuk dalam kemajuan negeri Selangor.
 
PENGUMUMAN LEMBAGA PEPERIKSAAN MENGGUNAKAN MESIN KOMPUTER DALAM MEMERIKSA JAWAPAN PEPERIKSAAN PENILAIAN DARJAH V DAN SIJIL RENDAH PELAJARAN-Tarikh Peristiwa pada 07-10-1967

Penggunaan teknologi memainkan peranan yang penting dalam mempercepatkan proses kerja selain daripada menjimatkan kos dan mengurangkan kesilapan. Pada hari ini 7.10.1967 Menteri Pelajaran Encik Mohamed Khir Johari mengumumkan Lembaga Peperiksaan akan menggunakan mesin komputer bagi memeriksa kertas jawapan peperiksaan penilaian Darjah V dan Sijil Rendah Pelajaran. Encik Mohamed Khir Johari menjelaskan seramai 364,000 orang pelajar akan menjadi perintis kepada sistem pemeriksaan ini. Daripada bilangan tersebut 204,000 pelajar yang terlibat adalah pelajar darjah V dan 160,000 lagi murid-murid tingkatan 3.

Penggunaan komputer dalam memeriksa kertas jawapan pelajar-pelajar ini diperlukan kerana akibat daripada pertambahan bilangan pelajar yang menduduki kedua-dua peperiksaan tersebut. Sebagai contoh jumlah kertas jawapan pelajar-pelajar darjah V sahaja dijangka 1.2 juta helai dan Sijil Rendah Pelajaran sebanyak 1.5 juta helai. Jika masih menggunakan kaedah lama ianya memakan masa selama 4 bulan dan tenaga pekerja sebanyak 3000 orang. Dengan menggunakan komputer jangka masa yang diperlukan cuma 2 hingga 3 minggu sahaja. Projek ini yang pertama digunakan di Asia, merupakan langkah-langkah awal yang dijalankan oleh pihak Kementerian Pelajaran menggunakan komputer di dalam melicinkan dan mempercepatkan kerja-kerja memeriksa kertas peperiksaan di negara ini.
 
JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MENUBUHKAN SEBUAH JABATAN TOPOGRAFI DI KOTA KINABALU, SABAH-Tarikh Peristiwa pada 07-10-1983

Jabatan Ukur atau Survey Department di Sabah telah ditubuhkan pada tahun 1925. Walaupun begitu kerja-kerja berkaitan dengan fungsi Jabatan Ukur telahpun bermula sejak tahun 1800an lagi apabila Syarikat Borneo Utara kepunyaan British mula menjalankan kerja-kerja mengukur dan mendaftar tanah-tanah di bawah jajahan mereka. Jabatan ini berkembang sebagai sebuah Jabatan Ukur yang sempurna pada tahun 1925 apabila Kerajaan menubuhkan Survey Department dengan diketuai oleh seorang Chief Surveyor.

Pada hari ini 7 Oktober 1983 satu lagi kemajuan telah dicapai oleh Jabatan ini apabila sebuah Jabatan iaitu Jabatan Topografi di bawah Jabatan Ukur dan Pemetaan telah dibuka di Kota Kinabalu. Pembukaan Jabatan Topografi di Jabatan Ukur dan Pemetaan ini adalah bertujuan untuk melicinkan tugas-tugas berkaitan dengan kajian Topografi di Negeri Sabah. Penubuhannya adalah sebagai melengkapkan tugas Jabatan Ukur dan Pemetaan dalam tugas-tugas yang semakin mencabar. Bermula sebagai sebuah Pejabat Pendaftar Tanah untuk `The British North Borneo (Chartered) Company', Jabatan ini telah menjalankan kerja-kerja ukur di Borneo Utara (Sabah) sejak tahun 1888 lagi. Ketika itu kerja-kerja pengukuran tanah dijalankan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan ini.

Selepas tahun 1925 barulah Jabatan ini mempunyai organisasi sebagai jabatan Ukur dengan 7 orang juruukur bangsa Eropah dan 6 juruukur bangsa Asia. Pada tahun 1930 apabila kemelesetan Ekonomi melanda dunia, hanya 2 orang juruukur sahaja yang bertugas di Jabatan tersebut. Pada 1940 dua iaitu Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur telah disatukan di bawah seorang Ketua yang dikenal sebagai Surveyor-General and Commission of Lands. Keadaan ini berterusan sehingga pecah perang dunia ke 2. Semasa pemerintahan Jepun Jabatan ini meneruskan operasinya dengan bantuan juruukur bangsa Asia. Banyak kerja-kerja ukur dapat diselesaikan, dan disimpan di pejabat di Beaufort. Walau bagaimanapun rekod-rekod yang diperolehi telah musnah semasa perang dan setengahnya pula musnah oleh pertukaran cuaca dan bencana alam.

Sehingga hari ini Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara Sabah telah maju setapak lagi apabila Jabatan Topografi ditubuhkan untuk melaksanakan tugas-tugas yang perlu. Sesuai dengan objektif jabatan ukur dan pemetaan Malaysia iaitu untuk:-

memastikan perkhidmatan ukur tanah dan pemetaan yang berkualiti, efisyen selaras dengan keperluan negara
menentukan kepentingan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dalam melaksanakan kerja-kerja ukur tanah dan pemetaan bersesuaian dengan peruntukan undang-undang dan peraturan berkaitan berperanan sebagai pusat rujukan dan pembangunan teknologi negara dalam disiplin ukur dan pemetaan memastikan penyediaan tenaga manusia terlatih dan mahir dalam bidang ukur tanah dan pemetaan tercapai selaras dengan wawasan negara Berpandukan objektif ini Jabatan akan terus berusaha meningkatkan kualiti kerja-kerjanya sesuai dengan peredaran masa.
 
PERJANJIAN UDARA MALAYSIA - NEW ZEALAND-Tarikh Peristiwa pada 07-10-1964

Pada hari ini 7.10.1964, rundingan mengenai perjanjian udara di antara Malaysia dengan New Zealand telah dimulakan. Perjanjian ini bertujuan untuk mengukuhkan rangkaian perhubungan pertahanan dan perdagangan antara kedua negara. Dengan perjanjian ini syarikat penerbangan Malaysia akan diberikan hak mendarat di New Zealand. Begitu juga dengan syarikat penerbangan New Zealand, diberi hak yang sama untuk mendarat di Malaysia. Perjanjian ini juga mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia wujud di antara kedua negara, di mana New Zealand banyak membantu Malaysia semasa zaman darurat dahulu.

Selain dari itu, usaha-usaha ke arah memperluaskan perusahaan pelancongan akan dibuat dengan ujudnya perjanjian ini. Semasa rundingan perjanjian diadakan, Malaysia diwakili oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sardon Jubir, Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Raja Azam bin Raja Kamarulzaman, Pengarah Penerbangan, Encik S.W.F Palmer dan Pegawai dari Kementerian Pengangkutan, Encik Saw Huat Lye. Manakala New Zealand diwakili oleh Pesuruhjaya Tingginya, Encik R.H. Wade dan Pengarah Agong Jabatan Penerbangan Awam, Encik Bruce Rae.
 
Back
Top
Log in Register