BTC USD 84,677.0 Gold USD 4,285.49
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-07/01

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERASMIAN TEROWONG DAN LEBUHRAYA KARAK-KUALA LUMPUR-Tarikh Peristiwa pada 07-01-1978

Pada hari ini dalam tahun 1978, Terowong dan Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya kepada lalu lintas oleh Menteri Perhubungan dan Kerjaraya, Datuk Haji Abdul Ghani Gilong. Lebuhraya yang mengandungi sebuah terowong sepanjang 3,000 kaki dan sepanjang 47 batu di Genting Sempah ini telah mendekatkan Karak dengan Kuala Lumpur. Lebuhraya yang menelan belanja sebanyak $ 136.4 juta ini merupakan laluan alternatif kepada jalan Gombak - Bentong yang sempit dan bengkang-bengkok dengan dibiayai melalui pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia. Terowong Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur ini merupakan yang pertama di bina di Malaysia ini, telah dilengkapi dengan kamera bagi mengawal pergerakan kenderaan yang melalui terowong ini yang dipancarkan di rumah kawalan terowong. Sesungguhnya, pembinaan terowong dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ini telah memendekkan perjalanan di antara Kuala Lumpur dan negeri-negeri Pantai Timur, serta menggalakkan perkembangan ekonomi yang lebih pesat.
 
MESYUARAT PERTAMA MAJLIS PEMBANGUNAN NEGARA-Tarikh Peristiwa pada 07-01-1992

Majlis Pembangunan Negara ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Negara menerusi Arahan Nombor 1 (1991) jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Arahan itu dikeluarkan sempena pelancaran Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) dan Rancangan Malaysia Keenam (RM6) bagi menggantikan Arahan Nombor 1 (1971) Majlis Tindakan Negara. Majlis Pembangunan Negara telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada hari ini 7.1.1992, dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad, bertempat di Bilik Gerakan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kuala Lumpur. Mesyuarat itu diadakan bertujuan bagi membincangkan dan memastikan Majlis tersebut dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan.

Di antara fungsi-fungsi penting Majlis Pembangunan Negara ialah:

menentukan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan selaras dengan matlamat-matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Rancangan Malaysia Keenam (RM6).

menentukan strategi dan pelaksanaan program dan projek pembangunan Kerajaan menepati matlamat-matlamat DPN dan RM 6 serta mengesan dan menilai strategi pelaksanaan program dan projek di bawahnya.

Majlis Pembangunan Negara dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba serta lapan orang menteri lain. Sebuah Jawatankuasa Kerja Pembangunan Negara juga ditubuhkan di bawah Majlis tersebut yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, dengan dianggotai oleh tujuh anggota. Majlis Pembangunan Negara akan bersidang sekurang-kurangnya 4 kali setahun atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Perdana Menteri manakala semua Jawatankuasa lain bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali mengikut keperluan. Diharap Majlis Pembangunan Negara yang ditubuhkan akan dapat melaksanakan dasar-dasar Kerajaan dengan sempurna selaras dengan objektif penubuhannya.
 
SURAT PEKELILING MENGENAI KEMUDAHAN-KEMUDAHAN PENYELIDIKAN DI INSTITUT PERUBATAN PENYELIDIKAN DI KELUARKAN-Tarikh Peristiwa pada 10-07-1901

Kesedaran tentang bahaya penyakit-penyakit tropika seperti yang terdapat di Malaya telah menimbulkan kesedaran kepada pihak pentadbdiran Inggeris untuk cuba mengatasinya di awal tahun 1900. Kajian mengenai penyakit tropika ini telah mula mendapat perhatian mereka. Atas kesedaran tersebut pada hari ini 10 Julai 1901 satu surat pekeliling daripada Resident-General Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) ketika itu W.H. Treacher telah dikeluarkan untuk menubuhkan sebuah institut penyelidikan mengenai penyakit-penyakit tropika. Institut tersebut dikenali sebagai Kuala Lumpur Pathological Institut yang kemudian dikenal sebagai Institute for Medical Research. Cadangan penubuhan institut ini telah dikemukakan oleh Residen-General terdahulu iaitu Sir Frank Swettenham. Beliau mencadangkan sebuah institut penyelidikan ditubuhkan bagi mengkaji dan menyelidik penyakit-penyakit yang terdapat di Malaya ketika itu seperti beri-beri, malaria, tibi, taun dan sebagainya. Beliau berpendapat bahawa perlunya sebuah institut yang menjalankan kajian-kajian secara saintifik mengenai penyakit-penyakit di Malaysia dan mencadangkan agar institiut ini diterajui oleh pakar perubatan yang terlatih untuk menerajui institut ini. Cadangan Swettenham ini menjadi lebih kukuh dan berasas kerana ketika itu beberapa wabak penyakit telah melanda Malaya dan banyak yang telah terkorban daripada penyakit-penyakit tersebut. Kuala Lumpur telah dipilih untuk penubuhan institut berkenaan pada tahun 1900 dan dinamakan Pathological Institut yang kemudian ditukar kepada Institut for Medical Research (IMR) telah ditubuhkan. Setahun kemudian iaitu pada hari ini satu surat pekeliling telah dikeluarkan oleh Residen General FMS, W.H. Treacher mengenai kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh institut ini. Antara perkara-perkara yang terkandung dalam surat pekeliling bernombor 3135, 10 Julai 1901 ialah:-

Pentadbiran FMS yang berpusat di Kuala Lumpur memaklumkan mengenai penubuhan sebuah institut penyelidikan perubatan. Institut tersebut terletak di Kuala Lumpur dan terbuka kepada semua.

Jabatan Perubatan menyediakan semua kemudahan dan kelengkapan penyelidikan yang diperlukan untuk membolehkan institut berkenaan beroperasi.

Jabatan Kimia akan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjalankan penyelidikan berkaitan dengan bahan-bahan `organic' dan `inorganic'. Terdapat juga sebuah Jabatan Fotografi dan perpustakaan yang lengkap untuk tujuan menjalankan kajian-kajian biologi.

Institut ini boleh digunakan oleh semua orang tanpa mengira latar belakang, keturunan dan negeri asal mereka.
Institut ini juga menawarkan kemudahan-kemudahan penyelidikan kepada pakar-pakar penyelidik dari luar negeri yang berminat mengumpul bahan-bahan kajian perubatan dan penyakit-penyakit tropika di rantau ini.

Pengkaji dan penyelidik-penyelidik akan berpeluang mendapatkan maklumat terperinci mengenai penyakit-penyakit tertentu yang hanya ditemui di kawasan tropika seperti penyakit beri-beri yang wujud hanya dalam keadaan-keadaan tertentu, sementara penyakit malaria pula boleh ditemui dalam 4 jenis yang berbeza. Dengan adanya surat pekeliling yang dikeluarkan pada hari ini dalam tahun 1901 telah memulakan satu detik penting dalam sejarah penyelidikan perubatan dan pengawalan penyakit tropika di negara kita.
 
Back
Top
Log in Register