BTC USD 83,924.8 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-04/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
MALAYSIA-INDONESIA METERAI PERJANJIAN PERKAPALAN-Tarikh Peristiwa pada 04-11-1986

Pada hari ini dalam tahun 1986, Malaysia dan Indonesia telah memeterai perjanjian perkapalan. Perjanjian tersebut merupakan perjanjian yang pertama dibuat antara anggota ASEAN. Malaysia telah diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk R.V. Navaratnam sementara Indonesia pula diwakili oleh Direktor Jeneral Perhubungan Laut, Department Perhubungan Indonesia, Encik J.E. Habibie. Perjanjian tersebut melibatkan beberapa perkara seperti kedua-kedua pihak hendaklah memberikan layanan yang sama baik ke atas kapal atau anak-anak kapal.

Kedua-kedua buah negara perlu bekerjasama untuk saling membantu apabila berlaku kemalangan maritim dalam perairan negara masing-masing. Melalui perjanjian itu juga, kedua-dua buah negara bersetuju jumlah perdagangan melalui laut akan diangkut oleh kapal kedua-dua buah negara berasaskan kesamarataan dan faedah bersama. Perjanjian tersebut juga bersetuju menentukan keselamatan pelayaran di laut terutama di Selat Melaka dan Singapura. Sesungguhnya, perjanjian Perkapalan Malaysia-Indonesia telah mengeratkan lagi perhubungan dua hala kedua-kedua negara yang sedia terjalin sejak sekian lama.
 
KUNJUNGAN MUHIBBAH KETUA PENGAKAP KOMANWEL-Tarikh Peristiwa pada 04-11-1964

Pada hari ini dalam tahun 1964, Ketua Pengakap Komanwel, Sir Charles Maclean telah membuat kunjungan muhibbah kepada Dato Sardon bin Haji Jubir, Menteri Pengangkutan yang juga merupakan Ketua Pengakap Malaysia di Kuala Lumpur. Dalam kunjungan tersebut juga Sir Charles Maclean telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Pengakap Tanah Melayu di Rumah Baden Powel yang terletak di jalan Davidson (Jalan Hang Jebat). Beliau telah dianugerahkan dengan pingat tertinggi pengakap Malaysia iaitu ‘Semangat Padi’ oleh Dato Sardon. Pengakap mula diperkenalkan di Tanah Melayu dalam tahun 1908 dan secara rasminya ditubuhkan pada 2 Julai 1910 serta merupakan salah satu badan beruniform yang berada di bawah Akta Parlimen Malaysia.

Berikutan dengan kemerdekaan yang dicapai oleh negara pada tahun 1957, Persekutuan Budak-Budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi ahli sepenuhnya dalam Persidangan Pengakap Dunia (World Organization of the Scout Movement). Matlamat penubuhan Pengakap adalah untuk menyediakan latihan kepimpinan yang berasaskan kepada prinsip dan undang-undang pengakap dengan matlamat mempertingkatkan kesedaran dan semangat tolong-menolong tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan.
 
PERSIDANGAN PERTAMA PERGERAKAN WANITA MAJLIS DAKWAH ISLAMIAH RANTAU ASIA TENGGARA DAN PASIFIK (RISEAP)-Tarikh Peristiwa pada 04-11-1986

Pelbagai pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan telah banyak diwujudkan di negara ini. Ianya tidak saja berperanan di negara ini tetapi juga di luar negara. Salah satu daripada badan tersebut ialah RISEAP (Pergerakan Wanita Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik). Pada hari ini 4.11.1986, buat pertama kalinya Perhimpunan Agong RISEAP telah diadakan di Kuala Lumpur.

Pada persidangan itu, Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaya yang pertama) selaku Presiden RISEAP menyeru umat Islam mengeratkan persaudaraan dan besama-sama membantu di kalangan umat Islam di rantau ini. Selain daripada itu Tunku juga berharap umat Islam di negara Asia dan Pacifik yang merupakan golongan minoriti perlu disatukan di dalam badan-badan Islam. Perhimpunan Agong RISEAP yang pertama kali diadakan ini telah dirasmikan oleh Datuk Sri Datin Paduka Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Dengan adanya perhimpunan RISEAP yang pertama kali diadakan ini dapat menyatukan pelbagai pandangan di kalangan ahli untuk memajukan dan menjaga kebajikan di kalangan umat Islam di rantau sebelah sini.
 
Back
Top
Log in Register