BTC USD 84,594.6 Gold USD 4,287.94
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah-03/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERASMIAN PUSAT KESIHATAN BESAR, BADANG, KOTA BHARU, KELANTAN-Tarikh Peristiwa pada 03-11-1985

Pada hari ini dalam tahun 1985, Y.B. Dato’ Chin Hon Ngian telah merasmikan Pusat Kesihatan Besar Badang, Kota Bharu yang dibina dengan harga RM2.1 juta. Pusat Kesihatan Badang tersebut merupakan Pusat Kesihatan Besar yang ketiga dan dibina dengan rekabentuk baru serta lebih besar daripada pusat-pusat kesihatan yang lain. Pembinaan Pusat Kesihatan Besar tersebut telah memudahkan penduduk Kota Bharu yang berjumlah 20 ribu orang daripada 39 buah kampung menikmati perkhidmatan rawatan perubatan, kesihatan dan pergigian secara menyeluruh.

Antara aktiviti-aktiviti yang diberikan oleh Pusat Kesihatan tersebut adalah rawatan pesakit luar, pemeriksaan ibu-ibu mengandung, perkhidmatan perbidanan di rumah, penjagaan ibu bersalin, perkhidmatan makmal dan dispensari. Aktiviti-aktiviti kebersihan alam sekitar yang turut diadakan termasuklah pembinaan tandas dan bekalan air yang sempurna, aktiviti kawalan penyakit berjangkit, pelajaran mengenai kesihatan, rawatan dan kesihatan pergigian. Sesungguhnya, pembinaan Pusat Kesihatan Besar Badang tersebut dapat mempertingkatkan lagi taraf kesihatan penduduk Kota Bharu.
 
PEMBUKAAN PENEMPATAN ORANG ASLI DI KUALA KUBU BHARU -Tarikh Peristiwa pada 03-11-1967

Pada hari ini dalam tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah merasmikan pembukaan penempatan orang asli di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Turut sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Tanah dan Galian, Dato’ Haji Abdul Rahman Ya’kub dan Menteri Besar Selangor Dato’ Harun Idris. Penempatan ini telah mula dibangunkan pada tahun 1965 di kawasan seluas 20 ekar dan telah dinamakan sebagai Kampung Tun Razak. Rancangan Pembangunan Khas untuk orang-orang Asli ini menempatkan sebanyak 42 rumah, sekolah, klinik dan dewan orang ramai bagi kemudahan penduduk seramai 300 orang. Ketika berucap pada majlis tersebut Tun Abdul Razak menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan orang Asli daripada sebarang pembangunan negara.

Beliau menyatakan bahawa sebagai sebuah negara yang merdeka, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela nasib kaum-kaum yang masih rendah taraf ekonominya. Sesungguhnya, kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan beberapa agensi lain telah memperjuangkan nasib dan masa depan orang Asli dengan terus menyediakan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan kepada orang Asli sebagai usaha berterusan mempertingkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negara.
 
PERTAMA KALI NEGERI TERENGGANU MENJALANKAN BANCI PENDUDUK-Tarikh Peristiwa pada 10-03-1911

Bancian penduduk sering dilakukan bagi menentukan jumlah penduduk sebenar. Bancian juga akan memudahkan segala perancangan yang akan dijalankan di masa akan datang. Dalam sejarah negeri Terengganu, bancian penduduk buat pertama kali telah diadakan pada 10 Mac 1911. Daripada bancian yang dijalankan di dapati jumlah penduduknya seramai 154,073 orang dengan 149,379 adalah orang Melayu. Bakinya ialah bangsa lain termasuklah 10 orang Eropah.

Dengan bancian yang dijalankan Kerajaan Negeri telah dapat mengenalpasti jumlah penduduk, kawasan padat dan taburan penduduk. Selain itu bilangan penduduk dari segi jantina dan umur juga telah dikenalpasti. Usaha-usaha yang dijalankan bagi membanci penduduk ini menggambarkan Kerajaan Terengganu sudahpun mempunyai pandangan jauh dalam perancangan pembangunan penduduknya di masa akan datang.
 
PENGURNIAAN PANJI-PANJI PASUKAN PERTAMA ASKAR PENINJAU PERSEKUTUAN TANAH MELAYU-Tarikh Peristiwa pada 03-11-1962

Pasukan Pertahanan memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan keamanan di dalam negara ini. Kemampuan pasukan askar kita telah terbukti kewibawaan pada zaman darurat dahulu. Kemampuan menghapus kegiatan dan kezaliman Komunis (1948-1960) menjadikan pasukan askar wira negara. Di atas jasa yang ditunjukan itu, pada hari ini 3 November 1962 Pasukan Pertama Askar Peninjau Persekutuan Tanah Melayu telah dikurniakan `Panji-Panji’ yang menjadi lambang kehormatan, kemegahan dan bukti taat setia kepada negara. Pengurniaan panji-panji yang julung-julung kali bagi pasukan ini telah dilakukan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Putera Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalulai dalam satu istiadat di Perkhemahan Tentera Sungai Udang, Melaka. Pasukan ini ditubuhkan pada 2 Sept. 1952 di Taiping Perak dikenali dengan nama Batalion Pertama Pasukan Tentera Persekutuan.

Ianya ditubuhkan atas inisiatif Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan beliau telah dilantik sebagai Kolonel Pasukan yang pertama dan apabila beliau bersara pada Mei 1954, DYMM Raja Perlis telah menggantikan tempatnya sebagai Kolenel Pasukan yang kedua. Pengorbanan Pasukan Tentera ini kepada rakyat untuk mewujudkan keamanan terbukti dengan kejayaan mengalahkan komunis di Perak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Pahang dan kejayaan cemerlang dicatatkan di Tangkak, Johor apabila pasukan ini berjaya mengisytiharkan Kawasan Putih di kawasan ini pada tahun 1957.
 
Back
Top
Log in Register