ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Anuar OTHMAN menunjukkan gambar dua anggota kumpulan kongsi gelap Don Tiger yang diburu polis, dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, semalam. BERNAMA
IPOH 28 Mei - Polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes samun di sekitar bandar raya ini selepas berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan ‘Don Tiger' dan pembantunya, Isnin lalu.
Ketua kumpulan 'Don Tiger' yang berusia 27 tahun dan pembantunya ditahan selepas polis berjaya mengesan kenderaan jenis Nissan Skyline curi dinaiki mereka yang menggunakan nombor pendaftaran tidak wujud iaitu 'DON3'.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Anuar Othman berkata, kereta mewah tersebut adalah milik pasangan warga emas di Taman Mansion di sini yang telah dilarikan kedua-dua suspek setelah menyamun mangsa.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, kedua-dua suspek turut menolak dan memukul mangsa sebelum merampas barangan berharga seperti telefon bimbit dan wang tunai milik mereka.
“Bagaimanapun, kita berjaya menahan suspek kira-kira enam jam kemudian selepas kenderaan itu yang menggunakan nombor pendaftaran tidak wujud iaitu 'DON3' berjaya dikesan di kawasan Kampung Baru, Tambun.
“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek kemudiannya menemukan dua lagi kereta jenis Toyota Camry dan Perodua MyVi yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini. Dengan tertangkapnya dua suspek ini, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun yang dilaporkan di bandar raya ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Anuar, kedua-dua kereta itu telah disimpan di sebuah flat di Tambun dekat sini yang juga rumah salah seorang suspek berkenaan.
Katanya, siasatan juga mendapati kenderaan berkenaan turut digunakan oleh kumpulan tersebut semasa melakukan kegiatan samun.
“Ketika soal siasat dijalankan, suspek turut memberitahu terdapat dua lagi ahli kumpulan itu yang bebas dan polis kini sedang berusaha untuk mengesan mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Anuar berkata, polis berjaya menyelesaikan 12 kes melibatkan pecah kedai, curi motosikal dan curi basikal mewah dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 28 tahun, semalam.
Katanya, suspek yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan di sekitar Bercham, Tanjung Rambutan, Pekan Bharu dan Sungai Senam secara bersendirian ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.