6 jaringan terbaik(sumber harian metro.)
BERLIN: Jaringan terbaik pada pusingan akhir Piala Dunia:
Maxi Rodriguez
ARGENTINA mln Mexico
SECARA tiba-tiba, Argentina seakan-akan tewas apabila Mexico mula mendahului sebelum kedudukan kembali terikat 1-1. Perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan penentuan penalti dan memerlukan satu keajaiban untuk memecahkan kebuntuan.
Rodriguez mencuri tumpuan dengan penuh bergaya. Mendada hantaran Juan Pablo Sorin dan pemain tengah Atletico Madrid itu sempat melihat ke arah gawang lawan sebelum melakukan voli daripada luar kotak penalti untuk menewaskan Oswaldo Sanchez bagi memastikan kemenangan 2-1.
Bagaimanapun, kempen Piala Dunia baginya berakhir dengan episod memalukan apabila menerima hukuman penggantungan dua perlawanan selepas didakwa memukul pemain Jerman selepas kekalahan menerusi sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Esteban Cambiasso
ARGENTINA mln Serbia
KETIKA jaringan Rodriguez disifatkan sebagai hebat, jaringan Cambiasso pula layak dinobatkan sebagai jaringan kejohanan untuk Argentina. Ia membabitkan 24 hantaran yang jarang dapat dilakukan. Cambiasso bukanlah penjaring tetap dan tidak berbuat demikian dalam 20 kemunculan sebelum ini. Bagaimanapun, pemain tengah Inter Milan itu tetap melakarkan upset dan melenyapkan segala masalah yang membelenggunya menerusi jaringan itu. Tetapi, dia kembali berduka apabila sepakan penalti yang diambilnya diselamatkan Jens Lehmann di peringkat suku akhir.
Fabio Grosso
ITALI mln Jerman
PEMAIN pertahanan Palermo itu sudah menjadi antara kunci kejayaan Itali ketika bertemu Australia. Bagaimanapun, sumbangannya pada dua minit sebelum tamat masa tambahan ketika menentang Jerman adalah sesuatu yang begitu menarik. Dia meledakkan jaringan hasil hantaran Andrea Pirlo menerusi sepakan lencong yang gagal diselamatkan Jens Lehmann. Itu adalah jaringan kedua buat Azzurri dan jaringan itu sama seperti yang dilakukan Marco Tardelli pada final 1982 ke atas musuh yang sama - Jerman.
Bakary Kone
IVORY COAST mln Belanda
SEPP Blatter mengatakan bahawa Ivory Coast mempamer aksi terbaik di kalangan negara Afrika walaupun mereka tersingkir di peringkat pertama. Tetapi jaringan yang paling menarik daripada pasukan itu dihasilkan Kone ketika menentang Belanda. Menguasai bola di luar kotak penalti lawan, penyerang kelab Nice melakukan larian pantas sebelum meledakkan rembatan menarik untuk menewaskan penjaga gol Belanda, Edwin van der Sar.
Joe Cole
ENGLAND mln Sweden
TIDAK banyak perkara yang boleh membanggakan barisan tengah England pada Piala Dunia kali ini. Bagaimanapun, tidak seperti Frank Lampard, Cole yang berusia 25 tahun itu ada meledakkan jaringan dan ia adalah antara jaringan tercantik England. Tandukan pemain lawan singgah kepada Cole yang ketika itu berada di luar kotak penalti. Dia mendada bola sebelum membuat voli tepat ke penjuru kanan gawang Sweden dan penjaga gol, Andreas Isaksson tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan bola itu.
Ronaldo
BRAZIL mln Ghana
MUNGKIN jaringan ini bukan yang terbaik di sepanjang kariernya tetapi ia hadir tepat pada masa Ronaldo sedang sedang menghadapi pelbagai kritikan selain jaringan itu berjaya mencatatkan namanya sebagai penjaring terbanyak mengatasi rekod Gerd Muller. Penyerang berusia 29 tahun itu memperdaya penjaga gol lawan, Richard Kingson, dan dengan mudah menolak masuk. “Saya mahu lebih banyak gol,†laung Ronaldo. Bagaimanapun, Perancis memastikan Ronaldo perlu menunggu selama empat tahun lagi untuk berbuat demikian - itupun jika badannya masih mampu beraksi. - AFP