balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
(Dari kiri) Osman, Nizam dan Fadil ketika ditemui dekat rumah mereka dalam ladang sawit di belakang Taman Desa Aman, Sungai Lalang.
< 1 / 3 >
SUNGAI PETANI – Kisah Mat Tarzan yang tinggal di pedalaman dekat Sungai Lalang, Kedah pernah menjadi ikutan pembaca akhbar ini beberapa tahun lalu.
Disebabkan keprihatinan pelbagai pihak, keluarga Mat Tarzan dipindahkan ke sebuah rumah dibina hasil bantuan beberapa pihak dan agensi di kawasan ladang kelapa sawit, tidak jauh dari Taman Desa Aman, Sungai Lalang.
Selepas, Mat Tarzan atau nama sebenarnya, Mohamad sudahpun meninggal dunia pada 2012, dia meninggalkan seorang balu, Wan Minah Wan Husin, 65, bersama sembilan anak.
Julai tahun lalu, Sinar Harian mengunjungi keluarga itu dan mendapati di kawasan kediaman mereka tidak mempunyai laluan pintas yang boleh digunakan untuk keluar dari ladang kelapa sawit berkenaan.
Ini kerana kerana laluan itu digunakan untuk projek landasan keretapi berkembar menyebabkan mereka terputus hubungan dengan dunia luar.
Jalan yang ada hanyalah laluan ladang kelapa sawit yang merupakan jalan utama namun terletak lebih jauh berbanding jalan pintas melalui landasan keretapi berdekatan Taman Desa Aman.
Sebahagian anak Mat Tarzan ketika itu masih menetap di rumah bersama ibu mereka dan seorang cucu, Siti Khadijah, 13.
Dalam masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ada mengunjungi keluarga itu dan meluluskan proses bantuan serta melakukan proses mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi tiga anak Wan Minah.
4 anak tinggal bersama ibu
Semalam, Sinar Harian sekali lagi berkunjung ke rumah keluarga tersebut dan mendapati hanya empat anak lelaki Wan Minah masih tinggal bersamanya.
Antaranya, Osman, 38; Mohd Mohsin, 27; Mohd Nizam, 25, dan Mohd Fadil, 23, manakala seorang lagi Mohd Ridzwan, 22, ditugaskan menjaga haiwan ternakan, menetap di sebuah bangsal yang dibina majikan kira-kira 500 meter dari rumah mereka.
Difahamkan, ada ketikanya, Wan Minah dan cucunya, Siti Khadijah akan menemani Mohd Ridzwan di bangsal tersebut bagi memudahkan Siti Khadijah berulang-alik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Aman Jaya setiap hari kerana lokasinya lebih dekat.
Menceritakan kehidupannya kini, Wan Minah berkata, dia bersyukur kerana dokumen pengenalan diri anak-anaknya sedang diproses.
“Alhamdulillah, ada yang sudah siap dan sedang dalam proses, namun saya sedih apabila permohonan bagi Mohd Ridzwan masih belum dapat dilakukan berikutan berlaku masalah sijil kelahirannya.
“Ketika dibawa ambulans untuk bersalin, saya tidak membawa kad pengenalan suami menyebabkan berlaku beberapa masalah,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang diambil bekerja menjaga rumah jiran dekat Taman Desa Aman berkata, dia sedih memikirkan keadaan sijil kelahiran Mohd Ridzwan yang namanya direkodkan
‘Tiada Bernama’ selain maklumat lain tidak lengkap.
“Hanya ada tarikh lahir, nama ibu dan tempat bersalin iaitu Hospital Besar Alor Setar, alamat dan negeri kelahiran juga diisi ‘Tidak Diketahui’.
“Kami dimaklumkan perlu melakukan akuan bersumpah di Alor Setar jika mahu menyelesaikan kes ini namun, atas masalah kewangan dan pengangkutan, saya masih belum dapat ke sana untuk menguruskannya,” katanya.
Manakala, Mohd Ridzwan berkata, dia sedih apabila sijil kelahirannya tertulis ‘ Tiada Bernama’ serta mengakui ketiadaan kad pengenalan menyukarkan dia mendapat hak perubatan dan pekerjaan, tambahan pula kesemua anak Wan Minah tidak mendapat akses pendidikan formal.
Menurutnya, jika boleh, dia mahu proses itu dilakukan segera namun, melihatkan keadaan keluarga yang dihimpit kesusahan, dia terus membatalkan hasrat tersebut.
“Kini, saya ditugaskan menjaga lembu dan ternakan lain yang diamanahkan majikan.
“Saya mahu bekerja bagi membantu meringankan beban ibu,” katanya.
Difahamkan, Osman pernah bekerja sebagai penoreh getah di Sik, Mohd Mohsin, mengambil upah tebang daun dan anak-anak lain pernah mengambil upah menggulung rokok daun serta kerja kampung lain bagi menyara kehidupan.
Semakan juga mendapati, keluarga itu masih menerima bantuan JKM sehingga kini.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/generasi-mat-tarzan-perlu-bantuan-1.380111