Brita Hri ni...Mungkin kah di TUTUP ???... Hmmmm... :-?
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20071211103143/Article/index_html
Ramai abai keselamatan
Oleh Sahlina Sahkirin
MERSING: Dalam keghairahan mencari rezeki, pendulang di pantai Sri Pantai, dekat sini, dinasihatkan menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing ketika mendulang emas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Pegawai Daerah, Asmail Abdul Kadir, berkata pemerhatian pihaknya mendapati ramai pendulang sanggup mengabaikan keselamatan diri dan anak masing-masing ketika melakukan aktiviti itu sedangkan musim tengkujuh melanda daerah ini.
“Kita bimbang dalam keghairahan mendulang emas itu akan berlaku kejadian tidak diingini termasuk mengorbankan nyawa kerana ketika ini ombak besar dan air pasang hingga ke daratan.
“Kita tidak mengenakan sebarang lesen kepada pendulang kerana ia tidak merosakkan sektor pantai berikutan apabila air pasang, pasir pantai yang dikorek pendulang akan tertimbus semula.
“Bagaimanapun, sekiranya mereka mengabaikan aspek keselamatan sehingga berlakunya kejadian tidak diingini, kemungkinan besar tempat ini akan ditutup,” katanya.
Asmail juga menasihatkan pendulang tidak menceroboh tanah milik orang lain bagi tujuan mendulang hingga merosakkan tanah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pendulang yang menceroboh tanah persendirian sekiranya mendapat aduan daripada pemilik tanah terbabit.
Sementara itu, tinjauan mendapati jumlah orang ramai yang datang untuk mendulang di kawasan itu semakin bertambah apabila air surut dengan sebahagian besar yang datang dari luar daerah sanggup mendirikan khemah untuk berkampung di situ.
Seorang pendulang dari Kluang, Aliman Sian, 50, berkata dia bersama dua lagi anaknya tiba di pantai berkenaan pagi semalam selepas tertarik dengan penemuan emas di situ.
“Selepas membaca laporan akhbar mengenai penemuan emas di pantai ini, saya tergerak untuk mencuba nasib dengan mendulang emas. Sebaik tiba pagi tadi (semalam) saya terus mendulang dan setakat ini berjaya memperoleh emas sebesar pasir pantai dan mengumpulnya sedikit demi sedikit.
“Saya semakin seronok dan setakat ini, belum pasti berapa lama lagi akan berkampung di sini,” katanya.
Sementara itu, beberapa pembeli emas yang menawarkan RM70 bagi satu gram emas, mengakui boleh membeli antara 20 hingga 30 gram sehari daripada pendulang emas di situ setiap hari.
Seorang pembeli yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak dua minggu lalu, dia sudah membeli 90 gram emas dan sanggup menawarkan harga tinggi berikutan emas di kawasan itu berkualiti tinggi.
“Saya berharap mampu membeli lebih banyak emas kerana jumlah pendulang semakin ramai serta penemuan lokasi baru iaitu Teluk Iskandar, selain Teluk Kang dan Sri Pantai,” katanya.