ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Datuk Rozi Mamat
KUALA TERENGGANU - Gejala rempit dalam kalangan anak muda di negeri ini dilihat semakin berkurangan hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri bagi membendung budaya tidak sihat itu daripada terus berleluasa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, sebelum ini, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama kumpulan mat rempit untuk mengetahui masalah dan apa yang mereka mahukan.
"Kita telah bertemu ketua dan kumpulan mat rempit. Kita juga mengadakan aktiviti bulanan serta mingguan bersama mereka dan impaknya, telah nampak sedikit pengurangan mat rempit di atas jalan raya.
"Kita juga menyediakan peruntukan setiap bulan untuk mereka mengadakan aktiviti seperti menggunakan kemudahan sementara seperti di Kompleks Sukan Gong Badak bagi mengisi masa lapang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia 2015 Sidang 1, Tahun 2015 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Primula, di sini, semalam.
Katanya, setakat ini terdapat 13 kumpulan mat rempit dengan keahlian cecah 5,000 hingga 6,000 yang bersama menyertai aktiviti disediakan kerajaan negeri itu.
Menurut Rozi, sebenarnya, anggota kumpulan mat rempit tidak begitu ramai tetapi individu yang turut serta dalam budaya tidak sihat di atas jalan raya itu agak ramai.
"Anggota setiap kumpulan mat rempit agak ramai sehingga ada yang mencecah 2,000 atau 3,000 ahli. Namun yang mengikut aktiviti tidak sihat atas jalan raya sehingga mengganggu lalu lintas juga ramai.
"Saya nasihatkan anak muda bermotosikal supaya patuh peraturan jalan raya dan tidak ganggu pengguna lain. Kita sudah beri ruang untuk mereka tunjuk kepakaran menunggang motosikal di stadium," katanya.
Katanya, walaupun hanya menggunakan litar sementara, namun ruang disediakan boleh menampung kumpulan mat rempit untuk menjalankan aktiviti setiap minggu.
Sementara itu, beliau berkata, masih ramai anak-anak muda belum berpersatuan serta berdaftar di bawah Majlis Belia Negeri Terengganu dan kini sudah menjadi trend anak-anak muda enggan berpersatuan kerana mahu bebas secara berkumpulan.
"Yang tidak berpersatuan lebih besar. Berdasarkan rekod sedia ada, terdapat majoriti sekitar 200,000 anak muda berusia 21 hingga 40 tahun tidak berpersatuan tetapi mempunyai kelab dan kumpulan tersendiri," katanya.
Beliau berkata, sekarang, pihaknya dalam usaha memujuk kumpulan itu untuk berdaftar bagi memperoleh kelebihan dan dapat menjalankan aktiviti berfaedah.
"Setakat ini, saya sasarkan lebih 500 persatuan belia di peringkat akar umbi dari 1,000 kampung.
"Kita dah capai lebih 600 persatuan sehingga Mac lalu dan bermakna, kita telah capai petunjuk prestasi utama (KPI)," katanya.