SUKAN SEA XXVI yang menutup tirai minggu lalu meninggalkan pelbagai cerita dan insiden yang tidak mungkin akan dilupakan atlet, jurulatih serta seluruh rakyat Malaysia.
Namun, di sebalik pelbagai kisah suka duka, paling meninggalkan kesan mendalam kepada kita pastinya kejayaan skuad bola sepak mempertahankan pingat emas selepas membenam Garuda di depan ribuan penyokong mereka sendiri.
Anak-anak buah Ong Kim Swee mengetepikan segala ejekan, ugutan, ancaman serta pelbagai provokasi lain untuk pulang sebagai juara hasil kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti selepas permainan sebenar berkesudahan 1-1.
Dalam perjalanan muncul 'raja bola sepak Asia Tenggara' dugaan terhebat yang terpaksa dihadapi Harimau Muda tentunya beraksi tanpa jurulatih ketika menentang Myanmar di separuh akhir gara-gara Kim Swee diarah meninggalkan padang ketika kita sedang berdepan Indonesia di peringkat kumpulan.
Secara tiba-tiba, Hassan Sazali Waras, selaku penolong jurulatih terpaksa menggalas tugas mengendalikan perlawanan penting itu. Biarpun peranan tersebut hadir secara mengejut, namun beliau tenang membawa skuad bawah 23 tahun negara membenam Myanmar 1-0 di Gelora Bung Karno pada 19 November, sekali gus layak ke final.
Bersama Utusan Malaysia, jurulatih yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu berkongsi detik yang sedikit mencemaskan tetapi meninggalkan kenangan manis dalam kariernya sebagai jurulatih kerana menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Malaysia.
"Walaupun ia satu pertembungan penting, namun saya tidak mudah panik," kata Hassan Sazali membuka perbualan.
"Saya sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti ini, lagi pun saya percaya pada kemampuan diri kerana memiliki pengalaman mengendalikan pasukan dalam sesuatu perlawanan, ia bukan perkara baru untuk saya.
"Sebelum bermula, Kim Swee telah berbincang dengan semua jurulatih mengenai barisan yang diturunkan serta strateginya," ceritanya lagi tentang pengalaman mengendalikan pertemuan separuh akhir.
Kata Hassan Sazali, pada awalnya, semua berjalan lancar seperti dirancang kerana beliau masih dapat berhubungan dengan Kim Swee yang menonton dari tempat duduk VIP menerusi catatan nota.
Beliau menerima dua keping nota daripada Kim Swee yang memintanya memperbetulkan posisi pada pertengahan permainan.
Bagaimanapun memasuki separuh masa kedua, beliau tersentak apabila dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Perlawanan bahawa Kim Swee tidak dibenarkan lagi menghantar sebarang nota ke bawah. "Saya tidak faham mengapa secara tiba-tiba kami tidak dibenarkan berhubung sedangkan pada mesyuarat sebelum itu, ia tidak dinyatakan. Kami sekadar diberitahu walkie-talkie dan telefon dilarang tetapi nota dibenarkan.
"Namun, kami tiada masa untuk mempersoalkan arahan tersebut, sebaliknya bermula dari saat itu saya sedar saya perlu segera mengambil alih sepenuhnya dan membuat keputusan sendiri tanpa panduan Kim Swee. Namun, saya tidak cemas kerana masih ada dua rakan setugas, Rustov Bozik (kecergasan) dan Yong Wai Hwang (penjaga gol) untuk dirujuk dan berbincang," ujarnya.
Menjelang 15 minit terakhir, Hassan Sazali membuat keputusan yang menjadi titik tolak kepada perlawanan tersebut.
"Buntu mencari jaringan menuju ke hujung permainan, saya membuat keputusan mengeluarkan Syahrul Azwari (Ibrahim) untuk diganti dengan Izzaq (Faris Ramlan). Myanmar main terlalu bertahan dan kami langsung tidak berpeluang menembusi dari tengah.
"Jadi, kita tukar rancangan dengan melancarkan serangan dari kedua-dua belah sayap untuk melakukan hantaran lintang dan menggunakan kelebihan ketinggian Izzaq. Kemasukan Izzaq satu percaturan berbaloi, walaupun dia bukan penjaring gol tetapi jaringan Ahmad Fakri (Saarani) adalah hasil hantarannya,'' katanya.
Cerita Hassan Sazali lagi, sejurus wisel penamat dibunyikan, beliau berasa cukup lega dan terharu dapat membalas kepercayaan yang diletakkan Kim Swee ke atasnya selaku pengendali sementara.
"Kim Swee mengucapkan tahniah kepada saya dan saya menerangkan kepadanya mengapa keputusan pertukaran pemain dibuat dan dia jawab 'tiada masalah, kamu telah melakukan dengan baik, syabas'," tambahnya.
Kata Hassan Sazali lagi, sebelum turun ke padang, Kim Swee telah mengingatkan kepada pemain agar akur dengan segala arahannya.
"Dia minta pemain supaya menganggap segala teriakan arahan coach Hassan umpama dia yang berada di situ," katanya, yang sudah bekerjasama dengan Kim Swee sejak 2007. [/QUOTE
suruh terharu membaca nya