BTC USD 86,230.3 Gold USD 4,321.95
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Fitnah dan penjelasannya

Senjata Untuk Menghindari Fitnah DAJJAL | Ustaz Wadi Annuar



Article kat bawah den copy paste dari laman Mufti dlm thread ni. Kalau nak tulisan jawi, macam doa dalam bahasa Arab ke, boleh baca article asal dari laman Mufti WP kat sini. Terima kasih.

BAYAN LINNAS SIRI KE 182: BAHAYA FITNAH
Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Mutakhir ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang belum dipastikan akan kesahihannya di media sosial. Hal ini amat membimbangkan kerana ia mampu memecah belahkan perpaduan sesama manusia secara umumnya dan umat Islam itu sendiri secara khususnya. Justeru, agama kita telah menggariskan beberapa panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan perkara sebegini. Oleh itu, kami terpanggil untuk menulis sebuah artikel di dalam ruangan Bayan Linnas yang bertajuk “Bahaya Fitnah.” Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sebarang fitnah.

Definisi Fitnah
Fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna.
Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. [Lihat: Tahzib al-Lughah, 14/296] [Lihat: Maqayis al-Lughah, 4/472].

Ibn Athir pula menambah bahawa asalnya fitnah digunakan oleh kebanyakan bangsa arab sebagai ujian, kemudian penggunaanya juga masyhur bagi menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. [Lihat: al-Nihayah, 3/410]

Untuk itu, fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa:
Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3]

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat] Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah.

Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]

Imam Nawawi berkata: Dalam riwayat yang lain disebut dengan kalimah 'قتات'. Ia juga memberi makna pemfitnah. Maksud nammam seperti kata ulama' ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai dari seseorang kepada seseorang untuk merosakkan hubungan mereka. al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam Ihya'nya: Ketahuilah bahawa sifat fitnah diitlaqkan pada kebanyakannya terhadap orang yang memindahkan kenyataan orang lain kepada orang lain sepertimana dia berkata, 'si fulan berkata dan mengata kepada kamu begian begian'. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/112)

Kami katakan, termasuklah juga dengan cara tulisan yang disebarkan seperti dalam media massa dan lain-lain.

Ciri-Ciri Fitnah Dalam Konteks Semasa

Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar. Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

Pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebagai contoh, Kasim mereka cerita kononnya Harun telah berzina dengan teman wanitanya, lalu cerita itu disebarkan ke dalam laman blognya dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah Harun. Lalu apabila berita itu dibaca oleh Abu, tanpa sebarang usul periksa tentang kesahihannya, Abu menyebarkannya di dalam facebook tanpa apa-apa niat tetapi sekadar menukil dan menyampaikan berita. Dalam situasi ini, kedua-duanya iaitu Kasim dan Abu telah menjadi pelaku dan penyebar fitnah terhadap Harun.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam era masa kini, dengan kemudahan serba canggih, sebarang bentuk maklumat amat mudah sekali disebarluaskan terutamanya menerusi whatsapp dan internet. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah konvensional dilihat masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya berita fitnah seperti menerusi laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang semberono, sembang-sembang santai di warung atau kedai kopi, perbualan sesama rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua medium ini dilihat masih lagi menjadi pilihan bagi mereka yang berkenaan melakukan fitnah disebabkan ianya mudah membentuk persepsi tanpa akan dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa.

Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Gejala Fitnah
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain.

Ia sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” [Surah al-Maidah: 91]

Walaupun ayat ini ditujukan kepada penjudi, peminum arak atau pemabuk tetapi syaitan bercita-cita agar kita sentiasa bermusuh antara satu sama lain kerana ibrah itu diambil dari lafaz yang umum, bukan sebab nuzulnya semata-mata.

Oleh itu, fitnah adalah salah satu perbuatan yang amat disukai syaitan lantaran ia boleh memecahbelahkan umat Islam sehingga tiada lagi kesatuan sesama mereka.

Bagi kategori penyebar fitnah pula, faktor utama daripada perbuatan mereka ini adalah cuai dalam menukilkan berita atau cerita yang didengar tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu. Orang yang melakukan perbuatan seperti ini dianggap oleh Rasulullah SAW sebagai pembohong.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”.

Al-Qadhi Iyadh berkata: Bahawa maksudnya siapa yang menceritakan dengan setiap apa yang didengar, yang padanya terdapat kebenaran dan kebatilan, dan kebenaran serta pendustaan. (Lihat Ikmal al-Mu'lim bi Fawa'id Muslim, 1/100)

Malah perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa ini pernah ditempelak oleh Allah SWT di dalam kisah fitnah terhadap Sayyidah Aishah R.Anha, firman Allah SWT dalam surah al-Nur:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” [Surah al-Nur : 11-12]

Syeikh al-Maraghi berkata: Janganlah kamu sangka berita dusta itu mengandungi fitnah dan kejahatan serta-merta, sebaliknya ia turut mengandungi kebaikan terhadap kamu, kerana dengan itu kamu mendapat pahala yang besar. Ini disebabkan berita dusta itu merupakan suatu ujian yang nyata, bagi memperlihatkan kemuliaan di sisi Allah SWT dengan penurunan ayat yang dibaca sepanjang masa tentang membebaskan diri kamu dan berita dusta itu; mengagungkan kemuliaan kamu, memberi ancaman terhadap orang yang mengatakan buruk tentang kamu, memuji orang yang berbaik sangka terhadap kamu, serta kebaikan-kebaikan lain seperti mengambil pelbagai manfaat agama dan adab tatasusila yang jelas terhadap orang yang mahu mengambil iktibar.

Kemudian, Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang turut serta menyebarkan berita dusta itu; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730)

Balasan Bagi Orang Yang Membuat Fitnah
Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” [Surah al-Nur:19]

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk, kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut. [Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim (10/195)]

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)]

Selain itu, Nabi SAW juga bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:”
Maksudnya: “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali” [Riwayat Muslim (2670)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadith ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (16/461)]

Pandangan Ulama Berkaitan Fitnah
Berikut adalah beberapa pandangan berkaitan dengan fitnah:
- Syeikh Azhar Dr. Sheikh Ahmad Tayyib Hafizahullah berkata: “Fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam telah melahirkan golongan yang berfahaman keras dan melahirkan gejala kafir-mengkafirkan antara umat Islam dan terrorisme”[1]
- Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi Hafizahullah berkata: “Para Sahabat akan melarikan diri jika terzahirnya fitnah pada sesuatu tempat seperti yang dilakukan oleh Abu Darda’ R.A”[2]
- Sheikh Saad bin Turki al-Khaslan Hafizahullah berkata: “Hendaklah umat Islam mengetahui jalan-jalan yang membawa kepada kejahatan dan menjauhinya seperti mana kita dikehendaki untuk mengetahui jalan-jalan yang membawa kepada kebaikan. Kejahilan terhadap perkara ini akan membawa kepada berlakunya kejahatan, seterusnya akan berlaku fitnah dalam keadaan dia tidak menyedarinya”[3]
- Sheikh Abdul ‘Aziz bin Baz Rahimahullah berkata: “Fitnah terjadi disebabkan syubhat dan syahwat, berapa banyak fitnah yang terjadi pada kebanyakan manusia disebabkan oleh syubhat-syubhat yang tiada padanya asas seperti mana yang telah menimpa kumpulan-kumpulan sesat seperti Jahmiyyah, Muktazilah, Syiah dan Murji’ah dan jalan untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai jenis fitnah adalah dengan berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW. [4]

Kesan Daripada Fitnah
Perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. Antaranya ialah:
- Perasaan cemburu yang diakhiri dengan pembunuhan seperti mana yang berlaku dalam peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman Bin Affan R.A.
- Memecahkan perpaduan masyarakat hingga melahirkan golongan yang terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan dengan golongan yang mempertahankan. Ini secara tidak langsung akan menatijahkan perpecahan yang jelas sehingga merugikan umat Islam itu sendiri.
- Perbuatan fitnah akan menjadikan seseorang itu buta daripada kebenaran dalam menilai sesuatu perkara dari kebenaran yang hakiki.
- Fitnah akan menyebabkan muslim itu tenggelam dalam konspirasi kuffar yang bercita-cita memecahbelahkan umat Islam.
- Orang yang termakan dengan fitnah itu adalah orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai sahabat mereka.
- Fitnah itu akan menjauhkan seseorang itu daripada agamanya.

Langkah-Langkah Dalam Menangani Fitnah
Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat terhindar daripada fitnah, adalah seperti berikut:
- Mendalami ilmu agama secara berterusan seterusnya mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari.
- Sentiasa mengingatkan diri bahawa segala perbuatan kita akan dicatat dan dihisab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. Surah al-Kahfi (49)

Al-Sobuni berkata: Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka. (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)
- Memotivasikan diri bahawa fitnah adalah suatu pendustaan dan pendusta balasannya adalah neraka Allah SWT, maka menolaknya adalah wajib.
- Mendekati para alim ulama’ dan orang-orang soleh serta menjauhi orang-orang yang suka menyebarkan fitnah. Pergilah belajar dan bertanya kepada ulama’ dalam menyinari kehidupan yang diredhai Allah.
- Melakukan tabayyun dan bertanya setiap isu yang berbangkit kepada ahlinya. Hal ini amat penting agar kita tidak terjebak di dalam fitnah mengenakan seseorang yang akhirnya kita sendiri menyesalinya.
- Memastikan kesahihan setiap maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan. Inilah cara yang terbaik dalam mengelakkan menjadi pempromosi fitnah melalui media massa umpamanya dan juga cakapan.
- Sentiasa mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri supaya timbul keinsafan untuk memelihara keaiban orang lain tanpa mengira kawan atau lawan.
- Sentiasa melakukan amalan-amalan yang soleh dengan sebanyak-banyaknya sebelum fitnah merebak atau membesar.

Benarlah sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia. Riwayat Muslim (169), al-Tirmizi (2121), Ahmad (11056) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (2881)

Al-Imam al-Suyuti berkata: Hadis ini menggesa supaya melakukan amalan yang soleh dengan bersegera sebelum berlaku keuzuran kepada kita dan kesibukan disebabkan berlakunya banyak fitnah yang melalaikan dan betimpa-timpa sebagaimana bertimpanya kegelapan malam tanpa sebarang cahaya bulan. Dan Rasulullah SAW mensifatkannya sejenis daripada ujian, bala daripada fitnah tersebut sehingga membawa seseorang itu di waktu petang beriman, kemudian pada waktu pagi boleh menjadi kufur atau sebaliknya. (Lihat al-Dibaj 'ala Muslim, 1/134)

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Alhamdulillah, berdasarkan kepada kenyataan kami di atas, kami ulangi agar kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua.

Kami tegaskan di sini yang sifat fitnah itu tidur seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Fitnah itu tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya. (Riwayat al-Rafi'e dalam al-Amali)

Al-Imam al-Munawi berkata: Fitnah dan tribulasi dan setiap yang menjadi masyaqqah dan kesukaran kepada seseorang, begitu juga ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya dinamakan fitnah. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/461)

Begitu juga, dalam mengelakkan daripada fitnah, sewajarnya kita mendekatkan diri kepada Allah dan sentiasa munajat kepada-Nya.

Kami nyatakan di sini doa yang ma’thur daripada Nabi SAW tatkala menghadapi ujian fitnah, antaranya:
Doa Rasulullah SAW seperti riwayat daripada Anas R.A:
Maksudnya: Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu. Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah. (Riwayat al-Tirmizi (3233))

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Burdah bin Abdillah, daripada bapanya:
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka. (Riwayat Abu Daud (1537))

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:
Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia. - Riwayat al-Bukhari (6345) dan Muslim (2730)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Anas R.A:
Maksudnya: Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang. - Riwayat al-Tirmizi (3584)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Sa’ad bin Abi Waqqas R.A:
Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang zalim. - Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1864)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Bakrah R.A:
Maksudnya: Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau. - Riwayat Abu Daud (5090)

Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita yang merupakan sebahagian daripada kita yang wajib kita jaga hubungannya, maka Allah SWT akan menyayangi kita dan merahmati kita, serta meredhainya.
Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya.

Kami akhiri artikel kali ini dengan doa:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari angkara kaum yang kafir.” - [Surah Yunus: 85-86]

Akhukum fillah.
 
Last edited:
IMG_20220920_223117_673.jpg

Umat Islam disaran agar menghentikan berita dan kandungan berunsur fitnah dan bersikap tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu setiap berita yang diterima.

Katakan tidak kepada FITNAH kerana hukum fitnah jelas Haram dan ditegah dalam Islam.
#hentikanfitnahdimediasosial
 
IMG_20220923_163134_223.jpg

Petikan daripada khutbah Jumaat yang disediakan oleh JAKIM hari ini 23 September 2022 (Bau Busuk Tak Berbangkai)

Fitnah berlaku dalam dua keadaan;

1️⃣ Apabila seseorang mengada-adakan sesuatu berita tentang seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

2️⃣ Apabila seseorang menerima berita tentang seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini khususnya melalui saluran media sosial.
#hentikanfitnahdimediasosial
 
IMG_20220923_175044_168.jpg

Petikan daripada khutbah Jumaat yang disediakan oleh JAKIM hari ini 23 September 2022 (Bau Busuk Tak Berbangkai)

Perbuatan fitnah adalah Haram dan dikecam dengan keras oleh Nabi SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Huzaifah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)”

Ayuhlah, kita bersama-sama menjadi pemutus kepada mata rantaian fitnah agar generasi yang akan datang dapat diselamatkan.
#hentikanfitnahdimediasosial
 
Khuatir fitnah di media sosial jadi budaya, amalan masyarakat
00134-FD0-A2-F9-490-A-86-B5-2-FA01-C6-D94-A1.jpg

September 20, 2022

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik Kempen Hentikan Fitnah Di Media Sosial yang dilancarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam.

Ketuanya, Ustaz Md Ali Jamil berkata, kempen seumpama itu wajar disambut oleh semua umat Islam memandangkan fitnah melalui media siber lebih bahaya, cepat merebak dan mewabak kepada seluruh masyarakat.

Menurutnya, dalam dunia digital hari ini, hampir setiap orang mempunyai media sosial tersendiri dan mereka berhak memuat naik, menghantar mahupun menulis sebarang maklumat di media sosial.

Malangnya, ujar beliau sebahagian besar maklumat yang ada tidak sahih, tidak tepat bahkan lebih banyak mengandungi unsur fitnah.

“Apa yang membimbangkan kita adalah fitnah di media sosial menjadi budaya dan amalan masyarakat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, apa yang membahayakan adalah fitnah di media sosial pada hari ini sukar ditapis dan dibendung di mana segala bahan fitnah itu bercampur baur dan menjadi sebati dalam masyarakat.

“Sehingga sukar kita mengenal pasti apa maklumat sebenar dan maklumat palsu yang diterima. Kerana itu, Allah menyebutkan bahaya fitnah lebih besar daripada pembunuhan,” katanya lagi.

Beliau berkata, ada kalangan pengguna media sosial tidak menghiraukan soal dosa dan pahala serta tidak mengambil berat soal implikasi terhadap kesalahan yang mereka lakukan.

“Dengan fitnah atau berita yang tidak benar ini boleh memisahkan hubungan suami dan isteri, menyebabkan hubungan renggang antara sesama ahli keluarga, mewujudkan jurang antara umat Islam, membezakan kelompok, masjid, pertubuhan sehingga parti politik,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau langkah yang dilakukan oleh JAKIM amat tepat pada masanya kerana ia dapat mencegah kemungkaran terbesar dalam negara ini.

Menurutnya, masyarakat terutama umat Islam mesti bertanggungjawab terhadap apa juga bahan yang mereka sebarkan, hantaran, mahupun tulis.

“Umat Islam perlu tahu dosa dan pahala, salah dan benar, serta balasan syurga dan neraka terhadap apa yang mereka katakan, tulis mahupun sebarkan,” katanya.

DUPWP juga, katanya menyeru agar semua pihak kembali kepada landasan agama dalam menggunakan media sosial.

“Janganlah kerana mahupun maklumat, isi berita atau sumber yang sensasi sehingga sanggup merosakkan diri sendiri, keluarga dan juga masa depan insan lain.

“Ketahuilah, di saat kita menulis, menghantar atau memuat naik apa juga maklumat, malaikat di kanan dan kiri sedang sibuk pula mencatat segala amalan dan perbuatan kita seharian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/9/2022
 
IMG_20220924_125138_411.jpg

ANTARA KESAN BURUK FITNAH

Jika kita menelusuri lipatan sejarah, kita akan dapati banyak kesan buruk yang menimpa sesuatu masyarakat kesan dari fitnah. Antaranya, punca kematian Saidina Uthman bin
Affan RA yang seterusnya membawa kepada beberapa siri peperangan sesama umat Islam pada zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib RA.

Jangan pandang remeh budaya fitnah-memfitnah dan tuduh-menuduh kerana kesannya sangatlah besar dan berpanjangan.
#hentikanfitnahdimediasosial
 
IMG_20220926_120439_500.jpg

FITNAH DI HUJUNG JARI

Jika dahulu fitnah disebarkan secara ‘telinga ke telinga’ atau melalui lisan, mungkin mengambil masa yang agak lama untuk disebarkan, namun pada zaman serba canggih ini,gejala fitnah berleluasa dengan semakin pantas melalui pelbagai platform media sosial dan internet di hujung jari.

Allah SWT memerintahkan golongan beriman memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan.
#hentikanfitnahdimediasosial
 
IMG_20220928_124735_336.jpg

Peringatan Rasulullah SAW Terhadap Orang Yang Menyampaikan Berita Tanpa Selidik Terlebih Dahulu

Kasihnya Rasulullah SAW kepada umatnya agar tidak melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT kerana berdusta adalah antara sifat munafik dan sangat dicela oleh Allah SWT.

Bersama-sama kita mengambil pengajaran melalui hadis ini dengan menyelidik dahulu berita yang ingin kita sampaikan kepada orang lain.
#hentikanfitnahdimediasosial
 
IMG_20220930_110729_350.jpg

BALASAN BAGI ORANG YANG MEMBUAT FITNAH

Allah SWT memberi amaran kepada setiap manusia yang suka melaga-lagakan orang lain sama ada dengan penulisan ataupun pengucapannya melalui firman-Nya dalam Surah al-Nur ayat 19 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”

Berhati-hatilah apabila berkata-kata atau menyebarkan kata sama ada melalui lisan atau penulisan supaya tiada tercetusnya api fitnah yang bermula kecil dan akhirnya membesar sehingga membakar diri sendiri.
 
Back
Top
Log in Register