Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
FINAS Harap Belanjawan 2027 Terus Perkukuh Ekosistem Perfileman
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berharap pembangunan industri perfileman dan kandungan kreatif terus diberikan perhatian pada Belanjawan 2027 bagi memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri serta meningkatkan daya saing karya tempatan.
Pengerusi berkenaan Datuk Dr Hans Isaac berkata sokongan kerajaan penting bagi meneruskan program pembangunan industri meliputi aspek penerbitan, pemasaran, pascaproduksi, latihan dan pembangunan bakat.
Beliau berkata sebarang peruntukan yang dipertimbangkan bukan semata-mata untuk operasi FINAS sebagai sebuah agensi, sebaliknya bagi memberikan manfaat kepada ekosistem perfileman negara yang dianggarkan melibatkan kira-kira 30,000 tenaga kerja.
“Kami berharap sokongan terhadap pembangunan industri perfileman dapat dikekalkan dan diperkukuh, tertakluk kepada keutamaan serta kemampuan fiskal kerajaan.
“Sokongan itu penting untuk merancakkan aktiviti ekonomi industri, membangunkan bakat baharu dan membantu karya Malaysia meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada China-Malaysia Film Festival 2026 bersempena dengan Musim Kebudayaan Xingtan ke-12 di sini.
Hans berkata FINAS ketika ini melaksanakan beberapa inisiatif sokongan industri, termasuk Dana Belia MADANI, Dana Kandungan Kreatif, Dana Khas Produksi Citra Nasional (CITRA), selain bantuan berkaitan pemasaran, pascaproduksi dan latihan.
Beliau berkata mekanisme dan skop bantuan sedia ada perlu dinilai secara berkala supaya kekal relevan dengan perkembangan teknologi, corak penggunaan kandungan serta perubahan model perniagaan industri kreatif.
Hans berkata FINAS sedang meneliti ruang penambahbaikan yang bersesuaian bagi menyokong penghasilan kandungan untuk platform digital, khususnya karya yang termasuk dalam skop aktiviti perfileman dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.