Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
El Nino: Johor, Melaka Dijangka Catat Pengurangan Hujan Hingga 40 Peratus
Gambar fail
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Johor dan Melaka dijangka merekodkan pengurangan taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus apabila negara memasuki Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini susulan fenomena El Nino, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
Beliau berkata kawasan timur Sabah turut berpotensi mengalami pengurangan hujan berikutan kedudukannya yang lebih hampir dengan Lautan Pasifik, namun berdasarkan unjuran enam bulan terkini negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung dijangka tidak menerima kesan yang ketara hingga hujung tahun.
“Setakat ini, daripada maklumat yang kita ada dan unjuran taburan hujan hingga enam bulan ke depan, kita tidak melihat kesan signifikan di Pantai Timur hingga hujung tahun.
“Namun, di selatan Semenanjung iaitu Johor dan Melaka, mungkin kita lihat pengurangan hujan sekitar 20 hingga 40 peratus,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk “El Nino: Adakah Malaysia Sudah Bersedia” terbitan Bernama TV malam ini.
Mohd Hisham berkata Monsun Timur Laut lazimnya bermula pada penghujung Oktober atau awal November dan berakhir pada penghujung Mac, dengan negeri di Pantai Timur kebiasaannya menerima taburan hujan tertinggi pada November dan Disember.
Beliau berkata kesan El Nino dijangka menjadi lebih ketara pada penghujung Monsun Timur Laut sebelum mencapai kemuncaknya pada awal 2027, dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius berpotensi berlaku dari Februari hingga Mei malah keadaan itu mungkin berlanjutan hingga Jun.
Beliau berkata antara kawasan yang lazimnya menerima suhu tinggi ketika episod El Nino sangat kuat ialah Perlis, Kedah, utara Perak, kawasan pedalaman Kelantan serta sebahagian pedalaman Pahang.
Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata analisis suhu Malaysia sejak 1980-an menunjukkan peningkatan sebanyak 0.19 darjah Celsius bagi setiap dekad akibat pemanasan global, manakala El Nino kuat boleh meningkatkan suhu hingga 0.7 darjah Celsius melebihi kebiasaan.
“Sekiranya El Nino kali ini mencapai tahap sangat kuat seperti yang dijangka, suhu tertinggi negara mungkin melepasi rekod 40.1 darjah Celsius yang dicatat pada 9 April 1998 dengan lonjakan suhu berpotensi berlaku sekitar Mac hingga Mei 2027,” katanya.