Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,772
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,772
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
E-buku, Penerbitan Kendiri Buka Peluang Penulis Baharu Berkarya
Buku elektronik atau e-buku dan penerbitan kendiri kini membuka ruang lebih luas kepada penulis baharu di Malaysia untuk menghasilkan karya dengan kos lebih rendah, selain memberi mereka lebih kawalan terhadap kandungan dan penerbitan karya sendiri.
Presiden Intellectual Authors Club (IAC) S Nahanthiran berkata penerbitan digital turut memberi peluang kepada penulis menjangkau khalayak lebih luas dan memperoleh pulangan lebih baik, di samping memudahkan akses kepada bahan bacaan terutama dalam kalangan pelajar.
“Penerbitan e-buku semakin relevan bagi penulis baharu kerana ia mengurangkan halangan yang lazimnya dihadapi dalam industri penerbitan, termasuk membolehkan mereka mengelakkan kos percetakan serta menikmati margin keuntungan lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Nahanthiran yang telah menghasilkan lebih 18 e-buku dalam pelbagai genre berkata peningkatan minat terhadap penerbitan kendiri turut didorong keinginan penulis untuk mempunyai lebih kawalan terhadap kandungan, persembahan karya serta hak pemilikan.
“Industri penerbitan kini semakin kompetitif dan kosnya agak tinggi. Apabila menerbitkan karya menerusi syarikat penerbitan, penulis mungkin hanya menerima sebahagian kecil hasil dalam bentuk komisen, selain mempunyai kawalan yang lebih terhad terhadap karya mereka.
“Justeru, alternatif lain ialah penerbitan kendiri yang membolehkan penulis menentukan kandungan, gaya dan reka bentuk buku, selain menikmati margin keuntungan lebih tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, Nahanthiran berkata penulis bebas yang baharu berkecimpung dalam bidang itu masih berdepan beberapa cabaran termasuk mengenal pasti platform penerbitan sesuai serta memastikan karya mereka dapat menjangkau khalayak lebih luas.
Mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata teknologi itu boleh membantu penulis mengatasi kebuntuan idea, merangka susunan bab serta meneroka pelbagai hala tuju penceritaan dengan lebih pantas.
Namun, beliau mengingatkan penulis supaya tidak terlalu bergantung kepada AI untuk menghasilkan penceritaan dan penulisan sebenar sesebuah e-buku kerana tindakan itu boleh menjejaskan kredibiliti penulis selain menimbulkan persoalan etika berkaitan kepengarangan.