Sering kali kita membuat andaian pada sesuatu perkara. Andaian yang kita buat itu kerana kekurangan maklumat yang ada. Biasanya sesuatu andaian dibuat berasaskan pada pengetahuan dan pengalaman yang kita ada. Andaian kita itu ada kalanya benar dan salah.
Andaian yang salah sudah semestinya mendatangkan kesan buruk. Ianya akan melibatkan diri sendiri,masyarakat dan negara. Lebih-lebih lagi jika andaian itu berdasarkan dari khabar-khabar angin sahaja dan bukan dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Akibatnya fitnah akan terjadi. Ini semua akan menyusahkan semua orang. Oleh kerana itu sentiasalah berhati-hati semasa membuat sebarang andaian.
Di antara sifat semulajadi manusia adalah suka memuji diri sendiri. Kalau boleh semua kelebihan adalah milik kita. Kepandaian,kerajinan,kecantikan dan sebagainya ada pada kita. Kita akan mudah melenting dan sakit hati jika seseorang mencari keburukan dan kesalahan kita. Kita tidak dapat menerima semua itu.
Sedangkan hakikatnya kita tidaklah sehebat mana yang kita sangkakan. Kita hanyalah perasan semata-mata. Perasaan perasan merupakan penyakit hati yang berat. Kita akan tertipu oleh perasaan kita sendiri. Sepatutnya kita hendaklah merasa insaf iaitu kita masih banyak lagi kekurangan yang kita tidak sedari.
Tidak dapat dinafikan kejayaan dan kegagalan kehidupan ini bergantung pada prinsip yang mereka pegang. Maksudnya sesuatu prinsip itu adalah faktor utama penentu kehidupan seseorang. Oleh kerana itu kita mestilah memilih dan menentukan prinsip yang benar dan betul.
Sementara itu orang yang tidak berpegang pada prinsip, kehidupannya terumbang ambing. Diibaratkan seperti lalang yang ditiup angin. Seperti kapal layar yang tiada layarnya.
Boleh dikatakan setiap hari kita melakukan kesalahan. Perasaan keinsafan selalu bermain di fikiran kita. Namun begitu kita tidak mampu untuk mengotakannya.
Walaupun begitu kita masih bersyukur kerana perasaan keinsafan itu tertanam di hati kita. Mungkin belum waktu lagi untuk kita betul-betul insaf. Semoga masanya akan muncul jua.
Hati yang bersih menjadi impian semua orang. Bagaimanakah yang dikatakan hati yang bersih itu? Agak sukar untuk menjawabnya. Adakah boleh seseorang itu mengakui hatinya bersih? Tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengatakan hatinya bersih. Adakah benar hatinya bersih sedangkan amalan yang dilakukan adalah kurang baik?
Hati yang bersih adalah berkait rapat dengan amalan kita. Sekiranya kita selalu melakukan kejahatan, ini menunjukkan hati kita tidak bersih. Bukankah begitu?
Terkadang kita berfikir tentang kehidupan kita masa kini. Terdapat banyak ruang untuk kita perbaiki dan mengubahnya. Sesuatu yang baik itu kita kekalkan dan yang buruk itu kita kenalah berhijrah.
Sudah tentu teramat berat untuk kita melakukan hijrah. Hijrah memerlukan pengorbanan.
Impian manusia berbeza-beza. Selagi kita hidup, selagi itulah kita mempunyai impian. Seringkali kita bertanya pada diri sendiri, apakah impian tu kita boleh capai? Semestinya kita perlu menilai keupayaan yang kita ada. Kalau lah impian itu sukar dicapai, ini bermakna impian tinggal impian.
Kita memerlukan perancangan yang yang rapi. Tingkatkan usaha dan bekerja lebih kuat. Kalau rezeki ada, impian yang kita idamkan akan tercapai.
Selagi kita ada suara, selagi itulah kita ingin bersuara. Banyak perkara kita boleh bersuara. Antaranya tentang kehidupan,isu semasa,perasaan dan lain-lain. Semestinya kita hendaklah memperkatakan sesuatu yang baik untuk semua orang.
Namun begitu, kita juga tidak mampu memelihara tutur kata kita. Ini menunjukkan kita hanyalah insan biasa yang tidak serba sempurna. Apabila kita merasa tidak puas hati dalam sesuatu hal, kita mungkin melakukan keburukan tanpa kita sedari. Antaranya kita akan mengumpat sesorangan. Sebolehnya kita cuba hindarkan perbuatan itu. Kalau tidak ianya akan memberi kesan buruk pada diri kita sendiri dan orang lain.
Kesilapan dan kesalahan pada orang lain amat mudah kita melihatnya. Namun begitu agak sukar untuk kita mencari kesalahan pada diri sendiri. Sememangnya menjadi tugas kita untuk membetulkan kesalahan pada orang lain dan juga pada diri kita sendiri. Sering kali kita cuba menasihati diri kita sendiri tetapi kita masih mengulangi kesilapan yang sama. Apa entah lagi memberi nasihat pada orang lain.
Memberi nasihat pada orang lain memerlukan pendekatan yang sebaik mungkin. Mungkin nasihat kita ikhlas tetapi yang menerima nasihat itu merasa satu gangguan emosi. Oleh itu sebarang nasihat mestilah dengan cara berhikmah dan ini sudah tentu memberi kesan baik pada yang menerimanya.
Sudah menjadi lumrah, kehidupan kita penuh dengan suka duka. Di antara perkara yang suka itu menjadikan kita merasa bangga. Perasaan bangga itu boleh diperlihatkan oleh tutur kata dan kelakuan. Perasaan bangga yang berlebihan menjadikan kita menjadi sombong sehingga kita memandang rendah pada orang lain.
Oleh kerana itu hendaklah kita anggap semua kelebihan yang kita adalah ujian. Oleh itu tidaklah kita menjadi orang yang mudah lupa diri