BTC USD 83,836.5 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

Siri pengeboman gegar wilayah selatan Thai

PATTANI - THAILAND . Sekurang-kurangnya seorang maut manakala beberapa lagi cedera dalam beberapa insiden pengeboman di wilayah bergolak di selatan Thailand, menurut tentera, semalam.

Kolonel Yuthanam Phetmuang berkata, gelombang keganasan terbaharu itu berlaku di wilayah Pattani berhampiran sempadan Malaysia pada kelmarin dan semalam.

"Sekurang-kurangnya 11 bom meletup di daerah Yaring termasuk dua menyasarkan mesin pengeluaran tunai. Kira-kira 11 anggota polis cedera dalam kejadian itu," katanya.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki terbunuh dalam letupan berhampiran salon rambut di daerah tersebut.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan pengeboman itu, namun polis tidak menolak kemungkinan ia didalangi puak pemisah di wilayah terbabit. - Reuters

image1_zpsp278qqur.jpg
 
Tujuh anggota polis maut dalam satu letupan bom di Diyarbakir Turki

DIYARBAKIR: Tujuh anggota polis maut dalam satu letupan bom di Diyarbakir ke tenggara Turki pada Khamis.

Manakala sekurang-kurangnya 27 orang awam cedera termasuk 13 anggota polis dalam letupan yang berlaku berhampiran terminal bas di bandar yang majoritinya didiami puak Kurdis itu.

Media tempatan melaporkan bom berkenaan meletup ketika kenderaan pasukan khas melalui kawasan itu.

41459473010_TurkeyExplosion_zpsaieiveoo.jpg
 
Bekas isteri ketua militan IS mahu bebas di Eropah

STOCKHOLM: Bekas isteri pemimpin militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi, yang memiliki seorang anak perempuan, mahu tinggal di Eropah "untuk kebebasan", katanya kepada akhbar harian Sweden, Expressen dalam satu temuramah disiarkan hari ini. "Saya mahu tinggal di negara Eropah, bukan Arab," kata Saja al-Dulaimi dalam temuramah yang dirakam di Lubnan. Dulaimi dibebaskan beberapa bulan lalu daripada penjara Lubnan, di mana dia ditahan sejak tahun 2014 bersama anaknya kerana disyaki ada kaitan dengan organisasi pengganas. "Saya digelar seorang pengganas, namun saya jauh daripada anggapan itu. Saya mahu tinggal dalam kebebasan," kata Dulaimi, 28, sambil memuji undang-undang Syariah yang dikatakannya memberi "kebebasan dan hak untuk wanita." Anak perempuannya, Hagar, tujuh tahun, berkata dia mahu ke Eropah untuk 'belajar."

Satu ujian DNA dijalankan pihak berkuasa Lubnan mengesahkan kanak-kanak itu adalah anak al-Baghdadi. Dilahirkan dalam keluarga kaya di Iraq, Dulaimi berkata dia berkahwin dengan pengawal peribadi Saddam Hussein dan memiliki anak kembar. Selepas menjadi balu, dia berkahwin semula pada tahun 2008, atas nasihat bapanya, dengan al-Baghdadi. Dulaimi, yang menggambarkan al-Baghdadi, lelaki yang memiliki anak daripada perkahwinan terdahulu, sebagai "lelaki berkeluarga normal" dan profesor universiti yang disayangi anak-anaknya. Baghdadi ketika itu berjuang bagi pihak Al-Qaeda di Iraq, di mana IS dilahirkan. Pada tahun 2010, dia mengambil alih kepimpinan IS. Washington meletakkan ganjaran AS$10 juta (RM38.74 juta) kepada Baghdadi. Dulaimi berkata dia meninggalkan lelaki itu hanya selepas tiga bulan berkahwin dan hamil anak perempuan mereka. "Bagaimana dia menjadi emir (khalifah) organisasi pengganas paling berbahaya di dunia masih satu misteri. Perbualan terakhir kami adalah pada 2009. Dia bertanya jika saya mahu kembali, namun saya sudah membuat keputusan," katanya yang kini berkahwin semula dengan seorang lelaki Palestin, dan memiliki seorang anak. -AFP

sajadiu.transformed_zpsww5ecscn.jpg
 
Mas kahwin segelas air

Aceh: Selepas dihebohkan dengan cerita mengenai pasangan yang gagal dinikahkan di Kuala Lumpur disebabkan wang hantaran, timbul pula kisah mengharukan dari daerah Kampung Pea Jambu di wilayah Indonesia ini.

Gambar yang dipaparkan dalam akaun Facebook pemilik bernama Purwanto menunjukkan sepasang pengantin duduk di dalam sebuah masjid.

Sekali lihat, ia acara seperti pernikahan biasa. Pasangan itu duduk di masjid dengan pengantin perempuan minum segelas air.

Bagaimanapun, menurut Purwanto, ia bukan air biasa. Sebaliknya segelas air putih itu ialah hantaran yang diberikan pengantin lelaki kepada isterinya.

“Pernikahan Hari & Rohani dengan mahar segelas air minum. Langsung diminum maharnya...Semoga menjadi keluarga yang bahagia,” tulis Purwanto.

Hari dan Rohani itu ialah nama pasangan pengantin berkenaan.

Dalam komen dibawah, pemilik akaun Facebook itu berkata, pengantin lelaki itu ialah pegawai agama di Pejabat Urusan Agama Singkohol.

“Ia. Yang menikah ialah pegawai agama. Pernikahan dilangsungkan di Masjid Al Falah Kampung Pea Jambu, Khamis 24 Mac 2016,” tulis Purwanto. Ramai pengguna Facebook terharu dengan laporan itu kerana tidak percaya ada pernikahan boleh dilangsungkan dengan hantaran segelas air putih sahaja.

mahar1.jpg.transformed_1_zpsybmme2nm.jpg
 
Obama sedar orang awam mati dalam serangan dron AS

WASHINGTON: Presiden Barack Obama mengaku menyedari ada penduduk awam terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat sebelum ini, tetapi menegaskan pentadbirannya kini 'amat berhati-hati' untuk melancarkan serangan di lokasi yang ada wanita atau kanak-kanak.

Ditanya pada sidang akhbar mengenai peningkatan bilangan penduduk awam yang menjadi sasaran dalam beberapa serangan dron terhadap militan di Libya, Syria dan Somalia, Obama berkata 'binaan perundangan' sekitar penggunaan serangan dron pada masa lalu tidak tepat. Namun sejak beberapa tahun lalu, pentadbirannya berusaha keras untuk mengelakkan kematian penduduk awam. Obama berkata, Amerika bertanggungjawab apabila ia tidak bertindak seperti sepatutnya. - AP

ooobamake.transformed_zpsrfdej1qg.jpg
 
Saudi rancang jual aset minyak

RIYADH - ARAB SAUDI . Arab Saudi merancang untuk menjana dana kekayaan AS$2 trilion (RM7.8 trilion) dengan menjual aset minyak milik mereka di tengah-tengah krisis harga rendah minyak global.

Kelmarin, agensi berita The Guardian melaporkan rancangan itu didedahkan Timbalan Putera Mahkota, Mohammad bin Salman.

Menurutnya, hasil jualan tersebut akan dipindahkan kepada dana pelaburan awam negara (PIF) yang kemudiannya akan digunakan untuk membeli aset kewangan dan perindustrian strategik di luar negara.

"Apa yang tinggal kini adalah untuk mempelbagaikan pelaburan. Saudi mahu menjadi negara yang tidak bergantung sepenuhnya dengan minyak dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya.

Disember lalu, Menteri Ekonomi, Adel Fakeih mengumumkan perbelanjaan negara itu pada 2015 meningkat sebanyak 13 peratus kepada AS$260 bilion (RM1 trilion) dan hampir AS$5.3 bilion (RM21 bilion) dibelanjakan untuk langkah ketenteraan yang dikaitkan dengan operasi ke atas Yaman. - Press TV


image_zpssq0wojbn.jpg
 
IS buat 45 kubur besar di Palmyra

BEIRUT: Tentera Syria mengenal pasti 45 mayat setakat ini dalam kubur besar di Palmyra yang ditawan semula daripada militan IS, Ahad minggu lalu, menurut sumber tentera. Kubur itu terletak di hujung timur laut Palmyra dan satu-satunya kubur besar yang ditemui tentera Syria di bandar itu, lapor sumber terbabit.

Ia mempunyai mayat penduduk awam dan tentera Syria yang ditahan IS. Agensi berita kerajaan Syria, SANA semalam berkata, kubur itu mengandungi ramai mayat wanita dan kanak-kanak, dan ada yang ditemui sudah dipenggal. Pada Mei tahun lalu, IS menawan Palmyra di mana kumpulan militan itu dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 400 orang dalam tempoh empat hari pertama. - Reuters

03syrian.transformed_zpsofg0pbh6.jpg
 
Stesen televisyen Al-Arabiya milik Arab Saudi ditutup -

BEIRUT 2 April – Stesen televisyen Al-Arabiya milik Arab Saudi, semalam menutup operasinya di Lebanon dan memecat sebanyak 27 kakitangannya, dalam satu tindakan mengejut di tengah-tengah ketegangan politik antara Riyadh dan Beirut.

Pejabat akhbar Ashraq al-Awsat milik Arab Saudi di Beirut turut diserang kumpulan penunjuk perasaan sebagai tindak balas terhadap penerbitan karikatur oleh akhbar berkenaan yang mengkritik Lebanon.

Arab Saudi telahpun memotong bantuan ketenteraan berjumlah AS$3 bilion (RM11.6 bilion) kepada Lebanon, selepas Beirut gagal mengecam serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Teheran pada Januari lalu.

Riyadh menganggap kurangnya solidariti Lebanon secara umum, merupakan isyarat Beirut mula terhutang budi kepada pergerakan Hezbollah yang mendapat sokongan musuh utama Arab Saudi, Iran.

“Kami dimaklumkan bahawa pejabat (Al-Arabiya) ini ditutup dan 27 kakitangannya dipecat,” kata seorang wartawan Al-Arabiya.

Satu kenyataan daripada stesen berita itu mengesahkan bahawa pejabat mereka di Beirut ditutup dengan menyifatkannya sebagai langkah penyusunan semula berikutan cabaran di peringkat bawah dan memetik kebimbangan akan keselamatan pekerja mereka.

Menteri Penerangan Lebanon, Ramzi Greige dalam pada itu menolak alasan penutupan itu adalah disebabkan faktor keselamatan.

“Sudah tentu tidak ada sebab untuk menutup pejabat Al-Arabiya di Beirut. Mungkin terdapat sebab politik langkah ini diambil, namun saya tidak tahu sehinggalah saya mendapat penjelasan daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan menyerbu masuk pejabat akhbar Ashraq al-Awsar dengan mencampakkan akhbar dan menterbalikkan kerusi meja selepas akhbar itu menerbitkan karikatur yang menunjukkan bendera Lebanon tertulis dengan perkataan, 'an April fool’ di atasnya. – REUTERS


image_zpsl1db96ef.jpg
 
Perang Armenia dan Azerbaijan

159a3607754646f49e1b3aa9105c203e_18_zpscl9fhsda.jpg


30 tentera terbunuh merebut kawasan Nagorno-Karabakh
 
Masjid diserang 20,000 lebah, 15 orang awam cedera

PHOENIX - AMERIKA SYARIKAT. Malang buat 15 orang awam yang berada di dalam sebuah masjid apabila beribu-ribu ekor lebah 'sesat' di situ pada petang Jumaat.

Menurut ABC 15, Jabatan Bomba Phoenix menganggarkan lebih 20,000 ekor lebah berada di kawasan 32nd Street dan McDowell Road.

Pihak media ketika itu merakam sarang lebah yang begitu besar sebelum ia disembur racun oleh pihak bomba di Buckeye.

Bagaimanapun, beribu-ribu ekor lebah masih dirakam terbang di sekitar kawasan kejadian.

Saksi, John Chavarria menyifatkan kejadian tersebut sebagai 'gila'.

"Saya tak tahu apa puncanya dan agak menakutkan apabila semua orang bertempiaran lari di merata-rata tempat," kata John.

Sementara itu, pihak bomba telah mentutup jalan di Phoenix dan menggalakkan orang ramai untuk berada di dalam kediaman masing-masing buat sementara waktu.

image1_zpslsntwuiz.jpg
 
Back
Top
Log in Register