Sindiket culik, buru mangsa melalui aplikasi temu janji dibongkar
Kuala Lumpur: Taktik sindiket penculikan menyasarkan warga asing dengan memperdaya mereka melalui tawaran kerja, percutian selepas berkenalan menggunakan aplikasi temu janji dan media sosial terbongkar susulan dua suspek warga asing ditembak mati di Alor Setar, Kedah, Sabtu lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan lima lelaki dan seorang wanita terbabit dalam penculikan di rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku 8.40 malam Sabtu lalu apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman menjalankan serbuan di kawasan perumahan berkenaan.
Beliau berkata, susulan laporan itu, JSJ menubuhkan pasukan khas dianggotai pegawai dan anggota D8 serta D9 bagi menjalankan siasatan dan risikan.
"Hasil siasatan mendapati mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas pada 26 Julai sebelum terputus hubungan dengan keluarga.
"Pada 4 Ogos, kakaknya menerima pesanan suara memaklumkan mangsa diculik dan dikurung serta menuntut wang tebusan SG$1 juta (RM3.1 juta).
"Keluarga turut menerima video menunjukkan mangsa bergari, mata ditutup dan mengalami kecederaan fizikal," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
M Kumar berkata, hasil risikan membawa kepada serbuan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah pada 8.40 malam Sabtu lalu.
"Dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, polis masuk ke dalam rumah tidak berkunci sebelum memperkenalkan diri sebelum diserang dengan tembakan.
"Suspek melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan sehingga keadaan selamat. Dua suspek yang dipercayai penjenayah maut dalam kejadian itu.
"Pemeriksaan lanjut menemui mangsa warga Singapura dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup. Polis turut menyelamatkan seorang wanita warga China yang dikurung dalam keadaan sama," katanya.
Beliau berkata, serbuan susulan kira-kira 500 meter dari lokasi itu membawa kepada penahanan enam individu iaitu lima lelaki dan seorang wanita.
"Seorang daripada mereka ialah warga tempatan, manakala lima lagi warga China.
"Pemeriksaan di rumah pertama turut menemui dua pucuk pistol bersama peluru serta sebilah parang," katanya.
Menurutnya, keluarga mangsa warga Singapura sudah membuat tiga pembayaran berjumlah kira-kira SG$15,000 ke akaun mangsa yang dikawal suspek, manakala keluarga mangsa warga China diminta membayar wang tebusan AS$20,000 (RM81,000) namun belum sempat berbuat demikian sebelum mangsa diselamatkan.
"Siasatan turut mendapati sindiket sama dipercayai terbabit dalam dua lagi kes penculikan di Kuala Lumpur di mana kedua-dua itu berjaya diselamatkan.
"Modus operandi sindiket adalah menghubungi mangsa melalui WeChat dan media sosial dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan ataumereka akan menjadi pengiring sosial sebelum mangsa dibawa ke rumah sewa dan dikurung.
"Sindiket dipercayai menggunakan beberapa rumah sewa di Pulau Pinang sebelum memindahkan mangsa ke Kedah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa do mana taktik mereka akan kerap bertukar rumah sewa supaya tidak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Menurut M Kumar, pihaknya percaya sindiket ini sudah ditumpaskan, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti jika terdapat lagi mangsa atau rangkaian lain.
"Sindiket menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan Badoo untuk mencari mangsa dengan menawarkan percutian, pekerjaan atau tujuan bersosial.
"Selepas mangsa bersetuju bertemu, mereka akan ditangkap, dikurung dan dipaksa menyerahkan maklumat perbankan.
"Suspek kemudian memindahkan semua wang dalam akaun mangsa ke akaun salah seorang suspek sebelum mengarahkan mangsa menghubungi ahli keluarga atau rakan bagi mendapatkan wang tebusan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Harian metro sebelum ini melaporkan dua suspek dipercayai warga asing maut selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam serbuan bagi menyelamatkan mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah.
Kredit

Harian Metro
KUMAR menunjukkan senjata yang dirampas dalam operasi sindiket penculikan, pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. FOTO Safeek Affendy Razali