BTC USD 76,511.4 Gold USD 4,311.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dominasi PAS di 3 negeri boleh uji keutuhan kerjasama BN-PN, kata penganalisis

afwan83

Active+ Member
Messages
3,226
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,226
Reaction score
12
Points
25

Dominasi PAS di 3 negeri boleh uji keutuhan kerjasama BN-PN, kata penganalisis​

f408c34d-11_hadi_awang_crowd_perikatan_nasional_barisan_pn_bn_jempol_moganraj_fmt_18072026-cop...jpg

BN dan PN mempunyai persefahaman pada PRN Negeri Sembilan yang menyaksikannya tidak bertembung antara satu sama lain.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata persefahaman BN-PN pada PRN Negeri Sembilan ketika ini lebih didorong keperluan politik berbanding keserasian ideologi untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh memecahkan undi Melayu dan memberi kelebihan kepada lawan.

Bagaimanapun, penganalisis dari Global Asia Consulting itu berkata persaingan antara PAS dan Umno sukar dielakkan dalam jangka panjang kerana kedua-dua parti menyasarkan kelompok pengundi yang sama dan mahu menjadi kuasa utama dalam politik Melayu.

“Di sinilah percanggahan dan ujian sebenar keutuhan kerjasama PN-BN. PAS kini menjadi kuasa dominan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Umno berusaha mengembalikan kedudukannya sebagai parti Melayu terbesar selepas kehilangan dominasi sejak PRU14.

“Kedua-duanya menyasarkan kelompok pengundi yang hampir sama, membawa naratif Melayu-Islam yang serupa dan bersaing dalam ruang politik sama.

“Persaingan ini mungkin boleh ditangguhkan, tetapi sukar dihapuskan,” katanya kepada FMT.

Zaharuddin mengulas dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa kerjasama BN-PN tidak akan bertahan lama kerana Umno akhirnya akan kembali mencabar penguasaan PAS di negeri-negeri utara.

Muhyiddin mendakwa kemesraan PAS terhadap Umno ketika ini hanya bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi dan memastikan kepentingan kedua-dua parti tidak bertembung dalam pilihan raya.



Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata pengaruh kuat PAS, khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, mungkin mengehadkan ruang untuk Umno bertanding apabila tiba masa kedua-dua gabungan menentukan pembahagian kerusi.

Menurutnya, PAS mungkin perlu memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi tertentu yang bukan secara tradisinya dikuasai parti itu.

“Masalahnya, PAS terlalu dominan di negeri itu,” katanya.

Azmi berkata masa depan kerjasama BN-PN juga bergantung kepada prestasi kedua-dua gabungan pada PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerjasama itu boleh diperluas ke negeri yang ditadbir Umno seperti Melaka, Pahang dan Perak sekiranya menghasilkan keputusan positif di Negeri Sembilan.
 
Back
Top
Log in Register