ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Che Suza (kanan) turut bersama-sama membersihkan kubur anggota polis yang gugur ketika menentang komunis.
KEMAMAN - Keadaan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam menunjukkan perkembangan positif apabila pendarahan dalam otak yang dialami beliau didapati semakin menyusut ketika ujian 'Computerized Tomography' (CT) Scan dilakukan pagi semalam.
Perkembangan positif itu juga menunjukkan beliau semakin stabil walaupun masih belum sedarkan diri selepas beliau dan isteri, Mazlina Mokhtar, 50, terbabit nahas tiga hari lalu.
Bagaimanapun, pembedahan di bahagian kepala masih belum dijalankan dan doktor sentiasa memantau perkembangan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.
Ketua Bahagian Cawangan Khas, Asisten Superintendan Mohd Azlan Yahaya berkata, pihaknya bersyukur dengan perkembangan positif itu dan masih menunggu laporan penuh daripada pakar perubatan HTAA.
"Kita harapkan perkembangan positif ini akan berterusan dan Tuan Suza serta isteri kembali pulih. Kita juga mohon agar semua pihak terus membuat solat hajat mendoakan kesihatan Tuan Suza dan isteri," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam nahas kira-kira jam 8.30 malam Jumaat lalu, Che Suza, 56, cedera parah di kepala dan pinggul selepas Toyota Hilux yang dinaiki bersama isteri terbabas dan merempuh pengadang tengah lebuh raya, sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Kejadian berlaku di Kilometer 269.4 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Cheneh semasa mereka dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuantan kerana mempunyai urusan.
Susulan itu, surau di Berek Polis Kemaman di Bukit Mentok mengadakan solat hajat malam kelmarin, bagi mendoakan Che Suza dan isteri cepat pulih.
Pada masa sama, solat hajat turut diadakan di Masjid Jamek Chukai, Masjid Jamek Kemasik dan Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin di Kerteh.
Solat hajat yang dilakukan di beberapa masjid itu atas inisiatif dan ikhtiar orang ramai untuk melihat ketua polis daerah Kemaman itu dan isteri kembali sihat.
Mohd Azlan berkata, pada waktu tengah hari sebelum kemalangan, ketuanya itu bersama warga Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman mengadakan Program Community Policing di Masjid Jamek Kemasik.
Sempena program itu, khutbah Jumaat disampaikan Pegawai Agama IPD Kemaman, Ustaz Johari Othman dan kubur anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis di kawasan tanah perkuburan bersebelahan masjid itu turut dibersihkan.
Pada jam 3 petang pula, Che Suza menghadiri Program Ramah Mesra bersama Adun Kemasik, ahli jawatankuasa Masjid Jamek Kemasik, pegawai kanan IPD Kemaman dan ketua-ketua balai polis seluruh Kemaman di Pondok Polis Kemasik.
Mohd Azlan berkata, komunikasi terakhirnya bersama Che Suza adalah jam 7.30 malam sebelum mendapat berita mengenai nahas itu, dan bergegas ke lokasi.
Dalam pada itu, Mohd Azlan menyifatkan Che Suza sebagai seorang ketua yang bagus walaupun berperwatakan tegas, kerana beliau mudah bertolak ansur dan mudah didampingi.
"Malah beliau banyak beri tunjuk ajar kepada pegawai dan anggota baru. Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, hatta pakcik pengayuh beca turut mengenali beliau. Beliau juga banyak anjurkan program kebajikan bersama anak yatim," katanya.
12 masjid, 29 surau buat solat hajat
Sementara itu, Pegawai Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Asisten Superintendan Ismail Ab Ghani menganggap Che Suza sebagai seorang ketua yang sempurna pernah dikenalinya.
"Ia berdasarkan pengalaman bertugas selama 25 tahun dalam pasukan polis. Sebagai ketua dalam pasukan uniform, soal perintah dan kawalan sangat penting dan dari sudut ini saya boleh beri lima bintang kepadanya.
"Ada masanya dia bergurau, ada masanya dia tegas. Kerana hubungan baik dan disenangi masyarakat juga, solat hajat dibuat di masjid-masjid hasil cetusan (usaha) orang ramai yang menyayanginya," katanya.
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Kemasik dan Kerteh, Abdul Ghaffar Mohamad memberitahu, pada program membersihkan kubur dua anggota polis yang terkorban pada 1951, Che Suza berhasrat untuk berjumpa dengan waris kedua-dua wira itu dan berjanji untuk meletakkan papan tanda ingatan di kedua-dua makam berkenaan.
"Namun beliau pula terbabit kemalangan dan hasratnya itu akan disempurnakan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman," katanya.