combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Dek Kekangan Kewangan Anak Yatim Hampir Tolak Tawaran Al-Azhar, MARA Tampil Tawar Bantuan
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli, Mohamad Solihin Mohd Nasir, 19, (kiri) ditemani ibunya, Faridah Mohamad, 60, menunjukkan surat tawaran pengajian dan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh.
Impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir hampir terkubur apabila keluarganya tidak mampu menyediakan kos kira-kira RM30,000 bagi menampung perbelanjaan tahun pertama pengajian.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Cita-cita yang dipupuk sejak kecil untuk menyarung kot putih sebagai doktor hampir musnah dek kekangan kewangan, namun buat seorang anak yatim, harapan itu kembali mekar apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil menawarkan bantuan.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli, Mohamad Solihin Mohd Nasir, 19, sebelum ini hampir menolak tawaran mengikuti Ijazah Perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir selepas keluarganya tidak mampu menampung kos pengajian dan sara hidup berjumlah hampir RM100,000 sepanjang lima tahun di sana.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan meneliti penyelesaian terbaik bagi memastikan Mohamad Solihin dapat meneruskan cita-citanya, sama ada di Universiti Al-Azhar atau mengikuti pengajian perubatan di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) dengan tajaan MARA.
“Jika beliau memilih untuk ke Mesir, MARA akan membantu menyediakan laluan termasuk mengikuti kursus Bahasa Arab terlebih dahulu bagi memenuhi syarat kemasukan sebelum memulakan pengajian.
“Pilihan kedua ialah mengikuti pengajian perubatan di USMKK dengan tajaan MARA,” katanya menerusi panggilan video selama hampir 15 minit ketika menghubungi Mohamad Solihin di Kampung Kubang Keranji, di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata MARA sentiasa mengutamakan pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya anak yatim, supaya faktor kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pelajaran.
“Kita memang memberi fokus kepada pelajar seperti Mohamad Solihin. Tambahan pula latar belakang keluarganya susah dan dia anak yatim. Memang golongan seperti ini yang kita utamakan,” katanya.
Mohamad Solihin yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.96 ketika mengikuti program di Kolej Matrikulasi Kelantan berkata beliau hampir menolak tawaran yang diterima pada 15 Jun lepas kerana memikirkan kemampuan keluarganya.
Beliau berkata bapanya, Mohd Nasir Abdul Rahman, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2014 ketika dia berada di Tahun Satu, manakala ibunya, Faridah Mohamad, 60, yang menghidap penyakit tiroid kini bergantung kepada sumbangan anak-anak lain untuk menyara kehidupan.