Dr Sheikh Muszaphar janji akan terus beri motivasi kepada generasi muda
KUALA PILAH: "Tiada apa yang lebih menggembirakan saya apabila ramai generasi muda, malah kanak-kanak yang baru berusia lima tahun sudah menanam azam mahu menjadi angkasawan negara," kata Angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Beliau berkata, sejak pulang ke tanah air selepas 12 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) Oktober tahun lalu, beliau sudah melawat lebih 200 sekolah dan universiti di seluruh negara bagi memberi ceramah dan berkongsi pengalamannya.
Hasil program itu, ramai di kalangan remaja dan kanak-kanak kini lebih terdedah kepada bidang angkasa dan mula berminat untuk menjadi angkasawan, katanya kepada pemberita selepas menerima Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelaran Datuk di sini hari ini.
Dr Sheikh Muszaphar, 36, menerima Darjah kebesaran itu daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman sempena Hari Keputeraan baginda Ke-86 di Istana Besar Seri Menanti, di sini.
Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 36, yang ditemani teman wanitanya, Dr Halina Mohd Yunus, berkata gelaran Datuk tidak akan mengubah dirinya, sebaliknya menguatkan tekad beliau untuk terus memberi inspirasi kepada generasi muda meminati bidang sains dan teknologi.
Sementara itu, bekas jaguh beregu badminton negara tahun 60-an dan 70-an, Ng Boon Bee, yang menerima Darjah Dato' Paduka Tuanku Ja'afar (DPTJ) yang membawa gelaran Datuk berkata anugerah Darjah kebesaran itu akan menjadi kenangan abadinya.
"Saya harap penganugerahan ini akan menjadi dorongan kepada semua ahli sukan untuk terus maju mencipta kejayaan di peringkat dunia," katanya. - Bernama