kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Dari MRSM Ke Imperial College London, MARA Buka Laluan Aaqif Ke Pentas Antarabangsa
Kredit: Muhammad Aaqif Dino Faezal
Bermula sebagai pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba di Melaka, Muhammad Aaqif Dino Faezal bakal membuka lembaran baharu di Imperial College London, United Kingdom, perjalanan pendidikan yang disifatkannya tercipta hasil peluang yang diberikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Anak muda berusia 19 tahun itu yang dinobatkan sebagai Tokoh Graduan Kolej MARA 2026 pada 20 Ogos lepas berkata sokongan MARA telah membuka ruang yang mungkin sukar dicapai, terutama dalam membolehkannya mengikuti pengajian bertaraf antarabangsa di Kolej MARA Banting (KMB).
Anak kedua daripada tiga beradik itu yang menerima penajaan Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) MARA untuk mengikuti Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) di KMB dari 2024 hingga Mei 2026 berkata peluang berkenaan menjadi antara titik penting dalam perjalanan pendidikannya.
“Secara realistik, saya tidak mampu untuk membiayai sendiri kos pengajian dan kehidupan di luar negara yang sememangnya tinggi.
“Jadi, peluang yang diberikan oleh MARA bukan sahaja membuka ruang untuk saya mengejar cita-cita, sebaliknya turut menangani satu daripada kekangan terbesar yang mungkin saya hadapi,” katanya kepada Bernama.
Hasil usaha gigihnya dan sokongan pendidikan disediakan MARA, Muhammad Aaqif bakal mengikuti pengajian dalam bidang Geologi di Imperial College London pada September ini dan berhasrat menggunakan pengalaman serta kepakaran yang diperoleh untuk kembali menyumbang kepada Malaysia, khususnya dalam sektor minyak, gas dan tenaga.
Sewaktu di KMB, beliau menerima Anugerah Graduan Terbaik KMB dan Anugerah Tokoh Graduan Kolej MARA 2026 selain turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kokurikulum sempena Hari Anugerah Inspirasi Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA.
Penerima Anugerah Tokoh Graduan Kolej MARA 2026 dipilih daripada kalangan penerima Anugerah Graduan Terbaik berdasarkan pencapaian akademik yang unggul, ciri kepimpinan yang cemerlang, sumbangan kepada masyarakat serta potensi sebagai ikon graduan MARA.
Bagi Muhammad Aaqif, pengiktirafan tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya penghargaan kepada keluarga, guru, rakan-rakan, KMB dan MARA yang menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikannya.
