Uruguay jumpa Argentina
LA PLATA – Uruguay akan bertemu Argentina pada aksi suku akhir kempen Copa America 2011 selepas menang 1-0 ke atas Mexico pada perlawanan terakhir Kumpulan C pagi semalam.
Namun Chile muncul juara Kumpulan C selepas menewaskan Peru 1-0 dalam satu perlawanan penuh dramatik apabila kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-61.
Mexico yang menampilkan skuad Bawah 22 Tahun pada kempen kali ini, tersingkir daripada saingan selepas tewas ketiga-tiga perlawanan di peringkat kumpulan.
Tiga pasukan teratas mara ke suku akhir, tetapi Chile dan Peru perlu menunggu keputusan perlawanan Kumpulan B hari ini untuk mengetahui lawan masing-masing.
“Pada dasarnya, ini adalah kumpulan sama yang beraksi pada Piala Dunia,” kata jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez.
“Tetapi banyak perkara telah berubah.”
Uruguay dan Argentina telah memenangi trofi Copa Amerika sebanyak 14 kali manakala Brazil (lapan kali) dan Mexico muncul naib juara pada tahun 1993 dan 2001.
Uruguay yang mara ke separuh akhir pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, sekadar mencatat keputusan seri pada dua perlawanan sebelum ini.
Pada aksi semalam, Uruguay memperoleh gol kemenangan seawal minit ke-14 menerusi jaringan pemain tengah, Alvaro Pereira yang bijak menyambar bola yang melantun hasil sepakan percuma Diego Forlan.
Selepas itu, Uruguay lebih banyak menguasai permainan, tetapi gagal menambah jaringan sebelum Mexico kembali mendapat rentak pada 20 minit terakhir permainan.
Mexico hampir memperoleh gol pada minit ke-89 menerusi Rafael Marquez tetapi dia berada di kedudukan ofsaid. – Reuters