Viere
CG Top Poster Club

- Messages
- 26,579
- Joined
- Aug 8, 2008
- Messages
- 26,579
- Reaction score
- 179
- Points
- 123
Gambar bertarikh 5 Ogos lalu merakamkan kapal perang pengangkut pesawat pejuang China sedang dalam proses baik pulih di pelabuhan Dalian di timur laut wilayah Liaoning. - AP
BEIJING 11 Ogos - Sebuah laman web berita kendalian Kementerian Pertahanan China hari ini menggesa supaya kapal perang pengangkut pesawat pertama negara ini dikerahkan untuk menangani pertikaian wilayah maritim, meskipun kerajaan memberi jaminan kapal tersebut tidak menimbulkan ancaman terhadap negara-negara jiran.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas kapal sepanjang 300 meter itu menjalani ujian pertamanya, mendorong Amerika Syarikat (AS) yang bimbang mengenai matlamat pembangunan tentera China, menuntut Beijing menjelaskan keperluannya untuk memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat.
China berkali-kali mendakwa kapal tersebut, sebuah kapal lama Kesatuan Soviet yang sedang dibaik pulih di timur laut negara ini, akan digunakan terutamanya untuk tujuan latihan dan penyelidikan dan tidak mengubah dasar tentera Beijing yang mengutamakan pertahanan.
Bagaimanapun dalam komentar yang disiarkan di laman web jz.chinamil.com.cn, wartawan kanan akhbar tentera PLA Daily, Guo Jianyue berkata, kapal pengangkut itu patut dikerahkan untuk menangani pertikaian wilayah.
"Mengapa kita membinanya jika kita tidak berani dan tidak sanggup untuk menggunakan kapal pengangkut itu untuk mengendalikan pertikaian wilayah?
"Sebab kita membina sebuah kapal pengangkut adalah untuk melindungi hak-hak dan kepentingan maritim China dengan lebih cekap, dan kita akan menjadi lebih yakin dan lebih berazam untuk mempertahankan keutuhan wilayah kita selepas kita memiliki kapal pengangkut," katanya.
Akhbar dan laman web kendalian kerajaan China disunting dengan rapi, menandakan komentar itu mendapat kelulusan pada peringkat lebih tinggi walaupun tidak semestinya mencerminkan konsensus umum.
Semalam, jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland berkata, Washington menyambut baik sebarang penjelasan yang ingin diberikan oleh China mengenai tujuan kelengkapan perang itu.
"Ini sebahagian daripada kebimbangan kami bahawa China tidak setelus negara lain dan tidak setelus AS mengenai perolehan tentera dan bajet tenteranya," katanya.
Negara lain pernah juga menyuarakan kebimbangan serupa, apabila China membangunkan tenteranya dengan pesat dan menjadi lebih agresif dalam mengukuhkan tuntutan wilayahnya, terutamanya di Laut China Timur dan Laut China Selatan. - AFP