taurusboyz90
Legendary Member

- Messages
- 10,015
- Joined
- Apr 20, 2008
- Messages
- 10,015
- Reaction score
- 119
- Points
- 123
BULAN REJAB
BULAN Rejab, bulan ketujuh mengikut susunan kalendar Islam telah
mencatatkan satu sejarah yang amat penting apabila Allah Taala telah
memerintahkan umat Islam mengerjakan solat lima kali sehari semalam.
Berbanding dengan ibadat lain seperti zakat, puasa dan menunaikan haji -
perintah bersolat telah diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW dan
ia berlaku ketika baginda menjadi tetamu Allah dalam peristiwa Israk dan
Mikraj pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).
Rasulullah menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu
perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah.
Perintah yang diterima sejak 1,430 tahun lalu itu kemudian terus
diamalkan sehingga hari ini. Solat dilakukan sama ada secara berjemaah
mahu pun bersendirian - tetapi masih terdapat umat Islam langsung tidak
mahu menunaikan ibadat tersebut.
Bagi umat Islam pula Rejab merupakan bulan suci kerana di dalamnya
berlaku peristiwa Israk Mikraj iaitu peristiwa perjalanan malam
Rasulullah dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa (Israk) dan
kemudian baginda naik ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha
(Mikraj).
Selain peristiwa Israk Mikraj, bulan Rejab turut mencatatkan beberapa
peristiwa hijrah pertama para sahabat ke Habsyah (Ethiopia). Antara
sahabat yang terlibat dengan hijrah itu ialah Saidina Uthman ibn Affan
r.a dan isterinya Ruqayyah iaitu anak Rasulullah. Penghijrahan itu
bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran
tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.
Peperangan Tabuk juga berlaku pada bulan Rejab iaitu pada tahun
kesembilan hijrah. Peperangan ini menguji umat Islam kerana ia berlaku
pada musim panas. Dengan pertolongan Allah SWT, tentera Rom telah
melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan
tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.
Bulan Rejab juga mencatat sejarah kelahiran Imam As-Syafie atau nama
penuhnya Muhammad Idris. Tokoh ini lahir pada 150H pada bulan tersebut.
Beliau adalah salah seorang daripada empat imam mazhab yang besar dalam
dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie.
Dalam bulan Rejab juga iaitu pada 27 Rejab 583H, panglima Islam terkenal
Solahuddin Al-Ayubi berjaya membebaskan kota suci Baitulmuqaddis
daripada tentera salib selepas dijajah kira-kira 60 tahun.
Dalam memperkatakan bulan Rejab, kita juga tidak akan terlepas daripada
membicarakan fadhilatnya hingga ada yang beranggapan ibadat pada bulan
ini diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan
lain.
Bagaimanapun, terdapat ulama menyatakan bahawa tanggapan seperti itu
tidak benar kerana hakikat pahala dan ganjaran yang disediakan kepada
orang yang beramal soleh hanya Allah sahaja maha mengetahui. Sungguhpun
begitu, Allah telah berjanji bahawa mereka yang berusaha meningkatkan
keimanan kepada-Nya akan mendapat ganjaran sewajarnya.
Seperti mana bulan-bulan yang lain, umat Islam digalakkan
memperbanyakkan amalan sunat dan berpuasa sunat adalah antara ibadat
terbaik untuk dilakukan.
Selain itu, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan sedekah
terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Kita juga digalakkan memperbanyakkan zikirullah dengan cara membaca
al-Quran, berwirid, bertahmid dan bertasbih.
Justeru, kedatangan bulan Rejab ini harus dimanfaatkan sepenuhnya.
Dengan cara itu diharap dapat menjadikan kita sebagai insan yang
bertakwa di sisi Allah.