dhiaperfumes
CG Top Poster Club

- Messages
- 41,571
- Joined
- Nov 12, 2009
- Messages
- 41,571
- Reaction score
- 63
- Points
- 120
Pelakon berpengalaman, Beto Khusyairy, 34, sanggup menahan sakit dan berdegil mahu meneruskan penggambaran selepas mengalami kecederaan lutut akibat kemalangan ketika melakukan babak aksi lagak ngeri motosikal menerusi filem terbarunya, Gila Baby.
Katanya, dia tidak mempunyai masalah memberi sepenuh komitmen ketika membintangi filem aksi komedi arahan Khabir Bhatia itu apatah lagi perlu melakukan babak aksi ngeri membahaya sehingga mengalami kecederaan lutut dan dahi.
"Sewaktu babak aksi motosikal, seorang pelagak ngeri hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan termasuk saya terjatuh dan lutut terkoyak.
"Selepas luka saya dibalut dan berehat beberapa minit, saya nekad mahu kembali teruskan penggambaran sedangkan pengarah dan kru lain bimbang keadaan saya," katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem Gila Baby di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, dia bertindak sedemikian kerana tidak mahu penggambaran tertunda sehingga menyusahkan pelakon dan kru produksi.
"Walaupun menahan sakit ketika itu, saya masih boleh bertahan dan mampu menghabiskan penggambaran pada masa itu," katanya mengenai pengalaman yang dilalui dua tahun lalu.
Tambahnya, disebalik kecederaan yang dialami dia tetap puas apabila memberikan lakonan terbaik untuk menjiwai watak Bob dalam filem ini yang akan menemui penonton di pawagam pada 4 Disember ini.
"Saya puas dan berasa kepayahan serta kesakitan yang dialami adalah berbaloi. Saya berusaha memberikan yang terbaik jadi terpulang pada penonton untuk menilai lakonan saya dan filem ini.
"Ketika sambutan terhadap filem tempatan kini yang kurang memberangsangkan, kami sangat mengharapkan sokongan penonton", katanya.
Gila Baby mengisahkan Bob, seorang lelaki malang terdesak memerlukan sejumlah duit banyak untuk pembedahan bapanya. Dia akhirnya terjebak dengan aktiviti jenayah mencuri kereta selepas dipengaruhi rakan lamnya, Roy.
Namun, kisah malangnya bertambah apabila sebuah kereta yang dicuri mempunyai seorang bayi yang juga cucu seorang gangster paling digeruni. Filem ini turut dibintangi ramai pelakon popular seperti Nadiya Nisaa, Sharnaaz Ahmad dan Adlin Aman Ramli.
http://www.cari.gold/2014/11/beto-sakit-tapi-puas.html