afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,296
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,296
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Bersatu masih anggota sah PN, kata Muhyiddin
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata berkata hasrat PN yang kini diterajui PAS untuk mewujudkan gabungan dengan Umno bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar.
Muhyiddin berkata Bersatu yang mengasaskan PN masih anggota gabungan itu yang sah tetapi hak-hak Bersatu dalam PN telah dinafikan termasuk tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi.
Katanya, rundingan kerusi pilihan raya dengan Bersatu tidak diteruskan, malah ia sengaja dihentikan dengan alasan yang tidak munasabah.
“Bersatu juga tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota gabungan.
“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuaratpun tidak dijemput?” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Rabu lalu, Muhyiddin mengumumkan Bersatu meletakkan calon atas lambang sendiri pada PRN Negeri Sembilan selepas kecewa apabila mesyuarat jawatankuasa rundingan kerusi PN “telah ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti”, beberapa hari sebelum penamaan calon.
Pengerusi PN ketika ini digalas Ahmad Samsuri Mokhtar, manakala ketua pengarah pilihan raya adalah Sanusi Nor, kedua-duanya pemimpin PAS.
Semalam, Annuar berkata keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri bermakna parti itu ‘secara sukarela memilih untuk mufarakah’ daripada PN pada PRN Negeri Sembilan.
Beliau juga berkata mustahil untuk gabungan itu memenuhi permintaan 15 kerusi yang dikemukakan Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan.
Sementara itu, Muhyiddin juga mempersoalkan cara Samsuri memimpin PN apabila memberi kebenaran rundingan dengan Barisan Nasional (BN) tanpa melibatkan semua parti anggota dan mandat Majlis Tertinggi.
Katanya, beliau tidak mempersoalkan rundingan itu tetapi perkara dasar yang sepatutnya dibawa ke Majlis Tertinggi terlebih dahulu.
“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi.
“Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” katanya.
Beliau juga berkata hasrat PN yang kini diterajui PAS untuk mewujudkan gabungan dengan Umno, yang masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar.
“PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh PN. Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik.
“Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada PN. Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya,” katanya.
