ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
MUSA AMAN (depan, lima dari kiri) dan Mohd. Sidek Hassan (depan, lima dari kanan) bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri serta pegawai Petronas pada Majlis Perasmian Seminar Peluang Perniagaan Industri Minyak dan Gas Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 21 Mei - Syarikat industri minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini diseru memberi peluang pekerjaaan kepada anak tempatan bagi menceburi industri tersebut.
Seruan itu dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang melihat perkembangan industri minyak dan gas di negeri ini berupaya memberi manfaat kepada anak-anak tempatan.
Malah menurutnya, perkara itu sering diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak Petronas agar perkembangan industri itu mengambil kira anak-anak muda negeri ini.
“Sementara itu, kita menggalakkan anak-anak tempatan terutama kontraktor dan vendor mengambil peluang yang disediakan syarikat-syarikat minyak dan gas termasuk Petronas bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Bagaimanapun, mereka (kontraktor dan vendor tempatan) perlu bersedia mendalami serta mempelajari selok-belok industri ini agar kesinambungan peluang yang ditawarkan, segera diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Peluang Perniagaan Industri Minyak dan Gas Sabah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang.
Dalam majlis itu, Musa turut merasmikan pembukaan Kaunter Pendaftaran dan Pelesenan Petronas selain menyampaikan anugerah vendor cemerlang kepada kontraktor tempatan yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada anak-anak syarikat Kumpulan Petronas iaitu Petronas Carigali Sdn. Bhd., dan Petronas Chemicals Methanol Sdn. Bhd., yang beroperasi di Sabah dan Labuan.
Selain itu, Musa juga menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara syarikat-syarikat tempatan dengan Petronas Carigali Sdn. Bhd., dan majlis menandatangani Program Pembangunan Vendor Petronas.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan negeri mengalu-alukan langkah Petronas membuka kaunter pendaftaran dan pelesenan Petronas yang bertujuan memberi khidmat nasihat tentang proses pendaftaran serta pelesenan.
“Kita percaya pembukaan kaunter ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk menyertai peluang-peluang perniagaan dalam minyak dan gas yang sedang berkembang pesat di negeri ini,” katanya.