Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,764
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,764
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Bekas Ketua Hakim Syarie Kedah Pertama Terima Anugerah Khas Maulidur Rasul
Bekas Ketua Hakim Syarie Kedah yang pertama Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim dipilih sebagai penerima Anugerah Khas bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini, hari ini.
Hasbullah, 85, yang dilahirkan di Kuah, Langkawi menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas penganugerahan berkenaan dan berharap pengiktirafan itu dapat menjadi sumber inspirasi serta menyuntik semangat kepada generasi akan datang untuk turut sama berbakti demi meningkatkan syiar Islam di Kedah.
“Saya telah dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie Kedah yang pertama pada 1997 selepas enakmen Mahkamah Syariah diwujudkan, jawatan tersebut sebelum itu dikenali sebagai Kadi Besar.
“Jawatan terakhir saya dalam kerajaan negeri pula ialah mufti Kedah dari 2003 hingga 2009,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darulaman, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima Anugerah Khas yang disampaikan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,000 serta sijil penganugerahan dan hadiah iringan.
Hasbullah turut berpesan supaya umat Islam berada dalam satu jemaah dan menjauhi perkara negatif yang boleh membawa kepada sengketa atau perpecahan.
“Masyarakat perlu bersatu padu dan sentiasa mengelakkan perbuatan yang mencetuskan bibit-bibit permusuhan serta sikap tidak menghormati sesama sendiri. Sifat-sifat yang baik ini perlu ditanam dalam diri umat kita dahulu kerana umat Islam perlu menjadi contoh kepada orang lain.
“Jika kita menjadi yang terbaik dengan akhlak dan peribadi yang unggul, kita tidak perlu berdakwah atau bersyarah panjang lebar, cukup sekadar menunjukkan keberadaan akhlak itu sebagai asas untuk meningkatkan perpaduan sesama kita,” katanya.
Beliau berkata sifat saling menghormati harus melangkaui perbezaan kaum dan agama kerana walaupun manusia hidup berlainan bangsa dan kepercayaan, pada prinsipnya semua ialah hamba Allah dan makhluk yang bergelar manusia yang wajib diraikan dengan rasa hormat.